Sunday, June 5, 2011

Miri-Luconia lubuk premium Malaysia


KUMPULAN daripada Kuala Lumpur Lye Yi Min (juara - 44.78 kg), Fynne Low (ketiga - 35.76 kg) dan Ceasar Desouza (tempat keempat - 33.82 kg) masing-masing menaikkan gerepoh pada pertandingan Memancing Antarabangsa Miri 12 hingga 15 Mei lalu.


PERCUTIAN tidak lagi bersifat konvensional dengan kemudahan yang tersedia hari ini. Bermula dengan tempahan tiket penerbangan dalam talian, semua program dan jadual perjalanan teratur kemas di dalam emel, dan sedar-sedar anda telah berada semula di balai berlepas dalam perjalanan pulang ke tempat asal.

Industri pelancongan hari ini semakin luas spektrum dan skopnya. Pergerakan dari satu tempat ke satu tempat begitu terfokus bagi memaksimumkan misi dengan bajet perjalanan.

Cuti dirancang sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal dan tempahan perlu disahkan sebelum meninggalkan rumah. Kerana mudah dan tersusunnya infra komunikasi di negara ini, pelancongan semakin menarik dan berlansung santai antaranya sektor sukan rekreasi dan acara.

Bagi pelancongan, acara seperti sukan rekreasi, antara aktiviti menarik ialah sukan bertaraf antarabangsa seperti bola sepak, perlumbaan kereta dan motosikal, golf serta larian maraton antarabangsa yang mempunyai kumpulan atau pengikutnya tersendiri. Begitu juga aktiviti air seperti skuba, kapal layar serta memancing yang telah lama di jadikan acara penting dalam kalendar pelancongan antarabangsa.

Acara-acara seperti ini menjadi penyumbang besar kepada industri pelancongan dengan membawa masuk aliran wang asing. Sektor pelancongan domestik termasuk penganjur acara, pengusaha pengangkutan, makanan dan tempahan hotel, hiburan dan peniaga kecil-kecilan mendapat faedah terus daripada aktiviti ini. Kegilaan peminat terhadap kelab atau pemain akan membawa mereka menjelajah negara dan negeri-negeri di mana perlawanan diadakan.

Di Miri baru-baru ini berlansung Pertandingan Memancing Antarabangsa dianjurkan oleh Kelab Pemancing Miri dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Tourism Malaysia yang sentiasa peka kepada perkembangan produk pelancongan negara.

Acara ini berjaya menarik hampir 100 peserta dalam dan luar negara dan ia bukanlah acara kecil bagi peminat sukan memancing. Penganjur acara dapat melihat potensi yang boleh dibawa melalui acara ini untuk mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi sukan memancing yang menarik di rantau ini.

Jika dilihat dari sudut sukan, ia memang salah satu acara premium bagi peminat sukan memancing selain Pertandingan Memancing Antarabangsa Labuan yang dianjurkan dan berpusat di pulau pesisir Sabah itu.

Pertama lokasi permainan atau pertandingan anjuran Miri adalah yang terbaik di rantau ini jika tidakpun bertaraf Cabo San Lucas, di Mexico, pusat pelancongan dan sukan memancing tersohor bagi pemancing ‘hard core’ mengejar mersuji dan layaran. Kedua-dua spesies ini merupakan ikan paling premium dalam arena sukan memancing di dunia.

Apa yang disediakan di Miri juga bertaraf eksklusif kerana bandar raya kedua terbesar di Sarawak ini terletak berhampiran lapangan Terumbu Lucornia, salah satu gugusan terumbu yang sangat kurang diganggu di rantau Asia Tenggara. Ia terletak kira-kira 100 kilometer atau perjalanan antara 8 hingga 12 jam menaiki bot pemancing.

Di sinilah pemancing hard core cuba memecahkan rekod peribadi untuk mencari ikan terberat yang bermain di sekitar terumbu sehingga mencecah kedalaman 200 meter. Perairan sebegini, menurut kata mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri George Chan, adalah satu-satunya perairan di mana ikan dan hidupan merinnya ‘sempat tua’, dan memang terbukti apabila peserta memancing menaikkan ikan puluhan kilogram, bukan seekor tetapi banyak ekor bersaiz mega.

Kedalaman airnya bukan sekadar menyimpan kerapu (ikan hidangan meja) atau kertang (bagi bersaiz besar mencecah puluhan kilogram) tetapi ikan-ikan yang sehebat mersuji dan layaran iaitu GT singkatan kepada Giant Trevalley yang akan memberi tentangan sehebat mersuji dan layaran.

Inilah yang menarik pemancing antarabangsa ke Luconia selain acara di Labuan yang terpusat pada perairan di sekitar Terumbu Layang-layang. Dua lokasi ini adalah arena premium yang dapat disajikan Malaysia bagi acara sukan memancing bertaraf antarabangsa.

Setiap pemancing luar negara akan membelanjakan sekitar RM5,000 hingga RM8,000 untuk penerbangan, makan dan penginapan, pengangkutan dan juga sewa bot yang merupakan kos paling tinggi kerana perjalanan yang jauh dan kemudahan yang disediakan.

Bukan hadiah yang dikejar pemancing antarabangsa ini tetapi kepuasan bersukan dan percutian santai sambil menguji 'adrenaline’ ketika berentap dengan ikan-ikan ini sama seperti pemandu F1 menghampiri garisan penamat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: