Saturday, June 11, 2011

Mengajar muzik di bawah Tugu Negara




UNTUK para pelancong dari luar negara yang datang melancong ke negara ini terutamanya ke Kuala Lumpur, tidak lengkap rasanya kalau mereka tidak dibawa untuk melawat ke salah sebuah tempat bersejarah yang cukup terkenal.

Tempat yang dimaksudkan adalah Tugu Negara, sebuah tugu yang mula dibina dan siap pada 8 Februari 1966. Tugu setinggi 15 meter itu diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix De Weldon.

Terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, tujuan dibina adalah untuk memperingati dan memberi penghormatan kepada lebih 11 ribu parajurit yang gugur dalam medan peperangan pada Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan semasa darurat.

Bagaimanapun, di sebalik populariti Tugu Negara yang menjadi tempat yang wajib dikunjungi pelancong, ternyata terdapat satu lagi tarikan lain sehingga turut menggamit tumpuan warga tempatan berkunjung ke situ.

Di sekitar kawasan pekarangan tugu berkenaan, orang ramai akan dapat menyaksikan sekumpulan pemain dram dan perkusi jika mereka hadir pada setiap hari Ahad bermula pukul 5.30 petang sehingga 8.30 malam.

Sebenarnya mereka adalah sekumpulan pemuzik yang dikenali sebagai Tugu Drum Circle (TDC). Ia merupakan sebuah kumpulan muzik yang memberi latihan percuma kepada orang ramai untuk mempelajari alat instrumen perkusi dan dram.

Lebih menarik lagi, kumpulan berkenaan sebenarnya telah lama wujud dan bertapak di situ sejak tahun 2002. Ia ditubuhkan oleh dua orang rakan yang begitu meminati seni muzik iaitu Paul Lau dan Salim Dastan.

Menurut Paul, tujuan dia dan rakannya itu menubuhkan TDC adalah untuk memberi pendedahan yang lebih meluas tentang instrumen perkusi kepada masyarakat.

“Tidak dinafikan bahawa masih ramai yang tidak begitu mengenali instrumen ini dan ia juga agak jarang dimainkan. Jadi, kami rasa perlu ada inisiatif untuk mempopularkannya dan akhirnya tertubuhlah TDC.

“Biarpun kumpulan ini hanya bermula dengan dua orang sahaja, namun kini ia sudah mempunyai bilangan ahli yang ramai dan ada yang secara sukarela membantu untuk memberi latihan kepada mereka yang berminat untuk belajar,” ujarnya.

Tambah Paul lagi, setakat ini dia dibantu oleh 10 orang ahli kumpulan tersebut yang sentiasa memberi komitmen mereka untuk hadir pada setiap minggu.

Ujarnya, matlamat TDC ditubuhkan bukanlah bertujuan untuk mendapat keuntungan dari segi wang ringgit kerana apa yang diajar adalah secara percuma dan mereka yang mahu belajar tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Kumpulan ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berhasrat dan berminat untuk mempelajari skil dan teknik asas permainan alat perkusi dan dram,” jelasnya.


PENGASAS Tugu Drum Circle, Paul Lau (kiri) bersama salah seorang anggota terawal mereka, Terra dan anggota baru mereka, Vic Suppiah.


Mengenai peralatan perkusi yang disediakan pula, Paul memberitahu, semuanya dibawa sendiri oleh ahli kumpulannya. Malah, dia sendiri mempunyai sebanyak 20 alat perkusi yang dibeli dan dikumpul sejak sembilan tahun lalu.

Ujarnya, kebanyakan peralatan tersebut sememangnya popular dimainkan dalam muzik negara-negara Latin dan Afrika seperti Shaker, Cowbell, Cabasa, Gankogui, dan Tamburin.

“Dahulu kalau kami mendapat wang yang dibayar selepas membuat sesuatu persembahan, kesemua wang tersebut akan dibahagikan sama rata kepada semua ahli yang terlibat.

“Bagaimanapun, sejak dua tahun yang lalu kami semua telah sepakat agar sebahagian wang yang diperoleh itu akan disumbangkan kepada kumpulan,” ujarnya.

Paul menjelaskan, cara tersebut terpaksa dilakukan supaya kumpulannya itu mempunyai sumber kewangan terutamanya untuk membeli peralatan perkusi yang baru.

Jelasnya, memang ramai yang berminat untuk mempelajari dan bermain alat-alat muzik berkenaan tetapi ada di antaranya yang tidak memiliki peralatan berkenaan.

Sementara itu, biarpun sesetengah pihak melihat mereka sebagai pemuzik jalanan, namun apa yang menggembirakan adalah apa yang dilakukan itu tetap mendapat sokongan ramai termasuk pihak berkuasa tempatan.

“Sepanjang sembilan tahun kumpulan ini ditubuhkan, inilah satu-satunya tempat kami menjalankan aktiviti dan setakat ini tiada masalah kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut memberi kebenaran.

“Malah, boleh dikatakan para peniaga di kawasan ini juga gembira dengan apa yang kami lakukan kerana ia dilihat sebagai satu tarikan untuk orang ramai dan pada masa yang sama menambahkan pendapatan mereka,” jelasnya.

Selain Paul, seorang lagi individu yang menjadi tulang belakang kepada TDC ialah Jisteraizi Md Fauzi atau lebih dikenali sebagai Terra dalam kalangan ahli kumpulan tersebut.

Menyertai TDC sejak mula ia ditubuhkan, pelajar dalam bidang muzik di Aswara itu turut meluangkan masa pada hujung minggu dengan menjadi salah seorang tenaga pengajar.

“Walaupun apa yang diajarkan hanya merupakan teknik asas, namun saya sendiri sebenarnya turut berminat untuk mengajar tentang nota-nota muzik dengan lebih mendalam.

“Bagaimanapun, saya akan ajar kepada mereka yang benar-benar minat dan mengetahui serba sedikit asas dalam muzik kerana apa yang lebih penting adalah mengajar mereka bermain alat muzik dengan baik,” jelasnya.

Perpaduan kaum

Biarpun sudah sembilan tahun bertapak di kawasan Tugu Negara, Paul memberitahu, setiap minggu sambutan yang diterima oleh mereka sememangnya sangat menggalakkan.

Ujarnya, mereka yang datang untuk mempelajari dan bermain alat muzik berkenaan terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta tanpa mengira umur termasuklah kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

“Pada saya apa yang kami lakukan ini bukan sekadar mengajar muzik semata-mata, malah ia dilihat sebagai satu cara untuk membentuk perpaduan kaum di Malaysia.


TDC juga menerima jemputan membuat persembahan dalam majlis-majlis berkaitan hiburan.


“Ia bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang diterapkan kerana tidak kira sama ada Melayu, Cina, India atau lain-lain kaum, di tempat ini semua orang akan berkumpul dan bermain alat muzik bersama-sama,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selain dapat menarik minat masyarakat tempatan, terdapat ramai pelancong asing yang berkunjung ke situ turut tertarik dan berminat dengan apa yang dilakukan oleh mereka.

Bagaimanapun, Paul menegaskan bahawa apa yang diajar oleh ahli kumpulan berkenaan adalah peringkat asas sahaja agar dapat menanam minat orang ramai terhadap muzik yang dihasilkan melalui peralatan tersebut.

“Sebenarnya apa yang kami lakukan ini lebih menjurus kepada projek komuniti dan tidak mengejar sebarang keuntungan kerana kami tidak mengenakan sebarang bayaran.

“Sekiranya ada yang berminat untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam, saya akan memperkenalkan mereka kepada pihak yang lebih pakar terutama guru di sekolah muzik,” jelasnya.

Ujarnya, TDC ditubuhkan bukan sekadar hiburan semata-mata, malah matlamat utama setiap ahli kumpulan adalah mahu berkongsi ilmu dan pengalaman serta menjadikan muzik sebagai asas penyatuan kaum.

Bukan sekadar hiburan

Biarpun kini usianya sudah mencecah 46 tahun, namun ia bukan satu penghalang bagi Vic Suppiah untuk bergiat aktif bersama kumpulan TDC sejak menyertai mereka kira-kira lapan bulan lalu.

Menurut Vic, dia sebenarnya amat meminati permainan dram dan telah diberitahu oleh salah seorang rakannya mengenai sebuah kumpulan di Kuala Lumpur yang aktif bermain peralatan tersebut.

“Kemudian saya banyak mencari maklumat mengenai kumpulan ini menerusi Internet dan saya dapati aktiviti yang dilakukan mereka pada setiap hujung minggu sangat menarik.

“Jika sebelum ini hobi seperti menyelam dan bermain golf menjadi kegemaran, tetapi kini masa hujung minggu saya lebih banyak dihabiskan bersama TDC,” jelasnya.

Tambah Vic lagi, dia sangat tertarik untuk menyertai kumpulan tersebut disebabkan mereka tidak mengenakan sebarang bayaran kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk belajar.

Malah, dia turut kagum kerana merasakan tidak ramai yang mampu untuk menjalankan sesuatu aktiviti yang dilihat mampu untuk menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini tanpa mengira status.

“Apa yang dilakukan oleh TDC ini adalah sesuatu yang cukup unik dan jarang dilakukan. Saya melihat ia bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi yang lebih penting menggunakan muzik untuk menyatupadukan semua kaum,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: