
DEWAN Filharmonik Petronas (DFP) yang terletak di bangunan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur sememangnya dikenali sebagai antara lokasi yang sering menganjurkan persembahan yang berbentuk kesenian.
Ia merupakan sebuah dewan konsert pertama di Malaysia yang dibina khas untuk muzik klasik oleh Petronas dan di situ jugalah berpangkalannya Orkestra Filharmonik Malaysia yang sangat terkenal.
Semenjak dibuka pada tahun 1998, DFP telah menjadi tuan rumah kepada berbilang-bilang seniman dan orkestra terkemuka di dunia serta menyajikan persembahan kebudayaan muzik dan tarian tradisional Malaysia.
Malah, boleh dikatakan bukan sebarangan artis atau kumpulan kesenian yang dapat membuat persembahan di situ bagi mengekalkan imejnya sebagai sebuah tempat yang berprestij dan turut dikenali di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, pada tanggal 30 Mei yang lalu kumpulan Tugu Drum Circle (TDC) telah mencatat sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan oleh pihak DFP untuk mengadakan persembahan di pentas yang berprestij itu.
Menurut jurucakap pihak DFP, persembahan yang dianjurkan itu adalah sebahagian daripada program di bawah siri DFP Spotlight, iaitu sebuah platform untuk artis atau kumpulan tempatan menyerlahkan lagi bakat mereka.
“Sebelum ini sudah ramai yang pernah terlibat membuat persembahan di bawah program ini seperti Mia Palencia, Rachel Guerzo, Noryn Aziz serta kumpulan AkashA. Kali ini giliran kumpulan TDC pula diberi peluang.
“Pihak kami membuat keputusan untuk mengundang mereka mengadakan persembahan di DFP berdasarkan kepada sumbangan mereka untuk menarik minat masyarakat supaya lebih meminati bidang muzik,” jelasnya.
Ujarnya lagi, sambutan yang diterima pada persembahan malam tersebut sangat menggalakkan apabila dianggarkan kira-kira 700 orang hadir untuk menyaksikan persembahan yang diadakan selama sehari itu.
Berlangsung selama hampir dua jam, mereka yang hadir dihiburkan dengan persembahan alunan muzik drum dan perkusi bagi mengiringi lagu-lagu yang dinyanyikan seperti Bomba, Calypso, Bhangra, Masquenadana, Samba serta lagu-lagu tradisional tempatan.
Untuk menghangatkan dan memeriahkan lagi persembahan pada malam berkenaan, TDC turut menjalinkan kolaborasi dengan beberapa artis dan kumpulan iaitu Steve Thornton, White Percussion Unit, Philip Robert, Dhol Federation, Kumpulan Perkusi Aswara, Drum Simfoni dan Wadaiko Syo.
Persembahan di Jepun, India
Sementara itu, pemuzik TDC, Paul Lau pula menjelaskan mendapat undangan untuk membuat persembahan di tempat yang bertaraf antarabangsa dianggap sebagai satu bentuk penghormatan kepada TDC.
Ujarnya, sepanjang sembilan tahun TDC ditubuhkan, dia langsung tidak pernah terfikir mendapat peluang untuk tampil di sebuah tempat yang terkenal seperti DFP dan beranggapan ramai artis atau kumpulan sememangnya menanam impian untuk mengadakan persembahan di situ.
“Sememangnya sebelum ini kami sudah membuat persembahan di merata-rata tempat. Jadi, kami berasa sangat terharu dan pada masa yang sama mahu menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak DFP atas peluang yang diberikan.
“Biarpun baru kali pertama membuat persembahan di DFP, namun kami sangat gembira atas sambutan yang telah diberikan oleh mereka yang hadir dan berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan setelah hampir sebulan berlatih,” ujarnya.
Ketika ditanya tentang hala tuju atau program kumpulan itu selepas ini, Paul menjelaskan bahawa mereka sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk membuat persembahan di luar negara seperti di Jepun dan India.
“Sebelum ini kami ada membuat persembahan dengan sebuah syarikat penerbangan tempatan dan mereka ada menghadiahkan 10 tiket percuma untuk pergi ke mana-mana destinasi di luar negara.
“Kemudian kami merancang untuk pergi ke Jepun, tetapi ia terpaksa dibatalkan kerana bencana tsunami yang melanda negara itu. Mungkin dalam tahun ini juga kami akan pergi ke India untuk membuat persembahan dan bertemu dengan kumpulan perkusi di sana,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: