TARIKH 25 Januari lalu disifatkan sebagai tarikh keramat buat Batalion Malaysia 3 (Malbatt 3) apabila mereka memulakan misi di bawah panji-panji Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil).
Malbatt 3 memulakan tugas rasmi itu selepas berlangsungnya perbarisan serah terima tugas antara Malbatt 2 dan Malbatt 3 pada tarikh berkenaan.
Kolonel Mohd. Nazri Abd. Rahman yang mengetuai Malbatt 3 memberitahu, sepanjang bertugas di bumi anbia itu, Malbatt 3 terus mengekalkan reputasi yang baik dengan penduduk tempatan dan kontinjen-kontinjen negara lain.
Antara peranan mereka termasuklah melakukan perjumpaan dengan semua datuk bandar negara tersebut dan pemimpin tempatan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) dengan sempurna.
Kata Mohd. Nazri, bagi mencapai misi yang ditetapkan, operasi ketenteraan dilaksanakan tanpa mengira masa dan keadaan cuaca.
“Beberapa tugas dilaksanakan demi mengekalkan keamanan dalam KTJ. Antaranya adalah contact patrol iaitu perjumpaan dengan pemimpin, datuk bandar dan penduduk tempatan yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan di samping mendapatkan maklumat terkini berhubung perkembangan semasa dan maklumat perisikan.
“Observation Patrol pula adalah untuk membuat pemerhatian ke atas aktiviti yang mengancam keselamatan di kawasan operasi,” katanya.
Jelasnya, Rondaan Counter Rocket Launching Operation (CRLO) bersama Lebanese Armed Forces (LAF) di kawasan wadi atau khallat iaitu kawasan lembah pergunungan turut dibuat bagi mencegah kawasan tersebut dijadikan tapak pelancar roket.
Di samping itu, Malbatt 3 juga terlibat melakukan M Road Check Point (RCP) iaitu satu bentuk tugas sekatan jalan raya. Penugasan tersebut dilaksanakan secara koordinasi bersama Polis Tentera UNIFIL dan LAF.
“RCP ini bertujuan untuk menahan, mengesan dan mengenal pasti kenderaan yang mencurigakan. Selain daripada rondaan menggunakan kenderaan, rondaan berjalan kaki atau foot patrol turut dilaksanakan bersama LAF.
“Tugas-tugas ini dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan profesional oleh setiap peringkat anggota Malbatt,” ujar beliau.
Program jiwa
Dalam pada itu, Mohd. Nazri memberitahu, peranan Malbatt bukan sekadar untuk menjalankan tugas-tugas operasi ketenteraan, malah melaksanakan program-program jiwa murni untuk mengukuhkan tali persaudaraan dengan warga tempatan.
Ujarnya, aktiviti jiwa murni atau dikenali sebagai Civillian and Military Cooperation (CIMIC), iaitu program utama CIMIC Malbatt adalah Medical Care.
“Program CIMIC Medical Care bertujuan memberikan perkhidmatan perubatan percuma kepada penduduk tempatan.
“Bagi tempoh tiga bulan pertama penugasan, Malbatt 3 telah berjaya memberi perkhidmatan Medical Care kepada 17 buah mukim dan merawat lebih 500 orang pesakit.
“Kita juga turut menayangkan video Tourism Malaysia serta memberi cenderamata dan pengenalan kuih Malaysia untuk mempromosikan negara,” katanya.
Bagi membantu warga tempatan di Lebanon, Malbatt menjalankan beberapa sumbangan peralatan perubatan di hospital kerajaan dalam KTJ termasuk melaksanakan projek penanaman pokok dengan penduduk tempatan.
Menurut beliau, aktiviti CIMIC di sekolah-sekolah pula seperti menganjurkan kelas seni mempertahankan diri, kelas Mines Awareness, kelas tarian tradisional, kelas Bahasa Inggeris dan sumbangan enjin kepada sekolah teknikal.
“Setakat ini program CIMIC yang diberikan oleh pasukan di kawasan operasi memberi impak yang penting kepada Malbatt di mana ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan baik dengan rakyat tempatan.
“Majlis keagamaan dan sosial turut dianjurkan bagi mengekalkan ukhwah antara Malbatt, penduduk setempat dan dalam kalangan kontijen UNIFIL.
“Kami menjalankan aktiviti seperti sambutan Maulidur Rasul, tahlil, qiamulail, perlawanan bola sepak persahabatan antara penduduk tempatan serta Majlis Sambutan Hari Tentera Darat ke-78, Hari Kontinjen Malaysia dan Brunei,” katanya.
Ketumbukan Malbatt 3 adalah seramai 49 orang pegawai dan 391 LLP (lain-lain pangkat) yang terdiri daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, dua pegawai dan 18 LLP Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kementerian Pertahanan telah ditubuhkan pada 29 September 2010 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Sebagai persiapan ke Lebanon, kesemua anggota Malbatt 3 telah menjalani latihan integrasi pasukan atau dikenali sebagai Force Intergration Training (FIT) selama tiga bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: