Sunday, June 5, 2011

Main 36 jam tanpa henti

SEJARAH...berjaya mencatat nama dalam Buku Rekod Malaysia.
SEJARAH...berjaya mencatat nama dalam Buku Rekod Malaysia.

IRAMA lagu yang dimain menggunakan cak lempong memecah keheningan awal pagi di Putrajaya. Biarpun waktu itu kebanyakan orang lena diulit mimpi, mereka tetap memaksa mata untuk berjaga.

Walaupun mungkin tiada orang melihat persembahan dan menghayati irama dialunkan, ia tidak memperlahankan rentak permainan mereka, sebaliknya dilakukan dengan penuh semangat.


Mereka bukan melakukan latihan ekstrem mahupun m persembahan pada satu majlis, sebaliknya itu adalah percubaan mereka untuk mencatat rekod sebagai permainan muzik cak lempong terpanjang di Malaysia.

  • Foto

    ASYIK...alunan muzik cak lempong seakan memberi ketenangan kepada pendengarnya.

  • Foto

    ASYIK...alunan muzik cak lempong seakan memberi ketenangan kepada pendengarnya.

  • Foto

    CEKAP... pemain perlu bijak mengawal pergerakan tangan.

Tempoh 36 jam menjadi pertaruhan sebanyak 36 pasukan cak lempong, termasuk 11 institusi pendidikan dari tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.


Cabaran dianjurkan oleh Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) itu nyata tidak sia-sia apabila berjaya mendapat pengiktirafan dari Buku Rekod Malaysia (MBOR).


Lebih 300 peserta mengambil bahagian dalam cabaran yang diadakan sempena Hari Belia Negara baru-baru ini dan pentas yang menempatkan pemain ini sentiasa mendapat perhatian sepanjang tiga hari program berlangsung.

Ia bermula kira-kira jam 10.50 pagi pada 27 Mei lalu dan berakhir waktu sama pada 29 Mei. Lebih manis, penyerahan sijil MBOR disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.


Ketika waktu di skrin menunjukkan masa berbaki 10 minit, permainan muzik cak lempong bertambah rancak dan peserta seakan disuntik semangat luar biasa.

Keghairahan mereka menanti detik terakhir tempoh itu turut dikongsi bersama pengunjung yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan detik bersejarah itu.


Individu paling gembira dan lega sebaik masa tepat menunjukkan tempoh 36 jam itu berakhir pastinya Presiden MYHA, Khairul Annuar Mansor.


Apa tidaknya, sebelum cabaran berlangsung, dia berdepan pelbagai ujian, termasuk pandangan sinis sesetengah pihak yang beranggapan impiannya tidak akan tercapai.


Baginya, biarpun perit untuk menelan segala tohmahan dilemparkan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan cabaran itu.


"Idea menganjurkan cabaran ini sebenarnya bermula dari cakap-cakap kosong bersama rakan beberapa bulan lalu yang mahu mengenengahkan muzik cak lempong.


"Kebetulan seorang ahli MYHA adalah pengamal muzik cak lempong dan saya fikir tiada salahnya jika kami menganjurkan cabaran ini," katanya.


Selain mencatatkan rekod, objektif cabaran itu adalah menyemai semangat cintakan budaya pada masyarakat, terutama generasi muda, dan dalam masa sama menghiburkan pengunjung.


Menurutnya, pada awalnya dia mahu menjalankan cabaran ini hanya untuk tempoh 24 jam tetapi selepas berbincang dengan MBOR, mereka meminta supaya menambah 12 jam lagi.


Yang menarik, walaupun permainan itu sering dipelopori golongan berusia, 90 peratus peserta yang menyahut cabaran itu berusia 15 hingga 35 tahun.


Lebih 80 lagu dimainkan, di mana satu kumpulan melakukan persembahan selama sejam dan adakalanya diserikan dengan tarian serta nyanyian.


Khairul Annuar berkata, hebahan mengenai cabaran itu bermula Februari lalu dan dia menerima lebih 50 penyertaan namun selepas dilakukan saringan, hanya 36 kumpulan layak.


"Semua kumpulan dinilai sama ada benar-benar layak atau tidak kerana saya mahu mengelak kesilapan yang boleh membatalkan rekod sepanjang ia berlangsung.


"Kemahiran bermain dan kerjasama antara ahli kumpulan menjadi kriteria utama yang dinilai, malah kemampuan mereka menyerap tekanan juga diberi perhatian," katanya.


Mereka diberi latihan kira-kira dua bulan dan sepanjang tempoh itu MYHA sentiasa turun padang bagi memastikan latihan berjalan lancar dan mereka bersedia sepenuhnya menjelang cabaran sebenar.


Sukar mengendalikan banyak pasukan yang lokasinya jauh antara satu sama lain, namun baginya, semangat untuk merealisasikan hasrat itu lebih membara.


Ditanya akan cabaran paling sukar baginya adalah pada peringkat awal cabaran itu dilaksanakan apabila ramai tidak percaya dia mampu melakukannya.


"Ramai menganggap usaha ini sia-sia dan tidak akan berjaya, tidak kurang juga yang menasihatkan saya supaya membatalkan saja hasrat itu.


"Namun bagi saya, sekali melangkah tidak mungkin saya akan berpatah kembali dan terus mencuba selagi terdaya kerana saya tidak mahu gagal sebelum mencuba," katanya.


Selain itu, dia juga berdepan cabaran untuk memastikan peserta sentiasa konsisten, terutama pada awal pagi.


MYHA antara badan di bawah gabungan Majlis Belia Malaysia yang berkonsepkan pelancongan di dalam dan luar negara.


Katanya, seni tradisional bukan hanya diterajui golongan berusia tetapi menjadi tugas generasi muda untuk meneruskan kesinambungan supaya ia tidak hilang ditelan arus kemodenan.


"Dalam meniti zaman moden, tidak bermakna kita perlu melupakan budaya dan seni tradisional kita kerana ia adalah sesuatu yang berharga dan wajar diteruskan.


"Diharap penganjuran cabaran ini mampu membuka mata golongan muda untuk menceburi permainan tradisional ini kerana banyak nilai positif di dalamnya," katanya.


Seorang peserta menaik perhatian pengunjung kerana dia paling bersemangat pada minit-minit akhir tempoh rekod berkenaan dan tidak keterlaluan jika dikatakan dia seolah-olah meniup semangat rakannya yang lain untuk memberi persembahan terbaik.


Edi Saifol Adha Mazdar, 23, bukan asing dalam permainan cak lempong kerana dia pernah mewakili negara dalam pertandingan tradisional di luar negara.


"Sejak di bangku sekolah lagi saya didedahkan dengan permainan tradisional ini oleh ayah saya dan ia seakan-akan sebati dengan jiwa.


"Saya tidak pernah merasa terpaksa menyertai semua ini, sebaliknya berbangga kerana tidak semua golongan muda mampu bermain permainan tradisional," katanya.


Menurutnya, walaupun rakannya lebih gemar memilih muzik tradisional, dia tetap mahu terus memperjuangkan muzik tradisional.


"Boleh dikatakan alat muzik moden mudah dipelajari berbanding alat tradisional dan menjadi cabaran bagi saya untuk menguasai muzik ini.


"Saya sering diundang sebagai pengajar di beberapa sekolah sekitar Seremban untuk mengajar muzik cak lempong dan saya berasa puas apabila melihat mereka mampu bermain dengan baik," katanya.


Bagi Muhammad Wahyuddin Shafuddin, 17, pertukaran daripada satu lagu kepada lagu lain memberi cabaran padanya, tambahan pula pengalamannya dalam permainan muzik cak lempong hanya empat tahun.


Namun atas semangat dan kecekalan tinggi, dia mampu mengatasi masalah dan menyerap segala tekanan dihadapi.


"Memang mencabar untuk mengawal pergerakan tangan supaya bunyi dikeluarkan mengikut lagu dimainkan kerana kesilapan kecil mungkin mencacatkan persembahan.


"Apabila tempo lagu menjadi laju, saya perlu lebih cekap dan pandai mengawal keadaan. Walaupun memenatkan, saya berasa seronok," katanya.




>INFO
> Persembahan cak lempong 36 jam tanpa henti berjaya mencatat nama dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR)
> Disertai lebih 300 peserta dari 36 kumpulan
> Bermula jam 10.50 pagi pada 27 Mei dan berakhir pada waktu sama pada 29 Mei
> Penyerahan sijil MBOR disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

>PROFIL
NAMA: Edi Saifol Adha Mazdar
UMUR: 23 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
KELUARGA: Ketiga daripada lapan beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
KUMPULAN: Persada Studio

>PROFIL
NAMA: Muhammad Wahyuddin Shafuddin
UMUR: 17 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
KELUARGA: Sulung daripada 11 beradik
PENDIDIKAN: Pelajar tingkatan lima
KUMPULAN: Kelab Cak Lempong SMK Tunku Ampuan Durah, Seremban

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: