Sunday, June 19, 2011

Kuda belang lelaki bujang


SET sofa berwarna coklat terang dan krim mengalu-alukan kedatangan tetamu.


MERAH hati dan coklat dipilih sebagai warna utama untuk sebahagian besar barang perhiasan di kediaman berkembar ini.

Rumah dua tingkat bercat hitam dan ungu pada bahagian luarnya ini terletak di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Saat pintu utama yang diperbuat daripada kayu nyatuh dibuka, tetamu disambut oleh hiasan ringkas tetapi mewah yang berkonsepkan Victoria moden.

Kelihatan juga sebuah set sofa dengan kemasan fabrik berwarna coklat terang dan krim. Ia menjadi perabot kegemaran pemiliknya khususnya pada hujung minggu kerana masa lebih banyak dihabiskan dengan menonton televisyen.

Warna bumi

Menurut si pemilik yang hanya ingin dikenali sebagai Feroz, 30, warna bumi itu mampu membangkitkan suasana alam semula jadi yang menyegarkan.

Antara barangan yang menonjolkan warna tersebut ialah sofa, karpet, set meja makan serta hiasan kabinet, dapur dan kemasan di ketiga-tiga bilik tidur.

“Kebanyakan fabrik perabot, kertas dinding dan aksesori di sini berwarna merah hati, coklat dan ungu gelap.

“Warna ini mudah disuaipadankan dengan perabot dan hiasan lain,” kata Feroz.

Jejaka bujang yang tinggal bersama rakan-rakannya ini mengubahsuai rumah tersebut dengan bajet RM40,000 empat tahun lalu demi memenuhi cita rasa jiwa mudanya. Rumah itu dihadiahkan oleh ibu pemilik pada tahun 2007.

Tingkat bawah kediaman ini menempatkan ruang tamu, ruang makan, dapur dan sebuah bilik air dengan tab mandi.

Biarpun tidak sarat perabot, ia tetap nampak mewah dan eksklusif.

Pemilik ternyata bijak memilih kombinasi set perabot dan fabriknya, karpet serta lampu gantung.

“Saya tidak menyukai suasana yang berserabut. Jadi, meminimumkan penggunaan aksesori di ruang bawah ini adalah penyelesaiannya,” kata Feroz.

Ruang makan menempatkan set meja makan lapan kerusi. Di situ juga diletakkan sebuah kabinet dengan cermin besar sekali gus memberi bayangan ruang yang lebih luas selain menyerlahkan barang perhiasan yang tersusun di atasnya.

Feroz yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan juga bijak berbelanja. Dia membeli hampir kesemua perabot serta perhiasan lain semasa potongan jualan murah diadakan.

Kuda belang


RUANG dapur kekal bersih dan tersusun kerana jarang digunakan.


“Ada perabot saya yang dibeli dengan harga diskaun sehingga 80 peratus.

“Selain itu, terdapat juga perabot terpakai yang saya beli seperti meja sisi dan beberapa buah lampu meja yang diperoleh secara percuma,” jelasnya kepada Jurnal.

Barangan di bahagian dapur nampak tersusun, sesuai dengan gaya hidup bujang pemiliknya. Alasan jarang ke dapur membuatkan ruang tersebut lebih kemas dan bersih.

Menurut Feroz, meja ala bistro yang ada di bahagian itu membantu menjimatkan penggunaan ruang.

Sementara itu, saat mendaki tangga untuk menjengah ke tingkat atas, pandangan mata disambut oleh lukisan cat minyak seekor kuda belang.

Kata Feroz, lukisan tersebut menggambarkan kekuatan dan ketenangan serta memberikan inspirasi kepadanya.

“Saya sibuk bekerja, jadi gambar yang dibeli ketika bercuti di Bali, Indonesia ini kadang-kadang membantu menimbulkan mood yang bagus,” katanya.

Bilik tidur utama yang luas menjadi tempat Feroz merehatkan tubuh setelah penat bekerja.

Tidak sekadar bilik tidur semata-mata, ia turut dilengkapi peralatan gimnasium seperti treadmill dan kerusi urut.

“Saya jarang beriadah, jadi kemudahan gimnasium di dalam bilik tidur memudahkan saya untuk bersenam,” katanya yang sempat memberi perhatian pada landskap di luar kediaman.

Biarpun sibuk bekerja, Feroz masih mempunyai waktu untuk bersantai di laman rumah yang memiliki unsur air dan lantai kayu.

Beliau mengabadikan konsep Bali yang ringkas namun idea kreatif dalam menyusun atur elemen landskap tersebut menjadi pelengkap kepada gaya keseluruhan kediaman itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: