Saturday, June 25, 2011

Kelisa Gino




PERCAYA atau tidak, orang Malaysia apabila membeli kereta bukannya fikir pun pasal aspek penggunaan bahan api. Kebanyakan orang yang membeli kereta kerana mereka rasa mampu untuk membayar wang deposit dan bayaran bulanan.

Golongan yang tidak fikir langsung tentang asal-usul sesebuah model kereta pun bukannya sedikit. Itu belum dicampur dengan mereka yang termakan janji manis jurujual yang merepek entah apa benda pasal kereta.

Di sebalik kereta-kereta ‘gagal’ yang masih banyak dijual pada hari ini, terdapat rangkaian kereta yang memiliki reputasi cukup bagus. Satu contoh yang baik ialah Perodua Kelisa dan Kenari. Tidak terkecuali Perodua Viva dan Myvi.

Kelisa dan Kenari merupakan model yang sudah tidak diproduksi lagi. Namun, ia mempunyai harga yang cukup bagus dalam pasaran terpakai. Kalau tidak percaya, cuba anda bandingkan tahun pengeluaran yang sama dengan kereta-kereta lain. Sama ada mahu mengaku atau tidak, kedua-dua kereta itu masih menang dari segi nilai jualan semula.

Kelisa dan Kenari menggunakan platform kereta yang sama. Walaupun kereta itu bagus dari segi nilai pasaran terpakainya, hanya ada dua perkara sahaja yang benar-benar positif mengenainya. Apa lagi kalau penggunaan minyak yang jimat dan senang diparkir.

Pengendalian? Memang tidak boleh diharap. Keselesaan pemanduan? Jauh sekali. Kuasa? Bolehlah untuk digunakan di jalan bandar atau mengalahkan Proton Satria 1.3 yang guna rim 17 inci ketika naik bukit.

Bonusnya, kereta itu masih boleh dikategorikan sebagai murah kalau dibandingkan dengan Hyundai i10, Hyundai Atos, Chana atau Naza Sutera.

Banyak alat ganti

Bagi kelompok yang gemar dengan kerja-kerja modifikasi, K-Car itu dipilih kerana ia mempunyai banyak alat ganti dari Jepun yang boleh disalin. Tidak dapat dinafikan bahawa sebuah Kelisa ‘pekak’ dengan skirt kedai Abang sangatlah kelihatan hina sekali. Tetapi, cuba tukar dan menjadi seperti kereta yang dipaparkan pada kali ini. Sekarang, apa pendapat anda?

Gino adalah salah satu rangkaian model yang diasaskan daripada kerangka L7. Pada ketika ini, Daihatsu menghasilkan dua model (selain L8) untuk pasaran domestik Jepun. Pertamanya ialah Cuore dengan lampu D berimej kontemporari moden dan sebuah lagi Gino yang berimej klasik.

Berbeza dengan tema klasik pada Mitsuoka yang nampak seperti ikan keli di atas darat sedang menggelupur, Gino lebih terarah kepada imej Mini. Bagi sebuah kereta British yang telah dianugerahkan sebagai kereta profilik abad ke-20, Mini adalah ikon yang berjaya. Apabila ditiru oleh Daihatsu, ia memang tidak akan gagal.


Enjin Gino turbo ini telah menggantikan enjin standard sebelum ini.


Tidak sukar untuk mengubah sebuah Kelisa menjadi Gino. Salin semua alat ganti badan dan simpan alat ganti Kelisa yang asal untuk pelan kontigensi. Terutama jika anda mendapat surat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pemeriksaan, bolehlah pasang semula bodypart asal Kelisa. Jangan pula tidak ada alat ganti tersebut, nanti susah kalau kereta anda disita.

Kelisa milik individu yang hanya mahu dikenali sebagai Raja Ahmad itu melibatkan pengubahsuaian menyeluruh. Sehinggakan saya sendiri tidak faham berapa banyak aksesori rare yang ada padanya.

Kadangkala aksesori yang sukar diperoleh itu harganya merepek mahalnya, tetapi masih ada yang sanggup membelinya. Memang tidak masuk akal kalau arch krom dengan lining mencecah harga RM1,000 manakala cermin sisi pula harganya sama dengan sebuah motosikal Yamaha Sports terpakai.

Di dalam ruang enjin kereta itu terletak satu unit enjin Gino turbo. Enjin 660cc turbo itu tidak diusik melainkan pemasangan injap HKS SSQV, penapis udara K&N dan paip tahan karat serta hos Samco. Ekzos pula daripada jenama RSR dengan tabung yang keluar di bahagian tengah, meniru model Japan Domestic Market (JDM) yang asal, bukannya custom.

Suspensi daripada GAB dan brek ialah jenis L700 Gino. Rimnya pula ialah SSR Type C RS dengan tayar Silverstone 175/50. Kalau harapkan keselesaan ketika memandunya, memang tidak ada.

Tidak praktikal

Kalau anda hendak tahu, Mini Cooper S JCW dengan suspensi Bilstein pun tidaklah selesa. Sebabnya, kereta yang kecil memang susah hendak memperoleh tahap pengendalian yang selesa. Melainkan ia lebih berat. Tetapi tidaklah jimat minyak pula nanti.

Bodypart kereta ini disalin daripada model asas Gino. Grill daripada DCN. Cuba cari di mana letaknya cermin sisi kereta itu. Ya, letaknya di atas fender badan. Model DCN yang datang dengan penutup cermin sisi asal.


Kemasan kayu membuatkan Kelisa ini nampak semakin klasik.


Kalau diikutkan praktikal, memang tidak praktikal langsung. Apa hal kena suruh jiran tolong betulkan cermin sisi sebelah belah kiri kalau hendak tengok belakang. Tetapi kalau diukur dari segi rarity, inilah yang dikatakan champion.

Pada bahagian belakang pula, Gino dipasang dengan spoiler Cuore TR dan bampar DCN. Segala aksesori krom boleh dilihat pada kereta itu. Roof rack dengan spotlight Cibie atas bumbung itu pun sudah berapa banyak duit yang terpaksa dihabiskan. Pokoknya, kalau hendak hasilkan sebuah Kelisa seperti ini, nilainya sama dengan dua buah Kelisa biasa. Hanya peminat tegar sahaja yang sanggup melakukannya.

Bahagian dalaman kereta itu apa kurangnya. Setelah disalin dengan aksesori Gino, sesetengah bahagian dipasang dengan kemasan kayu. Sebabnya, bukan semua aksesori Jepun datang dengan kemasan sebegitu. Tempat duduk, karpet dan panel pintu pun turut ditukar.

Pada penghujung cerita, sebuah kereta yang tidak lagi diproduksi akan kekal dengan poliferasi begini. Maksudnya, pengikut baru atau yang otai mungkin beralih kepada model Viva, Myvi atau Nautica (Ada orang ubahsuai Nautica?). Namun, yang lama tetap dengan cara lama. Klasik, barangnya tidak murah, keretanya pun tidak berapa murah? Tetapi pelik bin ajaib, ia terus popular.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: