BARANGKALI pencinta fesyen dalam kalangan generasi muda hari ini, kurang mengenali model kelahiran New York, Amerika Syarikat (AS), Carmen Dell’Orefice berbanding barisan model seperti Tyra Banks, Kimora Lee ataupun Heidi Klums.
Namun tahukah anda, sebelum munculnya kelompok model baharu di persada fesyen Eropah ataupun New York, Dell’Orefice yang memiliki sepasang mata warna coklat perang terlebih dahulu merasai asam garam dunia peragaan penuh glamor.
Buktinya, pada 3 Jun lalu, model yang berdarah campuran Itali dan Hungary itu bukan saja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-80 tahun malah meraikan perjalanan karier peragawatinya yang mencecah tujuh dekad.
Angka tersebut sekali gus mengiktirafkan Dell’Orefice sebagai model profesional tertua yang masih menerima permintaan tinggi untuk melakukan peragaan di pentas fesyen.
Terbaharu, dia yang memiliki seorang cahaya mata kelihatan anggun dan kekal bertenaga sewaktu mengatur langkah pada pertunjukan fesyen jenama Alberta Ferretti’s Pitti Uomo dan Adrienne Vittadini di Pusat Seni Persembahan Lincoln Center, New York, AS.
Mengimbas penglibatannya dalam bidang peraga, Dell’Orefice yang turut digelar ikon fesyen dunia dalam satu temu bual menceritakan: “Semuanya berlaku sewaktu saya menaiki bas dalam perjalanan ke kelas balet. Isteri kepada jurufoto Herman Landschoff, yang turut berada di dalam bas datang menegur dan menawarkan saya menjadi model. Seingat saya ketika itu saya berusia 13 tahun.
“Lalu, pulang saja ke rumah saya memberitahu ayah angkat mengenai tawaran berkenaan dan dia bersetuju. Sesi fotografi bersama Landschoff berjalan lancar meskipun saya kekok beraksi di depan lensa kamera.
Bertitik-tolak daripada pengalaman hari tersebut dan melihat kesungguhan Dell’Orefice ingin menjadi model, maka bapa angkatnya telah menemui sidang redaksi majalah Vogue. Hasil pertemuan itu, Dell’Orefice yang pernah bekerjasama dengan jurugambar legenda seperti Richard Avedon, Irvin Penn, Cecil Beaton dan Norman Parkinson telah mengikat kontrak menjadi model Vogue dengan bayaran AS$7.50 (RM27) setiap jam.
Menjadi penghias muka depan majalah Vogue eluaran Disember tahun 1946 ketika berusia 15 tahun telah menyuntik episod baharu dalam kehidupannya. Sejak hari itu, Dell’Orefice tidak putus-putus menerima tawaran memperaga busana di pentas peraga mahupun majalah fesyen.
Menariknya, model yang memiliki ketinggian 178 sentimeter itu, pernah menjadi penghias muka depan Vogue sebanyak enam kali dan jurucakap untuk 14 kempen iklan kosmetik.
Produk antipenuaan
Sementara itu, supermodel pertama di London yang fotogenik, Twiggy, menjelaskan peningkatan usia sedikitpun tidak menjejaskan kehidupannya sebagai model. Malah, dia menyifatkan kariernya di dalam industri fesyen dan kecantikan masih mendapat kepercayaan ramai pihak.
Meskipun mengalami perubahan bentuk badan dan garis-garis halus mula kelihatan di wajah mulusnya, tetapi Twiggy atau nama sebenarnya Lesley Hornby, 62, masih laris menjadi penghias kempen iklan pelbagai produk dan jenama. Buktinya, pada dua tahun lepas, wajah wanita setinggi 168 sentimeter itu dipilih menghiasi iklan Olay Definity iaitu produk kecantikan antipenuaan.
“Usah disebabkan usia sudah melawati angka 40 tahun, tahap keyakinan diri semakin menurun dan mudah berputus asa. Seharusnya, pertambahan usia menjadikan kita lebih matang dalam mengharungi kehidupan peribadi dan karier.
“Realitinya, saban tahun bidang peragaan menyaksikan kemunculan barisan model baharu yang lebih muda dan berbakat. Namun, situasi itu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya apatah lagi terfikir untuk mengundurkan diri daripada industri ini.
“Sebaliknya, ia mendorong saya untuk berani mencuba bidang lain yang bersesuaian dengan usia,” tutur anak kelahiran Neasden, London itu yang kini menceburkan diri dalam bidang lakonan.
Selain itu, berbekalkan pengalaman hampir lima dekad dalam industri fesyen, Twiggy yang pernah menjadi juri program realiti America’s Next Top Model, turut berjinak-jinak dalam perniagaan pakaian konsep fesyen jalanan.
Mengimbas kemunculan Twiggy di arena fesyen, segala-galanya bermula selepas jurufoto terkenal, London, Nigel Davies, menyuntingnya untuk menandatangani kontrak modeling tatkala usianya menginjak 16 tahun.
Bertubuh langsing, memiliki sepasang bulu mata yang lentik dan berambut pendek warna perang keemasan menyebabkan kehadiran Twiggy di pentas peraga pantas dikenali ramai. Popularitinya bukan sahaja di negara kelahirannya malah ‘merebak’ ke pentas fesyen New York sehingga dia mendapat undangan khas memeriahkan acara peragaan di sana pada bulan Mac 1967.
Wajah comel ibu kepada seorang cahaya mata itu, kerap menghiasi muka depan majalah Vogue, Tatler, Newsweek dan Harper’s Bazaar. Ini termasuklah, menjadi pilihan produksi iklan dari Jepun iaitu Toyota Motors dan Choco Flakes bijirin sarapan pagi.
Bakat baharu
Dalam pada itu, Janice Doreen Dickinson, merupakan salah seorang supermodel terkenal yang masih lagi aktif dalam industri fesyen antarabangsa. Biarpun kini, usianya mencecah 57 tahun tetapi khidmat anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu tetap diperlukan industri.
Cuma bezanya, bekas juri America’s Next Top Model berkenaan kurang menonjol di pentas peraga mahupun ruangan majalah fesyen sebaliknya bertugas di belakang tabir. Tugas dan tanggungjawabnya pada hari ini mengendalikan agensi model The Janice Dickinson yang mula beroperasi pada November 2005.
Agensi yang terletak di Hollywood itu menyediakan platform dan membuka peluang terbaik kepada ratusan model baharu yang memasang impian untuk mencipta nama dalam dunia peragaan.
“Usaha membentuk dan melahirkan model profesional akan diteruskan selagi saya termampu. Ilmu dan pengalaman yang dikutip dalam bidang modeling selama 30 tahun ini akan saya salurkan sebaik mungkin kepada kelompok model junior.
“Bergelar model tidak hanya bersandarkan rupa paras dan kebijaksanaan beraksi di depan lensa kamera semata-mata. Sebaliknya, setiap model perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi, berdisiplin dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran yang datang,” jelas Janice yang turut menyifatkan ketegasan sikapnya dan usaha memperbaiki kelemahan diri menjadi antara faktor dia masih kekal dalam industri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: