STURGEON merupakan sejenis ikan bersaiz besar daripada keluarga Acipenseridae yang dikatakan telah hidup sejak zaman dinosaur lagi apabila fosil tertua yang dijumpai bertarikh 200 juta tahun.
Terdapat lebih kurang 26 jenis spesies termasuk genera Acipenser, Huso, Scaphirhynchus dan Pseudoscaphirhynchus.
Haiwan purba itu hanya hidup di lembangan sungai besar, tasik-tasik, perairan pantai dan laut dalam di kawasan hemisfera utara sahaja. Antara negara-negara tersebut termasuklah Azerbaijan, Bulgaria, Iran, Rusia dan negara Eropah dan utara Amerika.
Rupanya kelihatan seperti ikan keli tetapi, bersaiz besar sehingga boleh mencapai panjang 5.5 meter bergantung kepada jenis spesies.
Usianya pula amat panjang sehingga boleh mencapai 150 tahun dan ada sesetengah sturgeon seberat 150 kilogram apabila sudah matang.
Sturgeon sentiasa diburu untuk mendapatkan telurnya untuk dijadikan kaviar.
Kaviar merupakan sejenis makanan yang diklasifikasi sebagai gastronomi mewah kerana harganya boleh mencecah sehingga RM150,000. Walaupun mahal, ia sentiasa mendapat permintaan tinggi.
Disebabkan nilai pasarannya, pemburuan haram sturgeon berlaku secara tidak terkawal terutama di Laut Kaspian apabila keruntuhan Kesatuan Soviet.
Laut Kaspian yang bersempadan dengan Republik Islam Iran dikatakan mempunyai hampir enam jenis spesies sturgeon dan antara sumber kaviar yang bermutu tinggi.
Tambahan pula, selepas keruntuhan republik sosialis itu, tiada sistem pengawalan dan pengurusan yang sistematik dalam menuai hasil ikan tersebut dijalankan di sana.
Tangkapan yang tidak terkawal dan sifat sturgeon yang sangat lambat dewasa telah meletakkan haiwan tersebut di ambang kepupusan.
Faktor-faktor lain yang menyumbang risiko kepupusannya adalah haiwan itu hanya akan mencapai usia matang untuk membiak pada usia yang lewat.
Selain itu, kegiatan manusia bagi mengejar arus kemodenan juga menyebabkan kemusnahan dan pencemaran habitat asli binatang tersebut.
Usaha
Pelbagai tindakan telah diambil bagi memastikan kelangsungan spesies tersebut dengan tidak membuat tangkapan yang melebihi kapasiti pembiakannya.
Usaha menyelamatkan sturgeon mendapat sambutan dan pada mesyuarat ke-10 oleh Conference of the Parties (COP) di Harare, Zimbabwe pada tahun 1997.
Ahli-ahli COP bersetuju untuk mengawal setiap aktiviti perdagangan yang melibatkan ikan sturgeon di peringkat antarabangsa.
Setiap bahagian ikan tersebut seperti kaviar, daging, kulit dan lain-lain yang memasuki pasaran perlu memiliki permit atau sijil pengeluaran yang sah oleh CITES.
CITES merupakan sebuah badan yang mengawal perdagangan melibatkan flora dan fauna yang berdepan bahaya kepupusan.
Sistem itu direka bagi memastikan setiap penghantaran hasil produk sturgeon dapat direkod dan dikawal serta tempat asal ikan tersebut dapat dikesan.
Menurut perangkaan Kesatuan Pemuliharaan Sedunia (IUCN), lebih 85 peratus spesies ikan sturgeon berdepan risiko kepupusan dan menjadikan ia sebagai haiwan yang paling terancam.
Selain usaha-usaha yang dilakukan oleh badan-badan antarabangsa bagi menyelamatkan sturgeon daripada pupus, sebuah projek kolaborasi Romania-Norway diadakan pada 16 Mei lalu.
Projek yang diadakan di kampung Tamadau yang terletak 40 kilometer dari timur Bucharest, Romania itu bertujuan mengkaji cara hidup dan habitat sturgeon.
Sebanyak enam ekor sturgeon dewasa telah dipasang alat Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) pada bahagian ekor bagi memantau pergerakan mereka ke habitat semula jadi mereka.
Kemudian, ikan-ikan tersebut dilepaskan ke sungai Danube yang merupakan sungai kedua terbesar di benua eropah serta menjadi sempadan kepada 10 buah negara.
Sungai Danube juga merupakan salah satu habitat sturgeon dan dengan pemasangan GPS itu, para penyelidik dapat mengetahui laluan biasa perjalanan ikan berkenaan.
Usaha tersebut juga diharap dapat mengkaji corak dan jenis makanan serta cara ikan tersebut membiak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: