![]() |
| NORAINI mahu berkongsi ilmu jahitan yang dimilikinya dengan para pembaca. |
BAGI sesiapa yang baru didiagnosis dengan penyakit kanser dan saat berperang dengan penyakit itu, putus asa mungkin perkataan yang sering kali muncul dalam kotak fikiran.
Namun, enggan melihat kanser usus sebagai penyakit yang menghalang dirinya daripada melakukan perkara yang diminati iaitu kerja tangan, Noraini Margono berusaha berkongsi ilmunya kepada penggemar bidang yang sama.
Selagi direstui dengan umur yang panjang oleh Allah, kata Noraini, dia mahu berkongsi kemahirannya melalui penulisan buku.
Komitmen tersebut telah menyaksikan Noraini berjaya menghasilkan empat jilid penulisan yang dikompilasi di bawah empat buah buku, Cara Mudah Menjahit.
“Alhamdulillah, Allah beri saya peluang untuk berkongsi lebih banyak pengetahuan. Selepas buku pertama yang dikeluarkan pada tahun 2006, saya mengeluarkan dua lagi buku iaitu buku resipi memasak dan buku menjahit tudung,” katanya merujuk kepada buku terbaharu beliau, Cara Mudah Menjahit Tudung.
Keghairahannya menulis membolehkan peminat tulisan Noraini dihadiahkan dengan sebuah lagi buku panduan menjahit iaitu menjahit kain cadar, sarung kusyen dan sebagainya.
“Skrip telah disediakan. Sekarang saya kena buat kerja praktikal dan mengambil foto. Ia akan mengambil masa kerana kita perlu menunjukkan realiti jahitan secara langkah demi langkah dalam buku itu nanti. Saya berharap ia dapat dikeluarkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi,” kata wanita yang sudah berusia 55 tahun itu.
Noraini ditemui pada majlis promosi Mutiara Minda bersama MPH yang diadakan di gedung buku MPH, Mid Valley, Kuala Lumpur.
Pada majlis promosi tersebut, Noraini bersama anak lelaki dan seorang lagi pembantu mendemonstrasi cara-cara menjahit langsir secara mudah dan cepat.
“Cara seumpama ini menunjukkan bahawa seseorang boleh mengikut panduan dalam buku untuk menjahit langsir,” ujarnya.
Ibu kepada enam orang anak itu juga sedang menyediakan Sijil Modular Kebangsaan pendidikan kemahiran menjahit langsir dan jahitan dalaman untuk Kolej Komuniti.
“Saya juga akan melatih pensyarah dari Kolej Komuniti di akademi jahitan saya di Taman Kampung Utama, Johor Bahru,” katanya yang sudah 30 tahun menimba pengalaman dalam bidang jahitan.
Jelasnya, tawaran itu mungkin disebabkan keistimewaan buku jahitan langsir yang amat mudah difahami dan diterima baik oleh pembaca.
Buku tersebut juga mendapat respons yang baik daripada pembaca dan terus menjadi inspirasi Noraini untuk mengeluarkan lebih banyak buku, termasuk masakan.
“Saya berpendapat di Malaysia amat kurang buku berkaitan jahitan khususnya jahitan langsir.
“Semasa didiagnosis dengan penyakit kanser, saya mahu membuat sesuatu yang baik sebelum Allah mengambil nyawa saya. Oleh itu, saya daripada seorang penjahit biasa, mengambil langkah untuk menjadi penulis dan menghasilkan buku ini.
“Pada awalnya, ahli keluarga berasa tidak selesa dengan keputusan saya memandangkan keadaan diri saya yang tidak sihat. Mereka bimbang jika ini memberikan tekanan kepada diri saya.
“Tetapi, setelah buku ini berjaya dan pembedahan pertama saya juga berjaya, mereka menerima dan menyokong usaha saya,” katanya penuh bersemangat.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: