Sunday, June 12, 2011

IFF XII Persona busana Muslim menyerlah


PEREKA Tom Abang Saufi (tengah) bersama himpunan Straits Timeless.


DEBUT Festival Fesyen Islam (IFF) di Singapura baru-baru ini memberikan suntikan perubahan paling ketara lagi mempersonakan bagi rekaan busana muslim.

Ia sekali gus membuktikan kedewasaan penganjuran festival berkenaan khususnya dalam menampilkan ciri-ciri Islamik sebenar menerusi rekaan fesyen moden kontemporari.

Nyata, penjelajahan merentas dunia IFF untuk mempersembahkan busana indah muslim yang penuh kesopanan mematangkan bukan sahaja pihak penganjur tetapi juga pereka fesyen jemputan.

Malah setiap kritikan yang dilemparkan sejak penganjurannya pada 2006 tidak pernah melemahkan semangat pengasas dan Pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah.

Baginya, yang penting adalah untuk melonjak dan meletakkan tempat selayaknya dalam penonjolan keindahan fesyen Islamik di mata dunia.

Dan pada edisi ke-12 yang juga permulaan siri IFF tahun ini telah memberikan inspirasi tersendiri yang menyenangkan bukan sahaja mata yang memandang tetapi juga pastinya kepada para pengkritik dunia fesyen busana Islam secara amnya.

Ini kerana 12 pereka jemputan kali ini memberikan interpretasi yang memenuhi garis panduan aliran fesyen muslim yang pastinya bukan sekadar menutup kepala - satu hal yang sering menjadi perdebatan sejak IFF dianjurkan.

Namun bagi Raja Rezza, perjalanannya untuk memperkukuhkan industri busana muslim masih jauh dan dia tetap optimis pada setiap salah tanggapan khalayak terhadap festival berkenaan.

“Konflik tercipta kerana kurang pemahaman,” kata Raja Rezza pada sidang akhbar mengenai persembahan pertunjukan fesyen IFF tersebut yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Singapura.

Justeru katanya, dia tidak akan pernah berputus asa untuk mengubah persepsi dan mendidik khalayak sama ada tempatan mahupun luar terhadap dunia fesyen Islam.

Mengakui tidak mudah namun ia juga bukan sesuatu yang sukar baginya untuk menghadapi setiap kritikan.

“Kalau saya dikritik, apa pula sumbangan dan usaha mereka (yang mengkritik) untuk mempromosikan fesyen Islam?” ujarnya.

Menurut beliau, IFF akan terus menjelajah dunia dan merancang untuk menakluk Amerika Syarikat (AS) lagi selepas kejayaan show di sana pada siri yang lalu.

Tahun ini, selepas Singapura, IFF menjelajah ke Kazakhstan sebelum kembali ke Indonesia dengan destinasi bukan lagi di Jakarta, sebaliknya Bandung pada 25 Jun sebelum terbang ke Kota London pada 25 Julai depan.

Dan tegas Raja Rezza, pihaknya akan terus terbuka menerima tafsiran rekaan pereka jemputan pada setiap siri jelajah IFF kerana selain faktor agama, kedudukan geografi dan ekonomi pereka perlu diambil kira.

Kerana andai busana muslim mahu menakluk kota fesyen dunia seperti Milan, industri fesyen Islam itu sendiri perlu bersedia menawarkan permintaan dan inilah yang sedang dilakukan IFF untuk merealisasikan impian tersebut.

Asyik lagi menyakinkan

Menyaksikan pertunjukan fesyen pada majlis makan tengah hari dan malam gala IFF XII nyata masing-masing hadir dengan himpunan yang asyik lagi menyakinkan.

Hadir dengan tema masing-masing, tiga pereka jemputan dari Singapura adalah Fatimah Mohsin, dua sahabat baik Sabeena Bani Ahuja dan Natasha Mirpuri dengan label Mantra serta Francis Cheong.

Fatimah yang terkenal dengan rekaan gaun pengantinnya hadir membawakan tema Magnafique Maleqa; Mantra dengan tema Amethyst’s Allure dan Flames of Fashion yang mewah warna manakala Francis pula mempersembahkan inspirasi Oriental untuk himpunan Club Chinoiseries.

Malaysia diwakili enam pereka - Melinda Looi yang mengangkat tema Shaeds of ‘Aaj yang menjadi sebahagian koleksi sedekad beliau dan Datuk Tom Abang Saufi dengan rekaan jubah siber yang praktikal serta koleksi ilham Straits Timeless.

Sementara Mona Din menerusi label Hajaba menampilkan himpunan Black Rider yang diinspirasikan daripada misteri abaya dan Syaiful Bahrim mengilhamkan gaya sofistikated wanita Muslim bagi koleksi Jamilatus Sauda I dan II.

Nuraini Mohd Ariffin yang mewakili Aktif Bestari pula muncul dengan himpunan baju renang yang elegan dan penuh warna warni dalam Exploration of Modest Swimwears serta himpunan Dezaine oleh Syed Zain El-Edrus yang mengumpulkan koleksi Moda Al-Hawa.

Itang Yunasz dari Indonesia pula mempersembahkan koleksi indah lagi glamor White on White dan Illumination dan Jeny Tjahyawati pula tampil dengan inspirasi alam bagi himpunan On the Road to Savannah.

Transisi Hindi Mahdi

Namun paling mengujakan tentunya untuk menyaksikan himpunan pereka kelahiran Palestin yang bermastautin di Perancis iaitu Hindi Mahdi yang sebelum ini sempat mengundang kontroversi apabila hadir dengan himpunan menjolok mata pada IFF di Monte Carlo tahun lepas.

Mengangkat tema Perfume from Juruselam, Hindi Mahdi nyata membawakan unsur Islamik Oriental yang memenuhi ciri-ciri busana Muslim yang penuh ketertiban.

Hindi Mahdi sendiri mengakui kesilapan pada penampilan sulungnya pada IFF tempoh hari dan menyatakan kini lebih memahami kehendak fesyen Islamik selain memenuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Dulu saya beranggapan, tutup kepala sudah memadai malah kerana kesuntukan masa lalu kebanyakan rekaan pada masa itu hanya menggunakan himpunan sedia ada.

“Tetapi saya tidak mahu kesilapan berulang dan mahu hadir dengan himpunan yang penuh gaya tanpa melupakan lunas-lunas Islam,” katanya ketika duduk santai bersama.

Diilhamkan daripada ibu saudaranya yang berhijab namun tetap tampil bergaya, koleksi Hindi Mahdi kali ini mengetengahkan keindahan sutera dan sifon dengan warna-warna lunak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: