Tuesday, June 21, 2011

Henti tembak binatang liar

HAIWAN liar seperti anjing dan kucing didakwa dimatikan dengan cara tidak berperikemanusiaan termasuk ditembak.
HAIWAN liar seperti anjing dan kucing didakwa dimatikan dengan cara tidak berperikemanusiaan termasuk ditembak.
Haiwan ditangkap ditahan 7 hari, cara ‘mematikan’ lebih perikemanusiaan

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh tiga bulan lalu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan haiwan, termasuk Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA), menerima banyak aduan orang ramai berhubung cara pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani masalah haiwan liar berkeliaran di Lembah Klang.

Ini kerana, haiwan liar seperti anjing dan kucing didakwa dimatikan dengan cara tidak berperikemanusiaan termasuk ditembak di lokasi haiwan itu ditemui berkeliaran.
Bagaimanapun, masalah itu akan selesai dalam masa terdekat apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan arahan supaya haiwan liar yang ditangkap perlu ditahan selama tujuh hari dan jika tidak dituntut dalam tempoh itu, pihak terbabit boleh ‘mematikan’ haiwan berkenaan menerusi suntikan maut atau kaedah lain yang berperikemanusiaan.
Menterinya, Datuk Chor Chee Heung berkata, beliau akan memberikan arahan bertulis kepada semua PBT untuk mengikuti garis panduan baru itu, sejajar dengan proses pindaan undang-undang kecil bagi pelesenan anjing mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang sedang berjalan.

“Mulai hari ini (semalam), KPKT akan arah dan memaklumkan kepada PBT termasuk di kawasan Lembah Klang supaya lebih bertanggungjawab dalam cara mereka ‘mematikan’ haiwan liar yang ditangkap,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan NGO pro-haiwan, semalam.

Beliau berkata, pindaan kepada undang-undang kecil itu antara lain menyentuh aspek pelesenan bagi haiwan peliharaan dan kaedah menguruskannya dengan lebih berperikemanusiaan.

Katanya, ada cadangan pemberian lesen yang dikelaskan kepada haiwan yang ‘dikembiri’ dengan haiwan yang ‘tidak dikembiri’ bagi mengelak pembiakan populasi haiwan secara tidak terkawal.
Sementara itu, Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin berkata, masalah kekejaman haiwan perlu ditangani secara serius kerana mereka yang mendera haiwan cenderung untuk mendera manusia.

“Penderaan haiwan berlaku lima kali lebih teruk daripada penderaan manusia, malah mereka yang menjadi pendera, bermula dengan mendera haiwan,” katanya.

Penasihat Jawatankuasa Penyelaras NGO Menjaga Kebajikan Haiwan, Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, pihaknya akan menganjurkan kempen menentang kezaliman haiwan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam, terutama pemilik haiwan.

“Kita juga menggesa supaya pindaan Akta Haiwan 1953 bagi mengenakan hukuman berat kepada mereka yang melakukan kekejaman haiwan dipercepatkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: