Saturday, June 25, 2011

Hairul Anuar berdakwah melalui lirik


DI samping lagu-lagu dakwah, Hairul Anuar juga pernah menerima penghargaan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana mencipta lagu patriotik berjudul Malaysiaku Gemilang.


Bagaimanapun, ramai yang kurang menyedari peri pentingnya kekuatan sesebuah lirik dalam memberi manfaat buat para pendengar.

Justeru, tidak hairanlah penulis lirik yang biasanya berada di belakang tabir memainkan peranan utama dalam menyuntik sesuatu mesej yang berguna di sebalik sesebuah lagu.

Penulis lirik terkenal tanah air, Hairul Anuar Harun,36, misalnya, menganggap menulis lirik bukan setakat melengkapkan irama sesebuah lagu tetapi ia juga menjadi medan untuk berdakwah kepadanya sejak menceburi bidang itu pada tahun 1997.

"Bagi saya, sesebuah lirik itu bagaikan makanan rohani. Kalau santapan itu sedap dan berkhasiat, maka ia akan memberi manfaat bagi yang mendengarnya dan begitulah juga ia sebaliknya," ungkapnya sewaktu pertemuan dengan S3 di Taman Permata, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penulis lirik yang dilahirkan di Pulau Pinang dan dibesarkan di Kuala Kurau, Perak ini menjadi popular selepas mencipta lirik pertamanya Awallah Dondang nyanyian Noraniza Idris 14 tahun lalu.

Menurut Hairul Anuar, kebanyakan lirik yang ditulisnya memaparkan unsur ketuhanan, nasihat dan sarat dengan jati diri bangsa Melayu di mana ia dinyanyikan oleh ramai penyanyi terkenal tanah air.

Antaranya lirik lagu Cindai nyanyian Datuk Siti Nurhaliza, Kandil Kemilau (Jamal Abdillah), Hati Kama ( duet Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris) dan Yayadan (Datuk Sharifah Aini). Paling membanggakan apabila lagu Cindai telah diangkat sebagai juara di Anugerah Juara Lagu tahun 1998.

Selain itu, lirik lagu Balqis yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza turut menjuarai Anugerah Juara Lagu pada tahun 2000.

Jelas Hairul, selain menulis lirik yang diilhamkan daripada bahan-bahan bacaan, dia juga menjadikan pengalaman hidupnya untuk diadaptasi ke karya-karya tersebut.

"Ilham menulis lirik lagu Tahajud Cinta misalnya, saya dapat berdasarkan pengalaman isteri saya yang menghadapi risiko untuk mengandung kerana menghidap penyakit buah pinggang. Doktor menasihatinya agar tidak mengandung kerana risikonya tinggi kepada bayi dalam kandungannya.

"Bagaimanapun, dengan kuasa Allah isteri saya, Azlina Abd. Aziz, 33, mengandung dan selamat melahirkan anak sulung kami, Hikayat Alhukama yang kini berusia setahun setengah.

"Tetapi selepas itu, kalau boleh isteri saya tidak mahu mengandung lagi. Berdasarkan rasa kesyukuran kerana dikurniakan anak lelaki itulah maka terhasilnya lirik lagu tersebut," ujarnya.

Dia yang menjadikan bidang penulisan skrip sebagai kerjaya turut berazam untuk menambahkan lagi koleksi lirik ilhamnya yang mempunyai nilai pemikiran yang tinggi terutamanya yang berunsurkan dakwah sebagai satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Dengan koleksi lebih 200 lirik yang telah dihasilkannya setakat ini, Hairul Anuar berharap lebih ramai penulis lirik yang tampil menghasilkan karya yang boleh meluaskan lagi minda dan pengajaran buat para peminat muzik tempatan.

"Lagu bukan setakat untuk dinikmati tetapi ia juga boleh dijadikan jambatan bagi mendekatkan diri si pendengarnya dengan Tuhan. Sebab itu, dengan pengalaman dan kesedaran yang ada, buat masa ini saya sedang menyiapkan sebuah buku bertajuk Lirikan Lirik.

"Buku yang diterbitkan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu insya-Allah akan siap sebelum hujung tahun ini. Buku itu memberi panduan bagi mereka yang berminat untuk menjadi penulis lirik," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: