Saturday, June 25, 2011

Dunia Fauziah Nawi di Stefani


PELBAGAI lukisan wajah Fauziah Nawi yang menghiasi dinding pejabat Stefani.


Dia misalnya, pernah menjadi penyampai Radio 4, Radio 3 Ibu Kota dan Radio 1 di RTM yang popular pada tahun 1980-an. Fauziah juga pernah merakamkan dua buah album berjudul Hitam Manis Berseri pada 1974 dan Kasihmu Kasihku (1975).

Populariti pelakon berusia 58 tahun ini paling menyerlah menerusi dunia lakonan apabila dia diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Sayang Salmah arahan Dr. Mahadi J. Murat di Festival Filem Malaysia pada 1996.

Bagaimanapun, di sebalik kesemua bidang seni yang diceburi oleh ibu kepada dua anak dan dua cucu ini, dia paling sukar memisahkan dirinya daripada dunia teater yang menjadi hobi serta keghairahannya sejak lebih 30 tahun lalu.

Sebab itu, tidak hairanlah walau banyak mana sekalipun bidang seni yang diceburinya, dunia teater tetap di hati Fauziah, apatah lagi dengan adanya Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) yang diasaskannya sejak 1995.

Menurut Fauziah, dia banyak menghabiskan masanya di sanggar teater itu bersama 10 kakitangannya termasuklah pelakon bagi berbincang tentang skrip danlatihan.

"Selepas rumah saya yang terletak di Taman Melati, Kuala Lumpur, inilah dunia saya. Kalau tiada urusan saya lebih banyak menghabiskan masa di pejabat dan sanggar teater saya itu. Bagi saya, sanggar teater yang saya asaskan ini amat berharga dalam kerjaya saya sebagai pelakon.

"Saya menubuhkan sanggar ini hasil duit lakonan dan arahan teater saya yang bertajuk Antara pada tahun 1994. Sanggar ini adalah dunia saya dalam bidang seni," katanya.

Stefani yang terletak di Taman Putra Sulaiman, Ampang, Selangor itu merupakan sebuah rumah sewa yang mempunyai empat bilik, ruang tamu yang dijadikan tempat berdiskusi tentang skrip teater yang akan dipentaskannya.

Stefani yang merupakan singkatan daripada Sanggar Teater Fauziah Nawi itu diberikan oleh Sasterawan Negara yang ke-9, Allahyarham Datuk Dr. S Othman Kelantan menjadi tempat pertemuan ramai aktivis teater termasuklah dari Indonesia dan Singapura.

"Biasanya kalau ada kawan-kawan aktivis teater kami yang datang dari dua negara itu pasti akan datang ke Stefani. Malah, mereka datang ke sini bukan setakat untuk bertukar-tukar idea tetapi lebih senang tidur di sini biarpun kemudahannya tidak seperti di hotel," ujarnya yang dibantu oleh rakan seperjuangannya, Iryanda Mulia.

Ayu Cendana, Tok Rimau, Perjalanan Bu Aminah, Malam Tujuh Drama, Orang Kota Bahru, Topeng-Topeng dan Dari Bintang Ke Bintang adalah antara teater terbitan Stefani yang telah dipentaskan di beberapa tempat terutamanya sekitar Kuala Lumpur.

Justeru, dia yang bergelar balu sejak kematian suaminya, Mohamad Hanif Gedek 14 tahun lalu belum terfikir untuk melupakan bidang teater meskipun pendapatan berlakon drama dan filem lebih lumayan berbanding seni pementasan teater.

Ibu kepada Mohd. Firdaus, 35, dan Siti Noor Fateha, 33, serta dua cucu iaitu Dhia Farhana, 8, dan Mhia Farhana, 5, kini sedang sibuk mengadakan persiapan pementasan teater arahannya berjudul Tiga Wajah yang akan dipentaskan di Singapura pada bulan depan.

"Buat masa ini, saya sedang membuat persiapan untuk mementaskan teater Tiga Wajah arahan dan lakonan saya di panggung Esplanade, Singapura pada 8 dan 9 Julai ini. Saya berbesar hati kerana mendapat undangan dan kepercayaan daripada Esplanade. Ini kali kedua teater saya itu dipentaskan di mana kali pertama pada Mac lalu," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: