
MASYARAKAT kita secara umumnya sering berpendapat bahawa anak-anak yang berasal daripada keluarga berantakan biasanya menjadi mangsa dera bapa atau ibu tiri jika ibu atau bapa mereka berkahwin lain.
Ada yang berpendapat, kasih sayang yang diterima oleh seorang anak daripada ibu atau ayah kandungnya tidak sama dengan ibu atau bapa tiri.
Pandangan tersebut bukanlah dakwaan kosong semata-mata kerana sentimen orang ramai juga banyak dipengaruhi laporan yang kerap disiar di media massa.
Salah satu daripada kes yang boleh dikaitkan dengan perkara itu adalah kejadian yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari tahun lalu.
Arwah yang ketika itu hanya berusia tiga tahun meninggal dunia selepas didera oleh lelaki yang didakwa sebagai ayah tirinya di padang permainan yang terletak di kawasan perumahan di Ulu Yam lama, Batang Kali.
Awal tahun ini, satu lagi kes penderaan kanak-kanak oleh seorang lelaki yang juga teman lelaki kepada ibu bayi tersebut di Ampang.
Hooi Wai Chew, 34, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Law Hong Jun dengan meninggalkan bayi itu dalam kereta dari pukul 2 pagi hingga 12 tengah hari keesokannya.
Tanggungjawab
Namun begitu, kes-kes seperti itu sebenarnya langsung tidak memalitkan keburukan kepada imej mereka yang bergelar bapa tiri di negara ini.
Ramai lelaki, baik seorang bapa kandung ataupun bapa tiri, tidak semuanya berperangai sadis dan tidak tahu menjalankan tanggungjawab seorang ayah atau penjaga.
Bagi pelakon terkenal, Aaron Aziz, 35, yang dibesarkan oleh bapa tiri, menyifatkan insan bernama Abdullah Daud, 53, ialah individu yang bertanggungjawab mengajarnya segala perkara berkaitan agama, asal-usul dan tanggungjawab.
“Perkara yang arwah ayah kandung saya tidak sempat ajar, berkenaan agama, kehidupan dan bagaimana menjadi seorang lelaki, bapa tiri sayalah insan yang melakukannya.
“Peranannya umpama memasang semua aplikasi yang diperlukan oleh seorang anak,” kata Aaron ketika ditemui di sebuah majlis di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Bagi Aaron, ayah tirinya seorang yang sangat kuat agama dan tiap kali memberi tunjuk ajar, dia seperti memberi syarahan.
![]() |
| AARON yang dibesarkan oleh bapa tiri memanfaatkan didikan bapa tirinya itu terhadap perkembangan anak-anaknya. (Dari kiri atas, ikut jam: Aaron, isterinya Diyana, Dwi Ariana dan Danish. |
Pada mulanya, pelakon yang berasal dari Singapura itu mengakui kurang menyukai kehadiran seorang lelaki yang bergelar ayah tiri.
Namun begitu selepas melihat kesabarannya menerima seorang wanita yang mempunyai empat orang anak membuatkan hati Aaron berubah.
“Sehingga kini, ayah tiri saya tidak memiliki anak sendiri dan kami tidak pernah bertanyakan hal tersebut kerana baginya kami adalah anak mereka,” ujar Aaron yang tinggal bersama ayah tiri sejak usia 13 tahun.
Memetik antara ajaran ayah tirinya, walaupun kedengaran biasa bagi orang lain, adalah tiada makna jika mempunyai segala-galanya di dunia tetapi tiada tanggungjawab dan kasih sayang.
Memori
Tambah Aaron, memori dengan ayah kandungnya terlalu sedikit berbanding dengan insan yang bernama Abdullah itu.
“Saya cuma diingatkan tentang arwah ayah kandung apabila emak saya bercakap mengenai nasihat dan tegurannya,” tambah Aaron.
Pengalaman membesar oleh ayah tirinya banyak membentuk gaya Aaron dalam mendidik anak-anaknya sendiri. Dia disifatkan sebagai seorang yang tegas namun penyayang kepada mereka.
“Alhamdulillah, sehingga sekarang saya tidak perlu menggunakan kaedah hukuman kepada anak-anak tetapi hanya perlu bertindak seperti pegawai polis sahaja.
“Tidak perlu untuk ambil tali pinggang untuk menakutkan mereka. Cukup hanya mendengar ton suara saya yang berlainan,” tambahnya yang sudah lapan tahun mendirikan rumahtangga selama lapan tahun.
Aaron dan isterinya, Diyana Halik, dikurnia seramai tiga orang anak iaitu Danish Anarqi, 7, Dwi Ariana, 5, dan Dahlia Anissa, 1.
Teguran
Bagi pegawai pemasaran di sebuah rangkaian butik yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, Siti Azliyana Azmi, 23, dia dan adiknya, Siti Fatin Azmiera Azmi, 19, sudah hampir 20 tahun tinggal bersama bapa tiri.
“Saya sudah tinggal dengan bapa tiri sejak umur tiga tahun dan dia banyak mengajar kami supaya menjadi wanita yang baik.
“Ayah (tiri) mahu kami sentiasa dipandang hormat oleh orang lain dan sangat mengambil berat mengenai kami.
“Jika kami adik-beradik didapati pulang ke rumah terlalu lewat, ayah pasti akan memarahi kami,” kata Azliyana ketika ditemui di Puchong.
Bukan itu sahaja, menurut Azliyana, insan yang bernama Noor Badrol Akram, 51, itu pasti akan menegurnya jika dia kelihatan berpakaian kurang sopan di matanya.
“Bukan mahu memaksa kami, tetapi sekurang-kurangnya dia mahu kami berpakaian sopan dan menghormati pandangan orang sekeliling,” ujar Azliyana yang masih menjaga hubungan baik dengan bapa kandungnya.

Perkara paling penting, Noor Badrol mahu mereka menjaga nama baik keluarga, terutamanya ibu mereka, Norlyn Hamid, 50.
Hasil perkongsian hidup ibunya dengan Noor Badrol, telah dikurniakan dengan seorang anak, Tia Nellisa, 15, yang kini rapat dengan Azliyana dan Fatin umpama adik-beradik kandung.
Ketika kali pertama berjumpa, Azliyana menyatakan bahawa bapa tirinya yang lebih selesa dipanggil sebagai daddy itu kelihatan sangat senang menerima mereka berdua.
“Mungkin disebabkan sikap saya yang suka bercakap dan Fatin yang sewaktu kecil amat manja kepadanya dengan sering meminta didukung. Mungkin itu membantunya meredakan tekanan apabila pulang dari tempat kerja.
“Dia tidak pernah menunjukkan perasaan seperti tidak mahu atau malas mahu menjaga kami dua beradik,” tambah Azliyana.
Menurut Noor Badrol, dia tidak terkejut ketika mula-mula mengetahui wanita yang mahu dikahwininya itu mempunyai dua orang anak.
“Cuma, saya berasa sedikit takut ketika mula-mula memikirkan akan menjaga dua orang anak tetapi apabila berjumpa dan melihat mereka seperti sudah memiliki ayah, saya terus menjadi sayang kepada mereka,” katanya ringkas kepada Kosmo!.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: