Friday, June 24, 2011

Bakat chef Daisy dari Pantai Timur


PARA peserta Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Pantai Timur bergambar beramai-ramai.


SUASANA pagi di pekarangan pasar raya Giant Kuala Terengganu, Terengganu Sabtu lalu tiba-tiba menjadi riuh dengan telatah 30 peserta yang mengambil bahagian pada acara Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011.

Cuaca panas di negeri pantai timur itu sedikitpun tidak dihiraukan oleh orang ramai dan para peserta yang tampil dengan resipi ciptaan masing-masing. Seawal pukul 10 pagi orang ramai mula beratur di kaunter minyak jagung Daisy untuk menebus minyak jagung dengan isipadu 500ml secara percuma. Syaratnya, mereka perlu membawa dua keping kepala akhbar Kosmo!.

Bagaimanapun, penebusan itu terhad untuk 200 pengunjung terawal sahaja. Program anjuran Kosmo! dengan kerjasama minyak jagung Daisy dan Tupperware itu memilih Kuala Terengganu sebagai lokasi pertama bagi cabaran sulung tahun ini.

Tujuan utama program itu adalah untuk mencungkil bakat-bakat usahawan kecil dalam pembuatan kek dan biskut.

Selain itu, kerjasama yang terjalin antara rakan penganjur dan penaja bertujuan untuk berkongsi dengan masyarakat Pantai Timur khususnya mengenai teknik penggunaan minyak jagung Daisy dalam pembuatan kek dan biskut.

Dalam tempoh masa 45 minit, yang ditetapkan oleh para juri yang diketuai duta minyak jagung Daisy, Chef Liza Zainol, 30 peserta bertungkus-lumus menyiapkan dekorasi pada kek dan biskut masing-masing mengikut tema yang ditetapkan iaitu seni dan kebudayaan.

Dalam pertandingan itu, setiap peserta perlu menggunakan jenama minyak jagung Daisy dalam resipi kek dan biskut mereka.

Produk yang menggunakan 100 peratus minyak jagung asli dan bebas kolesterol itu diperkaya dengan vitamin E, omega 6 dan poli lembut.

Bagi chef muda syarikat pembuat kek, Ziq Bakery & Cake, Mohd. Nawawi Alias, 24, yang mempertaruhkan resipi Kek Lapis Khazanah Tradisional berjaya memikat hati para juri untuk dinobatkan sebagai juara kategori kek.

Kata Mohd. Nawawi, kelebihan yang dimiliki peserta lain yang rata-ratanya wanita begitu sengit buatnya apatah lagi dia baru tiga tahun bekerja dalam bidang tersebut.

“Walaupun ada yang berkata, idea orang lelaki lebih kreatif jika diasah dengan baik, tetapi orang yang banyak memberi tunjuk ajar adalah wanita iaitu majikan saya sendiri.

“Jika selama ini, ramai pelanggan memuji kek keluaran Ziq Bakery, rasanya tidak salah pada kali ini sekiranya produk yang saya hasilkan dinilai oleh juri profesional,” katanya kepada Kosmo!.

Mengasah bakat

Mohd. Nawawi bersama pemenang kategori biskut, Mohamad Suhasman Mohamad Rozi, 23, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300. Lebih istimewa, kesemua 30 peserta bertanding turut mendapat saguhati wang tunai RM100 serta hadiah daripada Daisy dan Tupperware.


Dari kiri, Pengarang Rencana Kosmo!, Najibah Hassan, Mohd. Nawawi, Chef Liza, Mohd. Suhasman, Stella dan Cecelia pada majlis penyampaian hadiah kepada para peserta Cabaran Caisy Sehebat Chef 2011 di Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.


Mohamad Suhasman pula mengakui, pengalaman membuat biskut sejak berusia 12 tahun daripada ibunya memberi keyakinan kepada anak muda yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu untuk mempertaruhkan resipi biskut garlic creamy Daisy.

Kata pembantu tukang masak di Dewan Makan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Kelantan itu, kunjungan ke Kuala Terengganu adalah semata-mata untuk mengasah kebolehan yang ada padanya ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau saya tidak datang ke sini pun, biskut yang saya hasilkan sentiasa mendapat sambutan khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun.

“Walaupun jauh dan cuti hujung minggu yang singkat, sampai juga saya ke sini kerana mahu membuktikan saya bukan sekadar jaguh kampung dan ingin bergerak lebih jauh dalam bidang ini,” katanya.

Bagi peserta yang membawa resipi vitato sesame cake, Chef Johana Ibrahim, 38, kalah atau menang bukan ukuran kerana panduan yang diperoleh dalam pembuatan kek yang diusahakannya Terengganu.

“Sebelum menyertai pertandingan, saya mencuba sebanyak 10 kali menggunakan minyak jagung Daisy dalam pembuatan kek kerana sebelum ini saya menggunakan mentega.

“Ia merupakan alternatif untuk mengganti marjerin kerana sukatannya lebih tepat dan yang pasti menjimatkan,” ujar pemilik Galeri Kek Manjalera, di Seberang Takir, Kuala Terengganu itu sejak tiga tahun lalu.

Bagi peserta dari Sungai Tong, Setiu, Terengganu, Yusmaliza Naim, 32, berkata, walaupun penglibatannya dalam pembuatan kek sudah menjangkau 12 tahun, pertandingan itu memberinya lebih ruang untuk mempelajari banyak perkara.

Kata usahawan program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, petua dan tip daripada pihak Daisy akan digunakan untuk menghasilkan kek yang berkhasiat.

“Apa yang perlu kami pelajari ialah hidangan bukan sekadar cantik dan menarik, malah ia perlu berkhasiat.

“Paling meminati makanan ini adalah kanak-kanak. Sehubungan itu, khasiat pemakanan perlu diambil kira,” ujarnya.

Chef Liza turut melakukan demonstrasi membuat biskut semperit istimewa Daisy dan kek hitam manis untuk dirasa oleh pengunjung.

Bagi menggamatkan suasana, persembahan dua artis remaja, Mila Akademi Fantasia (AF5) dan penyanyi, Sabhi Saddi berjaya memukau pelanggan Giant Kuala Terengganu pada hari berkenaan. Acara tersebut turut dimeriahkan oleh persembahan gamelan daripada para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Pengiklanan Kosmo!, Stella Abdullah dan Pengurus Jenama Bahagian Pemasaran Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Cecilia Lee.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: