Monday, June 20, 2011

F&N Thailand dijangka raih RM1.7 bilion

 PUTERI Maha Chakri  melihat  produk keluaran F&N   Thailand sempena pembukaan kemudahan pengeluaran susu cair milik F&N  di Rojana, kira-kira 70 kilometer dari Bangkok.
PUTERI Maha Chakri melihat produk keluaran F&N Thailand sempena pembukaan kemudahan pengeluaran susu cair milik F&N di Rojana, kira-kira 70 kilometer dari Bangkok.
Permintaan negara Indochina tinggi

FRASER & Neave Holdings Bhd (F&N) menjangkakan pendapatan perniagaan tenusunya di Thailand akan meningkat dua kali ganda kepada RM1.7 bilion dalam tempoh empat tahun ini.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Ng Jui Sia berkata, jangkaan pertumbuhan kukuh itu bersandarkan kepada peningkatan permintaan produk tenusu di negara berkenaan, selain peluasan pasaran ke negara Indochina seperti Kemboja, Laos dan Vietnam yang menjanjikan potensi pertumbuhan lebih tinggi kerana jumlah penduduknya yang ramai.
“Hanya dalam tempoh empat tahun menjalankan perniagaan di Thailand, F&N berupaya mencatatkan pendapatan hampir RM900 juta.

“Kami yakin menerusi kemudahan pengeluaran canggih kami di Rojana dan ditambah dengan jangkaan peningkatan permintaan dan peluasan ke negara Indochina, jumlah pendapatan ini dijangka mampu digandakan kepada RM1.7 bilion atau lebih banyak lagi dalam tempoh empat tahun ini,” katanya kepada wartawan Malaysia sempena pembukaan kemudahan pengeluaran susu cair milik F&N Dairies Thailand Ltd (F&N Dairies) di Rojana, kira-kira 70 kilometer dari Bangkok.

Pembukaan kemudahan paling canggih dan terbesar seumpamanya di rantau ini bernilai RM250 juta dan memiliki maksimum kapasiti pengeluaran lebih 3.5 juta tin sehari itu, disempurnakan Puteri Maha Chakri Sirindhorn.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2010, operasi perniagaan di Thailand menyumbang 43.9 peratus atau RM866 juta daripada RM1.98 bilion pendapatan dalam bahagian tenusu F&N.
Ng berkata, pertumbuhan pendapatan bahagian perniagaan tenusu syarikat itu Thailand juga mudah dicapai sejajar pelaksanaan beberapa strategi utama kumpulan.

Katanya, antara strategi itu ialah pengukuhan operasi di Thailand dan pertumbuhan organik di pasaran Indochina.

“Pengukuhan operasi akan dilaksanakan menerusi pengenalan lebih banyak rangkaian produk baru di pasaran tempatan (Thailand),” katanya sambil menambah peluang turut wujud untuk kumpulan meluaskan lagi penguasaan pasarannya dalam perniagaan susu pekat di Thailand kepada 70 peratus daripada hanya 40 peratus ketika ini, selain meningkatkan perniagaan susu sterilize yang kini menguasai 45 peratus pasaran.

Beliau berkata, menerusi strategi berkenaan, F&N yang ketika ini menduduki tempat kedua dari segi penguasaan pasaran produk tenusu di Thailand dijangka akan berada di tempat pertama sedikit masa lagi.

F&N Dairies, anak syarikat milik penuh F&N adalah pengeluar utama susu krimer manis, susu pekat manis, susu sejat dan produk tenusu lain di Thailand.

Sejak penubuhannya pada 2007, F&N Dairies mengukuhkan kedudukannya di kalangan lima pengeluar makanan dan minuman utama di Thailand dengan muncul sebagai peneraju dalam kategori pengeluar susu sejat, menguasai 41 peratus pasaran dalam bahagian minuman manis krimer/susu pekat manis, dan memiliki 47 peratus penguasaan pasaran dalam perniagaan kategori minuman susu yang disterilkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: