Monday, June 20, 2011

50,000 derita air terjejas

PEKERJA  JKR melakukan kerja mengalih paip sepanjang 1.7 kilometer menggantikan paip pecah di simpang Taman Permatang Badak Perdana.
PEKERJA JKR melakukan kerja mengalih paip sepanjang 1.7 kilometer menggantikan paip pecah di simpang Taman Permatang Badak Perdana.
Paip pecah di simpang Jalan Kuantan-Pekan sukarkan penduduk

KUANTAN: Bekalan air yang 'sekejap ada, sekejap tiada' terus membelenggu kira-kira 50,000 penduduk di beberapa kawasan perumahan di Jalan Gambang, dekat sini lebih dua minggu lalu sehingga menjejaskan urusan seharian masing-masing.
Kegelisahan dan keluhan penduduk semakin ketara terutama mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga ramai kerana perlu menggunakan air banyak untuk menguruskan keperluan hidupan seperti memasak, membasuh dan menguruskan keperluan peribadi.
Tinjauan Berita Harian mendapati kawasan yang paling teruk terjejas ialah Taman Mahkota Permai Fasa Dua dan Kampung Seri Fajar, diikuti Taman Tas Ria, Taman Mahkota Aman, Taman Seri Ku, Kampung Mahkota, Taman Tas Lama dan dari Batu Enam ke Batu 12, Jalan Gambang menghala ke Kuantan yang keseluruhannya membabitkan 10,000 keluarga.

Seorang penduduk Taman Mahkota Permai Fasa Dua, Siti Sara Abd Rahman, 46, berkata, beliau terpaksa mengangkut sendiri air setiap kali lori tangki Jabatan Bekalan Air (JBA) membuat penghantaran ke rumah.

"Sejak masalah ini berlaku, saya terpaksa menggunakan kudrat sendiri untuk mengangkut air yang dihantar JBA kerana suami, Yahya Che Tam, 59, keluar bekerja.

"Mujur ada anak saya, Mohd Nur Azuan Ahmad, 19, yang kebetulan berada di rumah menghabiskan cuti semester membantu mengangkut air serta menadah air paip di luar rumah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Gangguan bekalan air turut menjejaskan operasi di pusat asuhan kanak-kanak kerana penggunaan air perlu dijimatkan sehingga ke tahap maksimum.

Penyelia Tadika Kasih Qaisara, Taman Mahkota Permai Fasa Dua, Siti Sara Mohd Noor, 42, berhadapan kesulitan menguruskan 12 kanak-kanak berusia empat bulan hingga lima tahun.

Sementara itu, Jurutera Awam JBA daerah, Aminuddin Mesir, berkata gangguan bekalan disebabkan paip air pecah di kawasan pembinaan projek jejantas di persimpangan Jalan Kuantan-Pekan, Batu 6, Jalan Gambang, pada 7 Jun lalu.

"Ketika ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan kerja peralihan paip sepanjang 1.7 kilometer menggantikan paip berkenaan bermula dari simpang Taman Permatang Badak Perdana sehingga ke simpang menghala bengkel Giat Mara dan dijangka siap sepenuhnya hujung minggu ini.

"Kami memahami masalah penduduk yang terbabit dan menasihatkan mereka menyimpan bekalan air secukupnya bagi mengelak sebarang kesulitan," katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kerja pemasangan paip baru dimulakan sejak Selasa lalu (14 Jun) dan dijangka siap Ahad ini.

"Bagi membantu penduduk, JBA mengambil inisiatif menyediakan tiga tangki statik di Taman Mahkota Permai Fasa Dua yang terjejas teruk dan menyediakan perkhidmatan enam lori tangki setiap hari kepada penduduk di kawasan lain yang turut berdepan masalah gangguan bekalan air," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: