
KUALA LUMPUR - Kejadian pecah rumah yang kerap berlaku di kawasan Perumahan Awam Seri Sarawak di sini didakwa melibatkan golongan penagih dadah yang banyak berkeliaran di situ pada waktu siang.
Lebih membimbangkan, masalah yang menghantui penduduk di tiga blok kediaman itu sukar ditangani kerana penjenayah terbabit juga menetap di kawasan sama.
Naib Pengerusi, Persatuan Penduduk Seri Sarawak, Alias Ahmad, 57, berkata, kebanyakan kes pecah rumah di kawasan itu berlaku seawal pukul 7 pagi hingga sekitar pukul 4 petang.
"Memandangkan penagih-penagih itu tinggal di sini, mereka sering memerhatikan setiap gerak-geri penduduk. Mereka juga menggunakan taktik mengetuk pintu rumah terlebih dahulu, jika tiada jawapan mereka akan pecah masuk.
"Selain itu, penagih menjadikan rumah-rumah kosong yang tidak berpenghuni sebagai tempat tinggal mereka dan boleh dikatakan setiap blok ada rumah yang tidak diduduki," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Tinjauan Kosmo! di flat berkenaan mendapati dakwaan penduduk ada benarnya apabila terdapat sebuah kediaman tanpa penghuni dan tidak berkunci dipercayai menjadi sarang penagih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: