![]() |
| DAVID Arumugam dan Priyadashini akan bergabung menjayakan Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Julai ini. |
ALLEYCATS merupakan salah satu kumpulan pemuzik tempatan yang paling lama iaitu ditubuhkan sejak 43 tahun lalu dengan pengasas utamanya ialah Datuk David Arumugam dan mendiang Loganathan.
Sepanjang lebih empat dekad, kumpulan muzik pop bukan Melayu itu telah menghasilkan 27 buah album dengan lebih 200 lagu yang masih popular hingga ke hari ini.
Bilangan lagu yang banyak itu menyebabkan penyanyi utama Alleycats, David yang popular menerusi lagu seperti Noktah Cinta menghadapi masalah menghafal lirik lagu-lagu kumpulannya.
Justeru, penyanyi berasal dari Pulau Pinang itu memerlukan lirik terutama sewaktu mengadakan konsert besar seperti Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 September ini.
“Saya sekarang ini memang susah mahu ingat lirik lagu terutamanya lagu-lagu lama Alleycats. Sebab itu, kalau menyanyi saya sediakan lirik di depan saya. Ia sebagai persediaan kalau saya lupa lirik atau tidak berapa yakin dengan sebutannya.
“Saya terpaksa berbuat begitu kerana tidak mahu melakukan kesilapan semasa menyanyi,” katanya sewaktu ditemui selepas sidang akhbar Konsert Sampaikan Salam Alleycats di IB, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain menyediakan lirik lagu, vokalis berusia 61 tahun itu juga melakukan banyak persiapan lain termasuk daripada segi stamina bagi memastikan konsert anjuran Aktif Mestika Sdn. Bhd., itu berjalan lancar.
Ujar David, dia menjaga soal pemakanan bagi memuaskan hati para penonton yang menyaksikan konsert dengan tiket berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 itu.
“Saya fikir tidak perlu berlatih untuk konsert ini kerana saya memang setiap hari menyanyi di kelab malam. Kalau saya sudah lama berhenti menyanyi maka ketika itu saya mungkin akan berlatih.
“Namun, biasanya sebelum mengadakan persembahan saya akan berhenti makan pada pukul 5 petang kalau saya mahu menyanyi pada pukul 8 malam. Ia untuk menguatkan otot dan suara saya,” ujarnya.
Konsert yang akan mengambil masa hampir dua jam itu merupakan kali kedua diadakan di IB sejak empat tahun lalu di mana ia akan dibahagikan kepada tiga segmen iaitu 1Malaysia, Tribute To Loga dan Lagu-Lagu Hits kumpulan itu.
Lebih menarik, kata David, pada Konsert Sampaikan Salam Alleycats itu, persembahannya buat julung kali akan diiringi oleh para pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di bawah pimpinan Eddie Marzuki.
“Kami sangat teruja untuk mengadakan konsert dengan diiringi para pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia kerana ini adalah yang pertama kali kami jayakan. Tetapi kalau rakaman album sebelum ini kami pernah gunakan instrumen tradisional.
“Bagi saya konsert ini sangat penting kerana ia menguji kreativiti kami untuk mengadun lagu-lagu Alleycats dalam konsep irama tradisional pelbagai etnik,” jelasnya.
Meskipun mempunyai banyak pilihan lagu yang pernah dipopularkan oleh Alleycats tetapi David berkata, dia tidak mempunyai lagu kegemaran sebaliknya menganggap kesemua lagu mempunyai daya tarikan tersendiri.
Malah, penyanyi yang terkenal dengan fesyen rambut afro sejak dulu sehingga kini itu turut beranggapan tiada satu pun lagu Alleycats yang sukar dinyanyikan kerana dia mampu menghayati kesemuanya dengan baik.
“Saya tidak ada lagu kegemaran. Malah susah untuk cakap lagu Alleycats mana yang paling bagus. Setiap lagu ada peminat sendiri. Saya tidak susah menyanyi sesebuah lagu itu kerana saya akan menghayatinya dengan sepenuh hati.
“Penghayatan itu datangnya daripada hati saya. Apabila di studio untuk merakamkan lagu, penghayatan itu akan datang menyebabkan saya tidak susah menyanyikan apa juga lagu,” tuturnya.
Tambah unik apabila konsert yang bercirikan semangat 1Malaysia itu dianjurkan bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September selain ia mampu menarik para peminat yang berbilang bangsa.
Selain menampilkan David selaku penyanyi utama, Alleycats turut menjemput anak mendiang Loganathan yang meninggal dunia empat tahun lalu iaitu Priyadashini, 24 sebagai penyanyi undangan dalam segmen Tribute To Loga.
Menurut Priyadashini, dia tidak menolak pelawaan David yang juga merupakan bapa saudaranya bagi menjayakan konsert bersama Orkestra Tradisional Malaysia pimpinan Mohd. Yazid Zakaria itu.
“Saya akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh mendiang bapa saya seperti Berjuta Batu, Jika Kau Bercinta Lagi dan Suratan dalam segmen Tribute To Loga itu. Saya akan menyanyi mengikut gaya sendiri,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: