Friday, June 24, 2011

Aaron mengurat Erra


ERRA Fazira dan Aaron Aziz pertama kali digandingkan dalam filem Ngorat arahan Prof. A. Razak Mohaideen.


MELIHAT gelagat Erra Fazira dan aktor kacak pujaan ramai Aaron Aziz ketika menjalani penggambaran filem Ngorat, kredibiliti kedua-dua bintang itu tidak perlu dipersoalkan.

Digandingkan buat pertama kali dalam karya terbitan LineClear Motion Pictures, sama ada Erra mahupun Aaron mereka menjanjikan lakonan terbaik agar dapat memancing penonton ke pawagam apabila filem genre komedi romantik itu ditayangkan di panggung.

Baru-baru ini, bertempat di E@Curve Mutiara Damansara, lokasi penggambaran Ngorat, Hits mendekati kedua-dua pelakon itu untuk mencungkil pengalaman mereka sepanjang menjalani penggambaran di bawah arahan Prof. A. Razak Mohaideen.

Kolaborasi antara jelitawan Fazira Wan Chik, 37, dengan pengarah prolifik A. Razak bermula sejak tahun 2003 (Cinta Kolestrol) dan yang terakhir pada 2009 (Sifu & Tongga).

Sepanjang enam tahun tersebut, lapan filem arahan A. Razak telah dibintangi oleh Ratu Cantik Malaysia 1992 itu.

Setelah dua tahun tidak bekerjasama, ibu kepada Engku Aleesya Engku Emran itu kembali ke pangkuan A. Razak bagi membintangi filem Ngorat digandingkan dengan Aaron dan bintang baru, Iedil Putra.

“Sebelum ini bukan saya tidak mahu berlakon di bawah arahan Prof., tetapi saya perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada Aleesya.

“Tempoh dua tahun sebelum ini sememangnya diperuntukkan untuk Aleesya kerana dia amat memerlukan saya di sisinya ketika itu,” jelas Erra yang mendukung karakter tomboy dalam Ngorat.

Kali pertama penampilan Erra melakonkan watak tomboy ialah menerusi filem Kuliah Cinta, terbitan MIG Productions, juga di bawah arahan A. Razak pada tahun 2004.

Dalam filem Ngorat, Erra akan melakonkan watak Keyra yang bersifat tomboy dan ia sebenarnya klise.

Erra yang ditebak dengan soalan itu menjelaskan, ia bukan satu isu kerana pengalamannya selama 17 tahun dalam dunia lakonan membolehkannya memberikan lakonan yang berkesan.

“Saya sudah berlakon sebanyak 34 filem sepanjang menceburi bidang lakonan dan menerusi kesemua filem itu, saya telah mendukung pelbagai karakter.

“Ketika ini, saya hanya mementingkan keberkesanan lakonan walaupun watak Keyra begitu sinonim dengan diri saya,” katanya.

Bagi Aaron yang melakonkan watak Arjuna Kasih, watak itu amat berbeza dan mencabar kerana memerlukan dia menyerlahkan sisi lucu dalam dirinya.

“Sukar untuk saya membuatkan orang ketawa tetapi lebih senang untuk orang mentertawakan saya sekiranya lawak yang ditonjolkan menampakkan kebodohan saya selaku pelakon.

“Oleh itu, sedikit pengalaman yang saya ada, digunakan untuk memberikan lakonan yang berkesan,” jelas Aaron yang tidak mahu dilabelkan sebagai pelakon komedi.

Untuk menjadi salah seorang pelakon yang berwibawa, Aaron akur apabila dia harus mencabar dirinya untuk melakonkan watak yang rumit.

Semua itu, katanya, boleh mempertingkatkan lagi kualiti lakonan kerana penonton pasti bosan jika seseorang pelakon itu memberikan lakonan yang stereotaip.

Lalu, menurut aktor itu lagi, peluang yang diberikan oleh A. Razak disambut baik dan sudah pasti dia akan memberikan lakonan terbaik kerana tidak mahu mengecewakan pengarah, penonton dan sekali gus, peminatnya.

“Saya berjanji akan lakukan yang terbaik dengan menyuntik kelainan menerusi gaya saya tersendiri untuk menjiwai watak.

“Saya tidak dapat lari daripada melakonkan watak-watak yang agak serupa untuk sesuatu drama tetapi percayalah, apabila saya berlakon, saya lakukannya dengan sepenuh hati,” katanya yang kini sibuk menjalani latihan teater Badai Semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: