|
|
Sekalipun telah disahkan sebagai pembawa virus HIV dan penghidap AIDS, ini tidak bermakna mereka perlu hidup berseorangan sehingga ke akhir hayat.
Mereka sebenarnya masih berpeluang untuk berumah tangga sekali gus menikmati kehidupan bahagia seperti pasangan normal yang lain.
''Itu juga rancangan kami di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwwah. Sehubungan itu, mulai tahun ini penghuni akan diberi peluang untuk berkahwin dengan pasangan pilihan mereka,'' kata pengasasnya, Muhamad Abdullah.
Muhamad ketika ditemui di pusat tersebut yang terletak di 11, Lorong 4/48C, Seksyen 4, Petaling Jaya, Selangor berkata, pihaknya yakin sudah tiba masa penghuni pusat berkenaan diberi peluang hidup berumah tangga sekali gus kembali dalam masyarakat seperti biasa.
''Kembali ke arus perdana adalah dasar terbaru dalam program yang dikhususkan untuk penghuni pusat ini. Mereka diberikan peluang untuk memilih pasangan hidup.
"Mereka juga manusia biasa yang berhak untuk hidup gembira dengan pasangan masing-masing," katanya.
Katanya, dasar itu diperkenalkan supaya penghidap HIV/AIDS tidak berasa disisihkan.
Sebaliknya dapat kembali semula ke dalam masyarakat dengan yakin dan bersemangat.
Muhamad berkata, setakat ini sudah ada satu pasangan yang dijangka akan berkahwin tidak lama lagi.
''Pasangan yang akan disatukan ini juga akan dipilih di kalangan penghuni sendiri untuk lebih mudah," katanya.
Muhamad berkata, dasar baru itu dilaksanakan berasaskan kepada kejayaan tujuh dasar sebelum ini yang dimasukkan dalam program yang perlu dijalani oleh penghuni sejak pembukaan pusat tersebut pada Ogos 2009.
Katanya, ia termasuk memastikan penghuni tidak lupa mengambil ubat, menjaga kesihatan diri, meningkatkan ilmu kerohanian, menghadiri kaunseling, diterima semula oleh masyarakat dan keluarga serta diberi pendekatan jati diri.
Muhamad berpuas hati kerana sebanyak 73 penghuni telah keluar dari pusat itu dan menjadi sebahagian ahli masyarakat dengan penuh yakin dan bersemangat.
Katanya, setakat ini tujuh penghuni telah meninggal akibat AIDS.
''Mereka yang telah keluar dari pusat ini telah kembali bekerja seperti biasa dan diterima dengan baik oleh ahli keluarga malah juga masyarakat sekeliling,'' katanya.
Katanya, dengan dasar yang diperkenalkan pada tahun ini iaitu konsep berkeluarga akan melengkapkan lagi kehidupan golongan itu.
Muhamad berkata, pihaknya mahu beri penekanan bahawa penghidap HIV juga wajar diberikan hak. Ia supaya mereka tidak merasa diri tersisih dari penghidupan yang dilalui oleh orang lain.
Muhamad yang telah membuka pusat itu sejak dua tahun lalu itu mengakui bantuan Majlis Agama Islam Selangor (MUIS) benar-benar dapat membantu penghuni di rumah tersebut.
Cerita Muhamad, semua itu bermula ketika beliau memberi ceramah agama ke atas 40 penghidap HIV/AIDS di sebuah gereja benar-benar telah menginsafkan dirinya.
Ketika itu sukar untuk membayangkan bertapa pilu hatinya mengenangkan nasib kesemua penghuni yang beragama Islam itu ketika menghadapi saat kematian di dalam sebuah gereja.
Semenjak itu, dia merasa terpanggil untuk melakukan sesuatu supaya dapat menyelamatkan 40 penghidap HIV/AIDS ini meletakkan kumpulan itu ke sebuah pusat yang dikendalikan oleh orang Islam.
Hasil rundingannya, MUIS bersedia memberikan bantuan bulanan bagi penyelengaraan pusat tersebut.
Muhamad juga percaya, hanya agama yang dapat memberikan penunjuk untuk golongan seperti itu menjadi insan lebih tabah.
Beliau berkata, sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan tetapi pintu taubat sentiasa terbuka selagi umat itu masih bernafas.
Beliau akui bernasib baik kerana dibantu oleh 12 kakitangan pusat itu yang sanggup membuang segala persepsi buruk terhadap golongan itu bagi membolehkan ia beroperasi dengan lancar.
Muhamad juga berharap, pada masa depan premis yang menempatkan pusat itu tidak lagi disewa sebaliknya mempunyai bangunan sendiri supaya khidmat bantuan yang sedia ada akan dapat diperluaskan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: