Saturday, June 25, 2011

Broadway Dreamgirls patut dibanggakan

Broadway Academy akan mementaskan broadway Dreamgirls mulai 14 Julai hingga 24 Julai ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Pementasan yang harus mengikut acuan New York itu pasti menghiburkan. Kita tak perlu ke New York lagi untuk menonton broadway.

Pasti ada yang anak bertanya. Mengapa orang kita ghairah membawa masuk budaya luar ke Malaysia. Sedangkan usaha membawa budaya Malaysia ke luar jarang diuar-uarkan? Sementelah ia dipentaskan di Istana Budaya.

Pementasan itu menggunakan hampir kesemuanya tenaga anak tempatan. Hanya pelakon utama, Kris Coleman yang didatangkan khas dari New York sebegai penyeri persembahan. Kehadirannya juga menaikkan taraf pementasan tersebut.

Bagi yang cenderung mahu mengkritik, fikirkan pada peluang yang diperolehi oleh pelakon dan aktivis teater kita. Sementelah Malaysia adalah satu-satunya negara yang diberi hak memenrtaskan broadway itu di Asia Tenggara.

Malah pihak produksi berusaha meyakinkan pemilik nashkah Dreamgirls untuk membolehkan produksi kita mengadakan road tour Dreamgirls ke negara-negara Asia Tenggara. Itulah impian besar pengarahnya Joanna Bassey dan penerbitnya, Casey Kok dari Broadway Academy.

"Impian saya selepas ini mahu membawa Dreamgirls buah tangan kita ke negara-negara Asia Tenggara. Bayangkan bagaimana seronoknya kalau kita dapat membawa pelakon-pelakon kita membuat persembahan di luar negara..

"Sebab itu pementasan di Istana Budaya ini sangat penting bagi saya. Saya kena yakinkan mereka yang kita mampu menghasilkan pementasan yang setaraf dengan mereka. Saya sedang memikul tanggungjawab berat itu.

"Saya akui memang saya kena ikut cara mereka kerana ia telah termaktub di dalam syarat semasa kami diberikan hak membuat pementasan. Malah dialek mereka juga kita kena ikut. Mereka mahu kita hasilkan mengikut keaslian pementasan di sana.

"Kris Coleman turut membantu saya dalam membetulkan dialek sebab dialek orang hitam Amerika agak asing dalam pertuturan seharian kita di sini," kata pengarahnya, Joanna.

Casey pula dalam usaha mempromosikan DReamgirls kepada pihak di Asia Tenggara. Dia mengundang penerbit beberapa negara untuk menonton pementasan Dreamgirls di Istana Budaya nanti.

Sekiranya usaha membawa team Dreamgirls buatan Malaysia ke luar negara menjadi kenyataan, ia pasti mengangkat lagi nama Malaysia sebagai penerbit teater hebat. Semestinya ia sesuatu yang patut dibanggakan.

Pelakon teruja

Pelakon utama, Cheryl Samad akui sangat teruja memulakan persembahan. Apatah lagi menyedari Dreamgirls memiliki ramai pengikut setelah ia dipopularkan di layar perak lakonan Beyonce Knowles.

"Saya tidak menjadikan Beyonce sebagai rujukan kerana watak Deena Jones yang saya lakonkan sebenarnya berdasarkan karakter Diana Ross semasa bersama kumpulan The Supremes. Saya tidak perlu mengikut cara Beyonce.

"Malah gaya nyanyian saya juga tidak perlu menjerit sebagaimana kita tonton Beyonce dalam filem, kerana cara Diana sangat berlainan," kata Cheryl.

Cheryl juga akui ada cabaran besar kerana harus menyanyi dengan dua key lebih tinggi daripada key asal nyanyiannya. Tapi sebagai pelakon, dia berusaha mengatasinya demi memberikan persembahan terbaik.

Kerjasama dengan Kris (Jimmy Thunder) juga sangat baik, malah pelakon itu juga banyak membantu dia dan pelakon-pelakon lain sepenjang berlatih bersama.

"Sebelum ini kami berlatih tanpa Kris sebab dia baru datang ke Malaysia dua minggu lalu. Bila dia datang, barulah saya rasa semangat yang lain datang dalam diri saya. Pada mulanya kami rasa takut sebab dia sudah berlakon dalam Dreamgirls bertahun-tahun, sedangkan kami baru mengenali broadway ini.

"Tapi dia seorang yang baik dan merendah diri. Kalau kita tanya pendapatnya, dia sentiasa memberikan pandangan yang boleh digunakan," jelas Cheryl.

Dafi juga akui dielek yang digunakan dalam pementasan ini antara cabaran besar. Walaupun dia fasih bertutur bahasa Inggeris, tapi keperluan mengikut dialek antara cabaran.

Dafi yang baru selesai berlakon Muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an mungkin dapat sedikit info kerana kedua-duanya berdasarkan latar masa yang sama, iaitu era tahun 60-an.

"Saya juga teruja untuk beraksi dalam Dreamgirls setelah sekian lama menjalani latihan. Saya harap peminat akan terhibur dengan persembahan kami nanti," kata Dafi yang berlakon sebagai C.C. White.

Dreamgirls turut dibintangi Elvira Arul (Effie White), Azura Zainal (Lorell Robinson), Ruzana Ibrahim (Michelle Morris) Tony Eusoff (Curtis Taylor Jr.) dan Indi Nadarajah (Marty).

Dina (understudy Effie), Joy Shavini (understudy Lorrell), Wan Nadrah (understudy Michelle), Mazhar Mahathir (understudy Jimmy), Reefa (understudy Jimmy) dan Aaron Khaled (understudy C.C) turut berlakon.

Tiket berharga daripada RM48 hingga 350 sudah mula dijual. Tiket boleh didapati di http://redtix.airasia.com/ Boxoffice Istana Budaya juga turut menjual tiket pementasan itu. Talan 03-87754666 juga dibuka untuk tempahan. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Broadway Academy di talian 03-61422601.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: