![]() |
| RUMAH tangga pasangan bahagia ini lengkap dengan kehadiran seorang cahaya mata. |
Nama samaran Gaban membuatkan seorang senior perempuan begitu teruja untuk mengenali siapakah jejaka 'berani' yang mahu dikenali dengan nama adiwira dari negara matahari terbit itu.
Secara kebetulan, kedua insan ini dipertemukan apabila mereka sama-sama menganggotai kor Kesatria di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Justeru, padang kawad yang menjadi lokasi latihan kor menjadi medan pertemuan dua pelajar senior dan junior, Faidzaa Zaini, 33, dan Hafizal Hamad, 32, dari kursus Sains Sukan ini.
"Siapa tidak teruja untuk mengenali Gaban (panggilan suami ketika zaman belajar) yang sering disebut rakan-rakan.
"Tambahan pula, saya seorang yang peramah. Jadi, ada kesempatan bertemu dengannya, saya terus berkenalan dengan dia yang merupakan junior satu kursus dengan saya," ujar Faidzaa membuka cerita tentang suaminya yang kini mencipta nama sebagai pengulas sukan di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Daripada sekadar sahabat biasa, mereka akhirnya menjadi pasangan kekasih dan percintaan tersebut berlangsung selama tujuh tahun sebelum menjadi pasangan suami isteri yang sah.
"Selepas habis belajar di UiTM, saya melanjutkan pelajaran di maktab untuk mengikuti KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah). Ketika itu, kami sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga dan semuanya berjalan lancar dalam suasana serba ringkas.
"Masa itu, Hafizal sudah bekerja di RTM. Bayangkan sewaktu merisik, dia cuma datang dengan rakan sekerjanya, Zainal Abidin Rawop atas alasan ahli keluarganya jauh di Kedah, sedangkan keluarga saya di Melaka. Mujurlah keluarga saya sporting," ujar Faidzaa.
Lalu pada 14 Mac 2006, pasangan ini disatukan dalam suasana sederhana namun tetap meriah. Bahtera rumah tangga mereka bertambah seri dengan kelahiran cahaya mata, Muhammad Ilham Darwish Hafizal, 4 tahun.
"Uniknya tentang suami saya ini adalah karakternya dari mula berkenalan hinggalah hari ini tidak pernah berubah. Dia seorang yang ceria, pelawak, suka bergurau. Tetapi dengan anak, dia tegas demi mendidik anak menjadi berdisiplin," jelas Faidzaa yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.
Menurut Faidzaa, cabaran awal ketika bergelar isteri ialah berdepan dengan jadual kerja suami yang sangat ketat sebagai pengulas sukan dan wartawan di stesen televisyen.
Namun seperkara yang begitu dikagumi suami tentang si isteri yang tinggi lampai ini ialah sikapnya yang begitu berdikari.
"Isteri saya boleh diharap, dia boleh uruskan semua memandang saya selalu tiada di rumah kerana kerja luar. Lebih bertuah kerana saya memiliki keluarga mertua yang sangat memahami dan memberi sokongan.
"Disebabkan jadual yang ketat, waktu tidak bekerja saya akan pastikan ia dihabiskan secara berkualiti bersama keluarga," ujar Hafizal yang pernah dinobatkan sebagai pengulas sukan terbaik pada Anugerah Sri Angkasa, tahun lalu.
Hafizal tidak menafikan kerjaya sebagai front liner di bahagian penyiaran ini bukan satu tugasan mudah. Ia bukan sahaja menuntut komitmen dari diri sendiri, malah komitmen dan persefahaman pasangan itu juga sama penting.
"Pada awalnya, memang wujud sedikit konflik tentang kerjaya ini, namun kami berdua tahu kunci untuk menyelesaikan segala permasalahan ialah dengan berbincang. Apa juga masalah, tak kiralah masalah keluarga atau pejabat, kami mesti berbincang dan bertukar pendapat.
"Seperkara lagi, tentang cabaran kerjaya public figure ini ialah kita perlu percaya satu sama lain. Isteri perlu percaya suami dan begitulah sebaliknya.
" Bagi kami, mudah apabila semua kawan saya, isteri saya kenal dan semua kawan isteri di sekolah pun, saya kenal. Jadi, bila saya ada tugasan luar dan tak dapat menghubungi isteri atau suami, kawan-kawan mereka ada untuk saya rujuk," ujar Hafizal yang kini mempunyai rancangannya sendiri yang diberi nama Stadium Angkasa yang disiarkan di RTM1.
Bagi Hafizal, setiap masalah janganlah dipendam kerana setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaian. Justeru, resipi kebahagiaan pasangan yang telah 12 tahun berkahwin ini ialah bercakap dengan penuh diplomasi.
Begitu juga bagi Faidzaa yang sangat sporting terutama apabila berhadapan dengan peminat suaminya yang juga terdiri daripada peminat sukan.
Seperkara lagi yang mereka amalkan ialah bersembang di dalam satu perjalanan panjang seperti balik kampung atau melancong.
"Bila bersembang, ia akan lebih mengeratkan hubungan dan semakin hari keserasian semakin bercambah," ujar Hafizal yang terkenal dengan 'trademark' kata-kata 'terima kasih, terima kasih, terima kasih' ketika mengulas sukan.
Untuk menambahkan keceriaan rumah tangga, Hafizal yang aktif dengan pelbagai persatuan tidak pernah lupa mengajak isterinya turut sama dalam aktiviti yang disertainya.
Tidak kiralah aktiviti riadah sukan atau majlis formal, Hafizal pasti mengajak Faidzaa mengiringinya dan itulah yang mengeratkan ikatan kasih sayang mereka berdua.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: