|
|
SUKAR bagi sesetengah ibu bapa menerima kenyataan, anak yang dilahirkan cacat mahupun termasuk dalam golongan istimewa.
Akibatnya ada ibu-ibu yang timbul perasaan berang, sedih, kecewa dan terasa dibebani sehingga terpaksa menerima rawatan psikiatri dan psikologi.
Ramai di antara mereka terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada anak-anak istimewa sedangkan realiti kehidupan memerlukan ibu dan bapa yang bekerja untuk sumber ekonomi keluarga.
Namun perasaan itu tidak timbul dalam diri Sahana Mohd Amin, 29. Dia tidak pernah merasakan menjaga anaknya yang mengalami masalah saraf sebagai satu beban.
Mengimbas kembali ketika dia disahkan mengandung anak pertama tujuh tahun lalu, Sahana tersenyum lega mendengar ucapan tahniah daripada doktor.
Kelahiran seorang bayi lelaki disambut dalam suasana yang bahagia kerana dia dan suami menyambut kelahiran anak pertama.
"Anak saya menghidap masalah saraf menyebabkan tumbuh besarnya terbantut dan sukar bergerak. Ketika saya bersalin, anak kami lemas dan oksigen tidak sampai ke otaknya menyebabkan sarafnya terganggu.
Namun saya sedikitpun tidak berasa kecewa tetapi saya dan suami bertekad untuk membesarkannya dengan sempurna. Atas nasihat doktor, kami banyak banyak mendapat maklumat dan panduan untuk memberikan penjagaan yang terbaik buat anak kami, Ikhwan," katanya.
Meskipun begitu, Sahana berasa risau dengan sikap pendiam anaknya. Tidak seperti kanak-kanak lain, Ikhwan kurang mahu bermain dan bercakap.
Pada masa yang sama, Ikhwan mempunyai sikap takut terutamanya ketika berada di tempat lain selain daripada rumah.
Keadaan ini menimbulkan kerisauan di hati Sahana kerana dia mahu melihat Ikhwan berdikari dan melakukan aktiviti sama seperti kanak-kanak lain.
"Ketika Ikhwan berusia empat tahun, kami mengambil keputusan untuk menghantarnya ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Ini penting bagi meningkatkan keyakinan diri dan sekali gus mengelakkan Ikhwan berasa terpinggir. Saban hari kami sekeluarga tidak jemu-jemu memberi kata-kata motivasi kepada Ikhwan bahawa dirinya pemberian Tuhan yang istimewa dan penyeri keluarga," tambahnya.
Selain kawan-kawan di PDK yang terletak di Desa Tun Hussein Onn, Jalan Jelatek, Kuala Lumpur, Masa Ikhwan banyak dihabiskan bersama keluarga.
Anak istimewanya itu juga sangat menyayangi adik-adiknya. Ikhwan juga senang bermain di dalam rumah dan mudah mendengar kata.
Pada tahun pertama di PDK, sikap Ikhwan sedikit sebanyak berubah. Ini memberi harapan kepada Sahana untuk melihat anak sulungnya itu berdikari.
Pendiam
"Dulu dia seorang yang pendiam. Sejak masuk ke sini pada umur empat tahun, saya melihat sedikit perubahan pada sikapnya. Dia sudah aktif dan mahu bergaul. Kini pembelajaran Ikhwan lebih bermakna di PDK dengan adanya kemudahan terapi pelbagai pancaindera. Saya dapati perasaan takut Ikhwan sudah tiada dan dia lebih senang bermain dengan kawan-kawan dan adik-adiknya.
Dalam pada masa yang sama, llatihan fisioterapi di PDK banyak memulihkan pergerakan Ikhwan. Dia kini boleh bermain dan berjalan seperti kanak-kanak lain," ujarnya.
Tahun ketiga di PDK lebih bermakna bagi Shana sekeluarga lebih-lebih lagi Ikhwan dapat mencuba kemudahan terapi pelbagai pancaindera.
Bilik terapi ini menyediakan kemudahan rangsangan pancaindera untuk kanak-kanak istimewa yang hilang upaya pembelajaran agar mereka dapat belajar di dalam suasana yang tenang. Bilik-bilik tersebut juga diubahsuai secara spesifik untuk membolehkan pelbagai rangsangan seperti cahaya, warna dan bunyi dapat disampaikan secara efektif kepada pancaindera tertentu.
Seperti ibu bapa lain yang mempunyai anak di PDK, Sahana mengucapkan terima kasih kepada Procter & Gamble Malaysia (P&G) melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, Open Minds yang menyumbangkan bilik terapi pelbagai pancaindera kepada PDK di seluruh negara.
Bermula sejak tahun 2009, P&G berikrar untuk menyumbang RM1 juta bagi memenuhi keperluan pembelajaran kanak-kanak istimewa di Malaysia.
"Sejak daripada mula lagi, kami menyedari bahawa bukan mudah untuk merealisasikan projek yang sebegini besar dan kami memerlukan rakan yang boleh diharapkan. Oleh itu, kami telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan rangkaian PDK-nya yang sedia ada di seluruh negara. Hubungan erat dengan mereka, Yayasan Kebajikan Negara dan juga sokongan padu dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, adalah kunci kejayaan inisiatif ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia dan Singapora, Ellie Xie.
Sebuah majlis ringkas untuk meraikan penyerahan bilik terapi pelbagai pancaindera yang ke-50 telah diadakan di PDK Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini yang dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: