KUANTAN - Seorang pengurus agensi Etiqa Takaful bukan sahaja terkejut dan ketakutan malah motif rompakan lima penyamun ‘pelik’ yang menceroboh rumahnya di Indera Mahkota 13 di sini tengah hari kelmarin turut menimbulkan tanda tanya.
Situasi yang dilalui mangsa, Nazila Mohd Nadzir, 46, ketika berdepan lima perompak berusia dalam lingkungan 30-an itu agak mencemaskan pada awalnya setelah dia bersama empat yang lain termasuk dua anaknya diikat kaki, tangan dan mulut selain diacukan sebilah parang.
Perompak ganas itu bagaimanapun mula berubah sikap menjadi lebih bertimbang rasa selepas mendapat habuannya malah meminta maaf berulang kali atas tindakan mereka mengasari dan merompak keluarga wanita itu membabitkan kerugian keseluruhan kira-kira RM20,000.
Nazila berkata, nalurinya kuat mengatakan kehadiran lima perompak yang menceroboh rumahnya pada waktu siang hari itu ada motif lain bagaimanapun dia enggan mendedahkan andaiannya itu bagi mengelak kenyataannya mengganggu siasatan pihak polis.
Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana dua anaknya, Lokman Hakim Ibrahim, 19, Suhaib Ubaidullah Ibrahim, 14, dan seorang rakan mereka, Muhamad Ajwad Fadzin, 17, serta pembantu rumah mereka, Dahlia, 21, yang kebetulan ada di rumah ketika kejadian selamat.
“Di sebalik tindakan ganas mereka mengikat dan memukul saya dua beranak dengan sisi parang ketika memaksa kami menyerahkan semua barang berharga yang ada, mereka turut meminta maaf kerana terpaksa bertindak demikian sedangkan mereka mengakui sebagai orang baik-baik.
“Suspek juga seolah-olah rasa bersalah dengan tindakan mereka mengikat tangan, kaki dan mulut kami malah berulang kali bertanya sama ada saya dan mangsa yang lain boleh bernafas atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Mengimbau kembali kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, Nazila yang berstatus janda anak enam berkata, ketika itu dia bersama empat yang lain itu ada di rumah sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali.
“Suspek berpura-pura tertarik dengan keadaan rumah saya sebelum bertanyakan sama ada kediaman ini rumah contoh bagaimanapun saya dinafikan dan menjelaskan bahawa rumah ini milik saya,” katanya.
Dia berkata, perbuatan dua lelaki itu memasuki rumahnya tanpa membuka kasut menimbulkan kemarahannya lalu meminta mereka keluar dan beredar tanpa mensyaki tindakan mereka seterusnya.
“Selepas dua lelaki itu beredar, saya minta pembantu rumah mengunci pintu dan kembali semula ke dalam bilik.
“Bagaimanapun seorang daripada suspek rupanya menyorok di ruang tamu dan bertindak membuka kembali selak pintu sebelum empat lagi rakannya masuk,” katanya.
Dia yang terdengar pintu bilik diketuk kembali membukanya sebelum ternampak lelaki tadi tercegat di muka pintu sambil mengacukan sebilah parang manakala empat lagi lelaki lain sudah berada di depan pintu.
Nazila berkata, seorang daripada penjenayah bersenjatakan parang masuk ke dalam bilik sebelum mengacukan senjata itu ke arahnya dan memaksa supaya menyerahkan barang kemas dan telefon bimbit.
“Semua yang ada dalam rumah dikumpulkan dalam satu bilik sebelum kami semua diarahkan menyerahkan barang berharga masing-masing.
“Dalam kekalutan itu, suspek bertindak memukul belakang badan Lokman Hakim dengan sisi parang sebanyak lima kali sebelum tindakan sama dilakukan ke atas saya dan seterusnya kaki dan tangan kami diikat menggunakan pengikat plastik manakala mulut ditutup dengan pita pelekat.
Menurutnya, kerana tidak berpuas hati dengan habuan itu, penjenayah terbabit turut mengarahkannya menyerahkan kad bank bersama nombor pin sebelum konco mereka membuat pengeluaran sebanyak RM5,000 di sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah pusat membeli belah di bandar Kuantan.
“Kami ternampak suspek melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Perdana V6 berwarna merah dan bercermin gelap serta berjalur putih bagaimanapun gagal mengecam nombor pendaftaran yang digunakan,” katanya.
“Saya berjaya membuka ikatan mulut seorang anak dan dia mendekati pintu menjerit meminta bantuan jiran sebelum kami semua berjaya dilepaskan,” katanya yang tinggal di rumah itu sejak setahun lalu.
Dia berkata, seorang jiran yang menyedari kejadian itu menghubungi polis kira-kira jam 1.08 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi menjalankan siasatan.
Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian samun itu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: