Wednesday, November 18, 2009

Watak 'lelaki lembut' kembali popular


WATAK Sam (tengah) lakonan Imuda menerusi sitkom 2 + 1 pernah mencetuskan kontroversi dalam dunia hiburan tanah air suatu ketika dulu.


APABILA bercakap mengenai 'lelaki lembut', ia bukanlah suatu perkara yang baru. Sejak dari dulu lagi, sudah ada lelaki yang berperwatakan sebegitu. Lembut bukan sahaja daripada segi tutur kata, tetapi juga melalui gaya kehidupan seharian mereka.

Penampilan diri yang ke arah kewanitaan seperti memakai beg tangan wanita, bersolek dan cenderung bercakap tentang kekacakan lelaki juga merupakan antara ciri-ciri golongan terbabit.

Bukan menafikan kewujudan mereka, malah tiada siapa pun yang mahu ditakdirkan sebegitu. Namun, sama ada ia naluri semula jadi atau sengaja dibuat-buat, ramai yang belum pasti dengan realiti gejala sosial tersebut.

Ia merupakan senario atau trend yang kini semakin popular terutamanya di kalangan anak-anak muda. Kurang pasti daripada manakah punca utama datangnya pengaruh tersebut?

Cuma apabila diamat-amati, media massa terutamanya radio dan televisyen (TV) sedikit sebanyak telah menyumbang kepada penularan popularnya sindrom itu ke dalam sistem sosial masyarakat. Paling parah apabila trend itu pula seperti tidak diambil kisah oleh masyarakat.

Isu lelaki lembut misalnya, pernah menjadi bualan ramai pada penghujung tahun 1980-an apabila TV3 menyiarkan sitkom berjudul 2 + 1 yang menampilkan watak 'lelaki lembut' bernama Sam lakonan Imuda.

Bagaimanapun, isu itu tidak diperkatakan lama di mana ia senyap begitu sahaja. Apatah lagi, sitkom tersebut juga tidak disambung untuk musim-musim seterusnya dan ia berkubur begitu sahaja.

Itu cerita lama. Terbaru, stesen radio Suria FM baru-baru ini memperkenalkan pula watak lelaki lembut bernama Kak Vee menerusi slot Breakfast@Suria pada setiap Jumaat.

Tidak pasti apakah motif stesen radio swasta tersebut memperkenalkan watak itu dalam slot rancangan mereka? Adakah watak sebegitu mampu melonjakkan lagi jumlah rating para pendengar mereka?

Cuma difahamkan, kebanyakan pendengar Suria FM tidak kisah, malah mereka juga dikatakan terhibur serta menerima baik kewujudan watak seperti Kak Vee sebagai perantara di stesen radio yang semakin popular itu.

Usaha Suria FM itu dilihat seakan-akan mahu mempopularkan semula watak-watak 'lelaki lembut' yang semakin ramai terdapat di kalangan masyarakat pada hari ini, tidak kiralah di bandar atau luar bandar.

Bukan setakat Suria FM, malah stesen radio Sinar FM juga difahamkan menggunakan watak 'lelaki lembut' menerusi penyampainya iaitu Salih Yaccob dalam salah satu segmen yang diacarakannya melalui stesen itu.

Sejak kebelakangan ini, stesen-stesen radio swasta seolah-olah terpaksa melakukan pelbagai cara atau gimik bagi menarik lebih ramai pendengar bagi mengikuti siaran mereka.

Tidak kiralah gimik apa sekalipun, sama ada ia memberi kesan positif atau negatif kepada para pendengar mereka, itu tidak penting. Apa yang penting bagi stesen radio ialah, mereka mesti menjadi stesen nombor satu dan paling popular di kalangan pendengar.

Perkara itu tidak menghairankan kerana bilangan radio swasta yang semakin banyak beroperasi sejak akhir-akhir ini. Itu tidak termasuk stesen penyiaran kerajaan, RTM yang mempunyai 34 saluran radio di seluruh negara. Jadi, persaingan memang menjadi salah satu puncanya.

Secara tidak langsung, senario itu yang dipopularkan oleh stesen-stesen swasta kini semakin diterima oleh masyarakat di negara ini. Kita memang terhibur dengan perwatakan lelaki-lelaki lembut.

Bukan setakat menerusi radio dan TV tetapi juga dalam medium seperti perfileman. Trend watak 'lelaki lembut' paling cepat menular menerusi radio dan TV kerana ia diulang siar banyak kali apatah lagi pada setiap hari.

Dalam hal ini, kita memang tidak berupaya menahan perubahan hormon seseorang, tetapi yang menjadi isunya ialah kita mungkin menggalakkan atau mempopularkan penyakit-penyakit sosial lain yang bakal muncul dalam masyarakat pada masa akan datang.

Contohnya, gejala gay atau homoseksual yang sering dikaitkan dengan golongan 'lelaki lembut'. Kata orang, mencegah lebih baik daripada merawat penyakit apabila ia sudah merebak dalam masyarakat kelak. Salah satu caranya ialah, dengan mengkaji punca-punca gejala negatif tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: