![]() |
| LAUREN Bacall sewaktu menerima Oscar pencapaian seumur hidupnya di Los Angeles, Amerika Syarikat, minggu lalu. |
KALAU disebut nama Lauren Bacall kepada generasi muda hari ini, barang kali ramai yang akan mengerutkan dahi sambil menggelengkan kepala.
Tetapi, bagi mereka yang mengikuti perjalanan seni aktres legenda ini, pastinya akan bersetuju seandainya dikatakan Lauren merupakan antara aktres terhebat generasinya.
Masakan tidak, berbanding dengan aktres seangkatannya, Lauren memiliki kelebihan dan keunikan yang tiada pada mana-mana aktres iaitu suara garau dan renungan tajam yang telah menjadi identitinya.
Sekadar menyingkap profil seninya, Lauren memulakan kariernya sebagai seorang pelakon pada tahun 1944 dengan membintangi filem pertamanya, To Have and Have Not bersama pelakon lelaki terkenal, Humphrey Bogart yang kemudiannya menjadi suaminya selama 12 tahun.
Bermula detik itu, langkah seninya disusun dengan baik sekali dan sepanjang 65 tahun menjadi anak seni, sudah 69 buah filem dibintanginya termasuk tiga filem baru yang sedang dalam pembikinan.
Antara filem-filem popularnya adalah seperti Confidential Agent, The Big Sleep, Dark Passage, Key Largo, Bright Leaf dan How To Marry A Millionaire.
Dan bayangkan, sepanjang tempoh mencipta nama sebagai seorang aktres yang disegani, dia tidak pernah memenangi Oscar dan hanya sekali sahaja beliau dicalonkan.
Itupun dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 1997 menerusi filem The Mirror Has Two Faces di samping Barbra Streisand, Pierce Brosnan dan Jeff Bridges.
Biarpun memenangi dua anugerah penting sebelum itu iaitu Golden Globe dan Screen Actors Guild menerusi watak Hannah Morgan, namun Oscar bukan menjadi miliknya.
Ramai yang meramalkan Lauren akan membawa pulang Oscar pertamanya ketika itu tetapi beliau akur dengan keputusan juri yang menganugerahkan trofi keramat itu kepada Juliette Binoche menerusi filem The English Patient.
Kini, selepas lebih sedekad 'kekalahannya' itu, Lauren atau nama sebenarnya, Betty Joan Perske itu kini mampu tersenyum puas dan bangga.
Masakan tidak, minggu lalu dia menerima Oscar pertamanya. Bukan menerusi mana-mana filem tetapi Oscar yang mengiktiraf sumbangannya dalam bidang seni selama hampir tujuh dekad.
Pengakuan
Dalam majlis Malam Anugerah Governor yang diadakan di Los Angeles, California, Amerika Syarikat minggu lalu, dengan penuh jujur dia mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menerima Oscar.
Biarpun Oscar untuk pencapaian seumur hidup, Lauren tetap menghargainya sebagai kenangan paling manis yang pernah dikecapinya.
"Saya tidak pernah menyangka akhirnya lelaki ini (merujuk kepada trofi Oscar) datang dalam hidup saya.
"Sungguh mengujakan apabila pulang ke rumah dan melihat lelaki ini menanti kehadiran saya," ujarnya berseloroh sewaktu menerima trofinya itu.
Dalam masa yang sama, Lauren tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada Humphrey yang meninggal dunia pada tahun 1957 akibat kanser.
"Dia memberi saya kehidupan dan banyak mengubah hidup saya," katanya yang berkahwin dengan aktor itu selama 12 tahun sebelum aktor itu menghembuskan nafas terakhirnya.
Selain Lauren, dua lagi penerima anugerah pencapaian seumur hidup adalah penerbit dan pengarah veteran, Roger Corman serta pengarah fotografi, Gordon Willis.
Bagi anugerah Irving J. Thalberg Memorial Award pula, ia dianugerahkan kepada penerbit John Calley yang sebelum ini menerbitkan filem-filem seperti Catch-22, The Remains of the Day dan The Da Vinci Code.
Malam Anugerah Governor juga memecah tradisi Oscar selama lebih lapan dekad penganjurannya apabila buat pertama kalinya majlis penghargaan untuk anugerah khas dilangsungkan secara berasingan daripada acara sebenar.
Selalunya, trofi penghargaan akan dianugerahkan pada malam majlis Oscar berlangsung bersama-sama kategori lain.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: