KUALA NERANG - Misteri kehilangan beberapa ekor ayam milik Manis Tasu, 67, dan anaknya Mohd. Affendi Darus, 24, sejak sebulan lalu terjawab apabila seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira lima meter ditangkap semalam.
Misteri itu terbongkar ketika banjir melanda kawasan Kampung Tanjung Tualak dekat sini, setelah Mohd. Affendi terdengar bunyi bising ayam dari reban milik mereka pada pukul 3 pagi.
"Sebelum banjir pun, ada dengar bunyi ayam bising-bising dan apabila diperiksa hanya tinggal bulu ayam sahaja.
"Memang terasa kemungkinan ular yang makan ayam-ayam kami tetapi tak sangka pula ular sawa ini," katanya.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Affendi berkata, dia bersama ibunya pada mulanya meninjau keadaan reban ayam tersebut melalui tingkap sahaja memandangkan banjir masih belum surut sepenuhnya.
"Saya periksa ikut tingkap dapur sahaja kerana terletak berdekatan tetapi setelah disuluh ke dalam reban nampak ular sawa sedang membaham tiga ekor ayam," katanya.
Ibunya, Manis memberitahu, tanpa membuang masa, dia bersama anaknya itu menangkap ular tersebut dengan menggunakan tali buaian cucunya bersama sebatang kayu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: