![]() |
| Asri Yusoff menunjukkan wang palsu RM50 yang dirampas daripada pasangan suami isteri yang dipercayai terlibat mencetak wang di Alor Setar. |
ALOR SETAR 25 Nov. - Pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga pada Jun lalu ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan menghasilkan wang palsu RM50.
Pasangan itu diberkas di sebuah rumah di Taman Wira, Mergong di sini antara pukul 8 hingga 8.30 malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, suspek lelaki kemudian membawa polis ke sebuah bilik motel berhampiran Stesen Bas Shahab Perdana yang disewanya kira-kira sebulan lalu.
"Hasil pemeriksaan di bilik motel itu, polis menemui wang kertas palsu yang sudah dicetak dan peralatan membuat wang tersebut.
"Sebanyak 232 keping not RM50 berjumlah RM11,600 dirampas dalam serbuan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurut Asri, turut ditemui, beberapa peralatan untuk kegiatan itu termasuk seterika, lima keping jubin, dua keping plastik pelekat, lampu pengimbas wang kertas, dakwat pencetak serta alat pemain cakera padat digital (DVD) dan 15 keping DVD lucah.
Beliau berkata, modus operandi pasangan yang berusia 20 tahun itu adalah membuat salinan bahagian depan dan belakang not asli RM50 asli sebelum membelah wang palsu itu menggunakan pisau.
"Suspek kemudian melekatkan dengan menggunakan gam wang asli yang dipotong dengan salinan wang palsu. Contohnya, bahagian depan wang asli dicantumkan dengan bahagian belakang salinan wang palsu. Begitulah sebaliknya bahagian belakang not asli dicantumkan dengan salinan muka depan wang palsu," jelasnya.
Menurut beliau, wang yang siap dicantumkan itu kemudian dimasukkan ke dalam bank tempatan menerusi mesin deposit tunai (CDM) sebelum suspek mengeluarkan semula dengan menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pada hari yang sama.
Jelas Asri, pasangan terbabit mempelajari teknik tersebut menerusi seorang rakan mereka yang masih bebas dan menjadi buruan polis ketika ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: