
TIDAK hanya bertugas sebagai pembaca berita, mereka pernah memegang ular dan mereka pernah melaporkan berita dari tempat pelacuran. Apa yang pasti, mereka bukan hanya personaliti berwajah cantik dan kacak di depan kamera.
Selepas tiga bulan di dalam Kolej Penyampai Ikon, ternyata enam finalis yang terus kekal untuk beraksi di pentas akhir Malam Anugerah Penyampai Ikon bukanlah calang-calang peserta.
Dilahirkan untuk menjadi wartawan penyiaran, pengacara dan pembaca berita yang baik, misi Penyampai Ikon kini sudah menghampiri kemuncaknya.

Tidak berlangsung di lokasi sinonim Radio Televisyen Malaysia (RTM) Auditorium Angkasapuri, kali ini menyuntikkan kelainan pada program realiti yang menekankan kepada intektual dan profesionalisme, final Penyampai Ikon malam ini akan bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.
Enam finalis yang akan berentap untuk merebut bukan sahaja takhta kejuaraan tetapi juga sebuah kereta Proton Saga BLM dan wang tunai RM6,000 termasuklah Aina M.Zailanny, Mohamed Shahril Sarapudin, Hazel Desmond, Khairil Faizi Dalaiil, Aisyah Baslie dan Beatrice Krishnan.
Program Penyampai Ikon mula bersiaran sejak 12 Ogos lalu terlebih dahulu menyenaraikan 17 peserta untuk bersaing dalam program realiti pengacara pertama yang dianjurkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Selepas tiga bulan mendapat pendidikan ilmu pengacaraan dan kewartawanan di Kolej Penyampai Ikon, sebelas orang peserta disingkirkan berdasarkan prestasi melalui pemarkahan yang 100 peratus dinilai oleh juri profesional.

Apa yang pasti apabila seorang daripada enam finalis Penyampai Ikon diumumkan sebagai juara, beliau akan memikul tanggungjawab besar sebagai wajah baru ikon RTM.
Mengakui perkara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Norhyati Ismail berkata, juara dan finalis Penyampai Ikon menjadi ikon baru yang akan mentransformasikan stesen TV RTM agar lebih dekat dengan generasi muda.
![]() |
| AISYHAH |
Jelas beliau, RTM sudah pun mempunyai perancangan untuk meletakkan ikon baru RTM ini dalam pelbagai program termasuk rancangan-rancangan di negeri.
"Bukan saya katakan ikon RTM sedia ada tidak cukup bagus. Tetapi ikon-ikon baru ini akan mejadi pelapis untuk menyegarkan lagi program-program terbitan RTM," katanya.
![]() |
| BEATRICE peserta berketurunan campuran India dan Bidayuh. |
Ditemui semasa sidang media Malam Anugerah Penyampai Ikon baru-baru ini, Norhyati menjelaskan ini merupakan kali pertama RTM menganjurkan sebuah program realiti yang berkonsepkan pengacaraan.
"Sebelum ini RTM sudah biasa mengadakan rancangan realiti berkaitan dengan nyanyian, tetapi kali ini kita mencari wajah ikon RTM dalam bidang pengacaraan, pemberitaan dan kewartawanan," katanya.
![]() |
| HAZEL peserta kelahiran Sarawak. |
Salah seorang peserta final, Khairul Faizi, 23, berkata, menjadi ikon baru RTM bukanlah bermakna mereka perlu bersaing atau bermasam muka dengan personaliti yang sudah senior.
"Kami menjalinkan hubungan yang baik dengan personaliti lama, bahkan kami selalu meminta tunjuk ajar mereka sewaktu kami menuntut di Kolej Penyampai Ikon.
"Kalau bertembung dalam bilik wardrobe atau mekap sudah pasti kami akan bertegur sapa dan mendapat nasihat daripada personaliti lama," ungkap graduan Sarjana Muda Sains (Remote Sensing) itu.
![]() |
| AINA SUZAILY |
Peserta yang menjadikan penyampai berita, Norashikin Abdul Rahman sebagai idola menambah, bakal menjadi rakan sekerja maka adalah tidak wajar melihat personaliti lama sebagai saingan.
Sebaliknya apa yang penting adalah bersama-sama menaikkan imej RTM agar terus dekat di hati penonton.
![]() |
| FAIZI |
Perkara itu dipersetujui oleh peserta kelahiran Sarawak, Hazel Desmond, 26, yang melihat adalah penting untuk wajah ikon baru membantu membetulkan persepsi sesetengah pihak yang melihat RTM sebagai stesen orang lama.
"Saya sendiri sebelum menyertai program ini mempunyai persepsi seperti itu. Bagaimanapun selepas bersama-sama dalam bidang ini, baru saya tahu RTM tidak lah seperti itu. Cuma yang penting bagaimana kita perlu mengubah persepsi sesetengah pihak," ujarnya.
Sedia pikul tanggungjawab
Ketika ditanya sejauh mana kebolehan dan kemahiran ilmu peserta Penyampai Ikon kerana menggalas tugas berat sebagai wajah baru RTM, Pengetua Kolej Penyampai Ikon, Yusanani Yushak menegaskan bahawa enam anak didiknya sememangnya layak untuk memikul tanggungjawab di RTM.
"Selepas tiga bulan dalam kolej, kita telah mempersiapkan pelbagai ilmu kepada peserta Penyampai Ikon. Selepas membuat penyingkiran 11 peserta, enam peserta finalis ini adalah yang terbaik.
"Bahkan saya yakin mereka mampu untuk menjadi pembaca berita, pengacara dan wartawan penyiaran yang bagus dalam apa juga situasi.
"Dalam tempoh pengajian itu, kita telah memberikan pelbagai tugasan mencabar termasuk tugasan laporan berita di tempat jenayah seperti pelacuran," katanya.
Menyentuh mengenai Malam Anugerah Penyampai Ikon jelas Yusanani, penonton akan menyaksikan banyak kejutan baik daripada tugasan peserta mahu pun persembahan hiburan.
"Pada malam itu peserta akan diberikan dua tugasan iaitu menyampaikan berita dan kemudian melaporkan berita dari lokasi.
"Dalam tugasan kedua penonton akan menyaksikan pentas akan disiapkan dengan prop seperti finalis berada di lokasi sebenar," katanya lagi.
Yusanani yang juga Konsultan Persembahan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan selain penerbit eksekutif program itu memberitahu, peserta akan dinilai berdasarkan gaya persembahan, intonasi, penyampaian berita, nilai berita yang dilaporkan dan keyakinan diri.
Mengakui semua finalis akan diserapkan dalam pelbagai program terbitan RTM, mereka juga akan terikat dengan stesen TV itu selama dua tahun.
Tempat kedua akan menerima RM4,000, trofi dan sijil manakala pemenang tempat ketiga akan membawa pulang RM2,000, trofi dan sijil.
Juri Penyampai Ikon terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya, Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin dan pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah.






No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: