Wednesday, November 18, 2009

Vaksin kontroversi


VAKSIN ini hanya dapat mencegah jangkitan Human Papilloma Virus (HPV). Ia bagaimanapun tidak boleh mengubati kanser servikal.


LIMA dekad dari sekarang, kanser servikal mungkin hanya menjadi kenangan silam bagi sesetengah orang. Bagi yang lain, mereka mungkin tidak pernah mendengarnya.

Adakah senario itu boleh terjadi? Ya, kata pakar perunding obstetrik dan ginekologi, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar.

"Menghapuskan sama sekali kanser servikal bukanlah sesuatu yang mustahil, jika terdapat usaha bersepadu dalam menyaring dan memberi vaksin," kata Nor Ashikin, yang juga merupakan pengasas Primanora Medical Centre.

Beliau menjelaskan, kanser servikal boleh dicegah dan jika didiagnosis awal, ia juga boleh dirawat, bukan seperti kanser payu dara.

"Peringkat mana ia didiagnosis adalah penting. Jika ia hanya terhad kepada serviks, dan belum lagi sampai ke saluran darah atau sistem limfa, maka pesakit boleh pulih sepenuhnya," katanya.

Jalani saringan

Untuk menghapuskan sama sekali kanser servikal, pengesanan awal perlu bagi mengesan kehadiran sel-sel luar biasa yang berpotensi berubah menjadi kanser.

Ini boleh dilakukan melalui ujian servikal, yang lebih dikenali sebagai ujian Pap smear bagi mengesan perubahan sel-sel servikal.

Malangnya, ramai wanita tidak menyedari tentang pentingnya untuk menjalani ujian itu secara berjadual.

Dr. Nor Ashikin memberi contoh bahawa dalam kalangan wanita profesional, kurang 30 peratus daripada mereka menjalani saringan.

"Apatah lagi dalam kalangan bukan profesional? Dalam usaha mengurangkan kematian kerana kanser servikal, kita harus memastikan sekurang-kurangnya 60-80 peratus daripada populasi wanita di Malaysia menjalani ujian Pap," katanya.

Setiap tahun kira-kira 500,000 wanita di seluruh dunia didiagnosis dengan kanser servikal, menyebabkan 273,505 kematian setiap tahun.

Jika dibandingkan dengan negara Asia yang lain, Malaysia mencatatkan kejadian kanser servikal yang lebih tinggi dan kes-kes kanser servikal merupakan yang kedua terbanyak di negara ini.

Tinjauan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan Ketiga pada 2006 menunjukkan hanya 43 peratus daripada wanita Malaysia, kebanyakannya wanita muda yang menghadapi risiko lebih rendah berbanding wanita lebih berusia, telah menjalani Pap smear.

Beliau berkata, kempen Pap smear kebangsaan yang dijalankan dengan berkesan terhadap kanser servikal boleh meningkatkan dengan ketara kesedaran umum tentang pentingnya untuk menjalani saringan secara berjadual.

"Di sinilah, kita perlu melobi dengan kerajaan untuk membolehkan keseluruhan populasi disaring," katanya.

Saringan Pap smear

Walaupun ujian Pap smear adalah penting kerana ia mengesan sel-sel luar biasa di peringkat awal, namun ia tidak menghalang kanser servikal.

"Tetapi menjalani ujian Pap masih penting kerana pengesanan awal sel-sel luar biasa boleh membantu kita menghalang kanser daripada merebak.

"Sebenarnya vaksin Cervarix dan Gardasil tidak boleh mengubati kanser servikal.

"Vaksin ini hanya mencegah jangkitan Human Papilloma Virus (HPV). Penjelasan ini perlu untuk mengelakkan tanggapan salah, harapan tidak realistik, dan dalam senario terburuk, pertikaian perundangan yang tidak perlu," katanya.

Nor Ashikin berkata, terdapat kira-kira 100 jenis HPV, tetapi hanya 20 daripadanya yang menyebabkan kanser dan yang paling lazim adalah strain 16 dan 18 yang menjadi penyumbang utama kepada kanser servikal.

"Anda juga harus memahami bahawa jika anda telah dijangkiti HPV, vaksin ini tidak akan membantu anda sembuh," katanya lagi.

Oleh kerana itu, saringan masih perlu, kerana ia penting untuk mengesan kanser dan lesi prakanser yang disebabkan oleh strain HPV.

Tanpa hubungan seks

Beliau berkata, HPV boleh berjangkit walaupun tanpa melakukan hubungan seks kerana virus itu boleh berpindah dengan mudah melalui kulit.

Penggunaan kondom juga tidak dapat mencegah jangkitan kerana lapisan getah itu hanya melindungi bahagian tertentu kemaluan lelaki, sementara tisu-tisu skrotum dan anal terdedah.

"Sehinggakan sel-sel mati yang berpindah semasa persetubuhan mungkin mengandungi virus itu yang masih boleh berjangkit walaupun selepas empat atau lima hari," katanya.

Nor Ashikin berkata, lebih kurang separuh daripada wanita yang aktif secara seksual boleh dijangkiti HPV onkogenik (yang menyebabkan barah) di peringkat tertentu kehidupan mereka, terutama selepas mereka mula terlibat secara aktif dalam hubungan seksual.

Walaupun 85 peratus daripada jangkitan HPV adalah berkaitan dengan aktiviti seksual, di antara 10 hingga 15 peratus daripada jangkitan berlaku walaupun tanpa sentuhan seksual.

Jangkitan itu mungkin berlaku daripada ibu yang dijangkiti kepada anaknya, melalui pakaian dalam yang tidak bersih, sarung tangan pembedahan, cadar, forseps biopsi atau kotoran daripada kuku.


NOR ASHIKIN


"Bagaimanapun, kes-kes seperti ini agak jarang," katanya.

Pada masa yang sama, tambah beliau, insiden kanser servikal jarang berlaku dalam kalangan mereka yang masih dara atau biarawati.

Lelaki vektor utama HPV

Nor Ashikin berkata, kaum lelaki masih merupakan vektor utama dalam cara HPV merebak dan menyebabkan kanser servikal kepada wanita iaitu mereka memindahkan virus itu semasa aktiviti seksual.

Kajian menunjukkan lelaki yang mempunyai lebih daripada satu pasangan dan/atau merupakan pembawa strain HPV berisiko tinggi meningkatkan lagi risiko kepada pasangan terhadap kanser servikal.

Ujian yang dijalankan di Australia terhadap vaksin-vaksin yang ada menunjukkan vaksin itu juga menawarkan perlindungan yang sama kepada lelaki, walaupun pihak pengawal selia di negara-negara tertentu termasuk Amerika Syarikat dan Kanada masih belum meluluskannya bagi kegunaan kedua-dua jantina.

Oleh itu katanya, adalah wajar bagi ibu bapa untuk memastikan anak-anak lelaki mereka juga mendapat vaksin itu dan lebih muda lebih baik lagi.

Dua vaksin diwujudkan

Cervarix dan Gardasil adalah dua vaksin yang diwujudkan bagi pencegahan kanser servikal yang berkaitan dengan strain 16 dan 18 HPV. Beberapa negara telah meluluskan penggunaan vaksin itu untuk anak gadis dan wanita.

Bagaimanapun, Natalie Morton, seorang pelajar berusia 14 tahun di United Kingdom meninggal dunia di hospital selepas menerima suntikan Cervarix, menyebabkan beribu-ribu orang menyuarakan kebimbangan mereka berhubung suntikan vaksin bagi kanser servikal.

Pada September lalu, hasil siasatan menunjukkan kematian Morton adalah disebabkan ketumbuhan yang jarang ditemui di paru-parunya. Ia hanya diketahui selepas kematiannya, dan bukan kerana vaksin tersebut.

Di Malaysia, walaupun timbul pelbagai pendapat umum, kerajaan mengumumkan bahawa ia akan meminta kebenaran ibu bapa sebelum menyuntik vaksin itu kepada murid-murid perempuan berusia 13 tahun.

Nor Ashikin menyambut baik langkah itu dan berharap ibu bapa dan pihak yang bimbang dapat menilai dengan bijak mengapa vaksin itu penting dan membantu anak-anak perempuan mereka mendapat perlindungan terbaik terhadap kanser servikal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: