WAKIL Unit Kebajikan NSTP, Aidah Nordin bersama sebahagian penyampai tiga radio AMP sewaktu sidang akhbar kempen Nadi Satu Malaysia. |
SEJAM sebelum kempen Nadi Satu Malaysia yang dijayakanoleh tiga radio di bawah payung Rangkaian Radio AMP iaitu Era, My FM dan THR Raaga tamat pada 12 November lalu, sebanyak RM104,278.63 berjaya dikumpulkan.
Jumlah itu adalah hasil derma pendengar prihatin tiga stesen radio terbabit.
Kutipan yang cukup membanggakan itu membuktikan ramai rakyat negara ini yang sebenarnya rela berkongsi penderitaan bersama insan kurang bernasib baik. Cuma, mungkin mereka tidak mengetahui bagaimana dan siapa yang harus didekati bagi menyampaikan sumbangan.
Lalu, kempen yang dilancarkan dari jam 6 pagi hingga 6 petang di ketiga-tiga stesen radio terbabit, yang diadakan dengan kerjasama Unit Kebajikan New Straits Times Press (NSTP), pastinya antara saluran terbaik untuk rakyat Malaysia memaparkan keprihatinan.
Selama 12 jam, penyampai radio terbabit menyeru kira-kira 7.6 juta pendengar ketiga-tiga saluran berkenaan berikrar menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak yang memerlukan pembedahan dan rawatan segera akibat penyakit jantung.
Kempen Nadi Satu Malaysia tercetus daripada penyiaran berita mengenai penderitaan empat kanak-kanak yang menderita penyakit jantung, di akhbar New Straits Times pada 2 November lalu.
Tarikh 12 November lalu muncul sebagai tanda bermulanya kerjasama amal antara syarikat media cetak dan elektronik terbabit. Ia kempen yang berterusan, demi membantu meringankan beban keluarga mangsa serta memberikan harapan kepada kanak-kanak dengan penyakit jantung untuk hidup sebagaimana rakan sebaya yang lain.
Dalam tempoh 12 jam itu, pendengar boleh menelefon ke studio dan menyatakan ikrar sumbangan masing-masing untuk kanak-kanak terbabit. Sebagai penghargaan atas sumbangan yang dihulurkan, mereka diberikan peluang membuat permintaan di udara.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi pemindahan wang ke akaun bank Unit Kebajikan NSTP di nombor CIMB 1411-2385256-01-0.
Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran berkata, radio AMP sentiasa memberikan sokongan padu kepada projek amal, termasuk kempen menyedarkan masyarakat mengenai tanggungjawab sosial mereka dalam membantu mereka yang tidak berupaya.
"Kempen membabitkan radio dan syarikat akhbar menerusi Nadi Satu Malaysia tentunya usaha yang membanggakan. Mungkin pada masa akan datang, kempen ini boleh membabitkan stesen televisyen pula," katanya di sidang akhbar kempen terbabit di Balai Berita, baru-baru ini.
Kata Nazri, kempen itu dengan sendiri dapat menunjukkan betapa rakyat negara ini mempunyai sifat penyayang dan cukup prihatin dengan penderitaan insan lain.
"Kempen ini berterusan walaupun selepas tamat tempoh 12 jam. Kita tidak perlu menunggu sehingga ada keluarga kanak-kanak malang ini merayu sumbangan, barulah hendak menderma. Sumbangan kita itulah yang mampu membantu meringankan penderitaan mereka," katanya.
Pengurus Rancangan THR Raaga, Ramesh Periasamy berkata, inilah ketikanya rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira perbezaan fahaman politik mahupun kepercayaan.
"Kanak-kanak ini ialah anak-anak kita semua, tidak kiralah siapa mereka sebenarnya. Jadi, kita harus sama-sama membantu meringankan penderitaan mereka. Saya percaya, dengan bantuan yang dihulurkan, kanak-kanak terbabit mampu menikmati kehidupan lebih baik," ujarnya.
Penolong Pengurus Rancangan My FM, Jane Hiew pula menegaskan, radio dan akhbar mempunyai daya kuasa untuk menggerakkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Sebelum dilancarkan lagi, kami sudah menerima beberapa panggilan daripada pendengar, termasuk dari Singapura, yang mahu hulurkan bantuan. Alangkah baiknya jika usaha seperti ini dapat diteruskan, supaya lebih ramai kanak-kanak dapat diselamatkan," kata Jane.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: