
JAKARTA - Sejumlah penunjuk perasaan membakar gambar Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan menuntut peletakan jawatannya semalam.
Penunjuk perasaan itu menganggap Susilo yang popular dengan panggilan SBY terlibat dalam satu siri skandal rasuah melibatkan kes Bank Century.
"Presiden dan Naib Presiden, Boediono sepatutnya meletakkan jawatan daripada posisi masing-masing kerana mereka tidak lagi profesional dan disyaki terlibat dalam kes Bank Century," kata seorang penunjuk perasaan di Makassar.
Dalam tunjuk perasaan itu, sejumlah pelajar membakar gambar Susilo.
Tunjuk perasaan turut diadakan di beberapa bahagian di Jakarta dan Bogor dengan laporan bahawa ratusan pelajar membuat sekatan di sebatang jalan raya dan membakar tayar.
Tunjuk perasaan itu melibatkan kes menyelamatkan Bank Century dan dakwaan berlakunya konspirasi di kalangan pegawai-pegawai kanan penguat kuasa untuk melumpuhkan satu agensi pencegahan rasuah.
Beberapa anggota parlimen menuntut satu siasatan dilakukan berhubung pakej menyelamat sebanyak AS$704 juta (RM2.8 bilion) ke atas Bank Century pada tahun lalu.
Pakej itu didapati turut menyelamatkan akaun beberapa penyokong politik yang rapat dengan Susilo.
Ketua Audit Indonesia, Hadi Poernomo yang mengeluarkan laporan itu kelmarin menyatakan terdapat petunjuk kuat berlakunya pelanggaran peraturan dan mencadangkan satu siasatan penuh dilakukan.
Namun, Susilo menyambut baik siasatan penuh itu.
Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) yang menjadi pembangkang dan diketuai oleh bekas Presiden, Megawati Sukarnoputri telah memberi amaran bahawa satu siri rusuhan sosial akan berlaku akibat dakwaan tersebut.
"Wujudnya kebimbangan bahawa akan terdapat perasaan tidak puas hati orang awam yang mungkin menyebabkan perhimpunan menentang presiden," kata seorang ahli parlimen daripada parti itu, Aria Bima.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: