ORANG lain yang bercerai, orang lain pula yang terima tempiasnya. Itulah yang terjadi kepada pelakon jelita yang semakin meningkat naik Eira Syazira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi, 25.
Dalam diam, tiba-tiba namanya terus berada di carta wanita perampas suami orang gara-gara dia dituduh sebagai punca utama penceraian pelakon Wan Sharmila Wan Muhamad dengan suaminya Fazli Bahrom seorang penerbit syarikat produksi Radius One.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu terkejut apabila dia dikatakan orang ketiga yang merampas suami kepada rakannya sendiri sedangkan dia hanya tahu penceraian Wan Sharmila melalui laporan akhbar.
"Saya terkejut sebab ramai yang bertanyakan hal yang sama kepada saya. Saya pelik kenapa nama saya tiba-tiba dikaitkan dengan penceraian mereka. Tetapi ada kawan beritahu di Internet sudah tersebar luas kononnya sayalah punca utama mereka bercerai," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Skrin 2009 baru-baru ini.
Mungkin khabar angin kurang enak itu bertebaran kerana Eira pernah digosipkan bersama Fazli sebelum ini dan banyak berlakon di bawah produksi Radius One termasuk memegang watak utama dalam drama terbarunya Cinta Balqis yang tengah hangat disiarkan di TV3 yang juga terbitan produksi yang sama.
Meskipun Fazli pernah tampil dan menafikan wujudnya orang ketiga dalam keruntuhan rumah tangganya, namun semua itu belum cukup untuk menutup mulut-mulut orang yang tidak berhenti menuduh Eira sebagai puncanya.
"Saya mengaku memang saya sedih dan marah dengan orang yang buat cerita ini. Tetapi saya nak buat macam mana, kalau beribu kali saya cakap bukan saya puncanya orang masih tidak percaya.
"Sebagai seorang wanita dan apatah lagi rakan kepada Wan Sharmila saya tidak tergamak untuk melukakan hati wanita lain dan suami orang bukanlah pilihan saya.
"Mungkin kerana dulu ada gosip kononnya saya bercinta dengan seorang penerbit walhal mana ada. Saya masih solo," ujarnya dalam nada serius.
Tegas Eira lagi, dia berani bersumpah bahawa dia bukanlah orang ketiga yang dimaksudkan, malah dia turut bersedih dan tumpang simpati terhadap nasib yang menimpa rakannya itu.
"Saya boleh bersumpah, saya langsung tidak ada kena mengena dengan penceraian mereka. Memang saya banyak berlakon dengan produksi Radius One tetapi hubungan saya dan Fazli profesional tidak lebih sebagai artis dan penerbit," jelasnya.
Tegasnya lagi, jika ada pihak yang masih menuduhnya menjalinkan hubungan dengan bekas suami Wan Sharmila, Eira dengan berani meminta bukti ditunjukkan kepadanya.
"Saya pun tidak tahu nak kata apa. Saya tidak pernah keluar berdua atau pergi tonton wayang ke dengan Fazli. Kalau betul saya perampas pasti sudah lama gambar saya dikeluarkan," katanya.
Baik dengan Wan Sharmila
Meskipun orang menuduhnya sebagai perampas suami rakannya sendiri tetapi hubungannya dengan Wan Sharmila masih lagi baik seperti biasa. Itu, sebagai bukti bahawa dia bukanlah perampas seperti yang dihebohkan.
Malah, ketika di belakang tabir sebelum menjayakan pelancaran majlis Anugerah Skrin 2009 di Hotel Sunway Resort & Spa mereka masih lagi boleh berbual seperti biasa.
"Saya dan Wan pernah rapat sebab berlakon dalam drama Sindarella dan bila kami berjumpa di belakang tabir untuk menjayakan pelancaran Anugerah Skrin, kami masih berbual seperti biasa dan bertanya khabar.
"Sebenarnya sebelum ini ketika gosip kononya saya bercinta dengan penerbit keluar, kami selesaikan dengan baik kerana saya jenis yang suka bertanya terus. Wan pun faham dan tidak menyalahkan saya. Bila orang tuduh saya perampas pada saya cukuplah orang terdekat dan Wan yang tahu perkara sebenar," ucap Eira jujur.
Walaupun cerita itu tidak benar, Eira tetap berasa tertekan kerana dipandang serong oleh masyarakat sekelilingnya.
Kata Eira lagi, dia tidak biasa menjadi bahan gosip kerana namanya jarang termasuk dalam ruangan gosip. Bahkan, dia berharap kontroversi terbaru itu tidak akan mengganggu perkembangan kerjayanya sebagai seorang pelakon.
"Memang saya agak tertekan sebab orang yang tidak tahu cerita akan pandang serong kepada saya. Tetapi saya masuk dunia lakonan bukan kerana glamor tetapi kerana minat. Jadi saya ketepikan semua itu dan fokus pada kerjaya," luahnya.
Ditanya andai dia berjodoh dengan suami orang, Eira hanya tersenyum seraya berkata: "Tidak mahulah, kalau boleh minta di jauhkan. Bagi saya jika kita merampas hak orang suatu hari nanti perkara yang sama akan berlaku pada kita."
Eira sebagai Balqis
Berlakon dalam drama Cinta Balqis yang disiarkan di slot Akasia merupakan satu cabaran besar buat Eira kerana wataknya sebagai Balqis seorang gadis yang bekerja di ladang kelapa sawit.
Berlakon di samping suami pelakon Diana Rafar iaitu Zamarul Hisyam juga membuatkan Eira berasa kaget di samping pelakon-pelakon senior yang lain.
"Satu pengalaman yang berharga buat saya kerana pada awal cerita ini saya berlakon sebagai gadis kampung manakala pada pertengahan cerita pula kerja saya asyik menangis.
"Jalan ceritanya agak menyayat hati, tetapi alhamdulillah dengan tunjuk ajar pengarah Heykal Hanifah dan pelakon-pelakon lain saya dapat lakukan dengan baik," katanya.
Drama 44 episod itu telah mula ditayangkan di TV3 setiap 6.30 petang.
Sebelum berlalu pergi, ditanya pada Eira mungkinkah selepas ini dia serik untuk berlakon lagi di bawah produksi Radius One Eira berkata: "Saya tidak salah buat apa saya melarikan diri. Kalau saya buat begitu nampak macam saya pula yang bersalah. Selagi ada rezeki saya akan bekerja dengan mana-mana produksi termasuklah Radius One."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: