
Dengan memulakan adegan ala-ala drama popular Hollywood, Baywatch sebagai intro, Ahmad Idham selaku pengarah filem tersebut berjaya membuatkan penonton untuk terus menunggu adegan seterusnya.
Aksi lucu dan bersahaja lakonan ketiga-tiga anggota kumpulan Senario, Azlee, Wahid dan Mazlan mampu membuatkan sesiapa sahaja yang menonton filem ini ketawa tidak kering gusi dengan telatah mereka.
Kisah menerusi filem ini bermula apabila ketiga-tiga mereka dalam perjalanan ke Pulau Pangkor dengan menaiki feri. Kemudiannya mereka terserempak dengan tiga gadis jelita bernama Qasidah (Maria Farida), Hamidah (Nik Sayyidah) dan Zuraidah (Marsha) yang juga menuju ke destinasi yang sama. Pertemuan mereka itu sering menimbulkan pelbagai masalah dan sering kali bertengkar.
Ketika sampai di pulau tersebut, tanpa disedari, Azlee, Wahid dan Mazlan menetap di sebuah resort milik ayah kepada ketiga-tiga adik-beradik itu.
Sesuatu yang menarik mengenai filem yang bakal menemui penonton pada 19 November ini, Idham bijak mewarnai watak ketiga-tiga heroin filem ini dengan latar belakang yang berbeza. Mereka adalah anak daripada ayah yang sama tetapi ibu berlainan. Gabungan pelakon lama yang berpengalaman seperti Maria Farida dan pelakon baru seperti Marsha merupakan antara faktor kekuatan filem komedi ini.
Qasidah merupakan anak kacukan Melayu - Inggeris manakala Hamidah merupakan anak kacukan Melayu Kelantan - Thailand sementara Zuraidah pula adalah anak kacukan Melayu – Sabahan. Ketiga-tiga mereka menggalas karakter mereka sebaik mungkin. Lakonan selamba Nik Sayyidah juga begitu menonjol dan amat mencuit hati.
Cuma, watak yang digalas Mazlan agak membosankan apabila lawaknya seakan-akan dirancang dan masih bermodalkan cara lama iaitu bunyi ‘trumpet’nya.
Ketika majlis pratonton filem tersebut yang berlangsung di Cathay Cineplex, The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini, selaku penerbit, David mengharapkan pulangan yang diperoleh apabila filem ini menjengah pawagam 19 November ini mampu mengulangi kutipan box office yang dipungut seperti sebelum ini.
“Ia satu tanggungjawab yang besar untuk dipikul apabila filem sebelum ini mencecah kutipan yang tinggi. Sudah semestinya momentum yang sama diperlukan agar boleh mencapai sasaran. Filem ini perlu bersaing dengan filem luar yang agak hebat terutamanya 2012 dan ditambah pula dengan keadaan ekonomi tidak stabil,” jelas pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) itu.
Tambahnya lagi, kumpulan Senario sebelum ini telah menandatangani kontrak bersama MIG untuk berlakon dalam trilogi filem tersebut. Ini bermakna, setelah dua filem diterbitkan termasuk STME2, hanya tinggal satu sahaja lagi filem yang bakal diterbitkan oleh MIG. Namun, menurut David, sekiranya mereka mendapat maklum balas yang baik, kemungkinan untuk terus bekerjasama akan dipertimbangkan.
Walaupun momentum filem ini agak sederhana berbanding STME1, namun filem ini tetap sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. STME2 bakal ditayangkan pada 19 November 2009, esok (Khamis) di seluruh pawagam tanah air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: