Wednesday, November 18, 2009

Ika tidak kisah sering bawa watak gadis nakal

Impiannya untuk bergelar penyanyi seakan tercapai apabila berjaya tersenarai antara finalis Akademi Fantasia (AF) musim keenam. Seperti peserta lain, cita-cita untuk mara ke pentas akhir program realiti itu memang diidamkannya. Namun, rezeki gadis kecil molek, Ika Nabila, 20, hanya sekadar hingga minggu kedua apabila tersingkir.

Bagaimanapun, rezeki dalam bidang lakonan lebih berpihak kepadanya. Sehingga kini, lebih daripada 10 drama telah dibintanginya termasuk Suara Dari Kubur, Cinta Zahnita, Awan Dania dan banyak lagi. Terbaru, drama bersiri lakonannya sedang disiarkan di saluran Astro Ria berjudul Kau dan Aku bergandingan dengan bekas peserta AF yang lain seperti Mila, Aril, Akim dan juga Nonie.

“Sebenarnya, Ika memang meminati kedua-dua bidang seni ini. Cuma sekarang ini, rezeki saya dalam bidang lakonan lebih memberangsangkan. Tapi, saya masih lagi menerima tawaran untuk menjayakan beberapa persembahan pentas.

“Disebabkan rezeki dalam dunia lakonan murah, Ika ingin fokuskan dahulu terhadap bidang ini. Nanti kalau ada masa dan peluang, Ika ingin juga nak rakamkan lagu. Kalau tak dapat album penuh pun, album mini pun jadilah,” jelas Ika yang telah pun tampil dengan single duet bersama seorang lagi bekas peserta AF6, Alif berjudul Tiada Rasa.

Menurut Ika, baru-baru ini beliau pernah ditawarkan peluang untuk berlakon di layar perak. Namun, ianya hanya tawaran lisan dan belum menandatangani apa-apa perjanjian.

“Ika rasa cukup gembira apabila ada orang yang nampak bakat Ika walaupun Ika ini kecil orangnya. Pasal tawaran ini, Ika tak boleh nak beritahu secara terperinci memandangkan Ika belum menandatangani apa-apa kontrak,” jelas Ika yang sebelum ini telah pun selesai membintangi sebuah filem patriotik, Pahlawan Mat Kilau.

Jelas gadis yang berasal dari Pulau Pinang ini, penglibatannya dalam bidang lakonan sebenarnya adalah untuk memberitahu kepada umum bahawa dirinya masih lagi terlibat dalam industri seni ini.

Disebabkan Ika sering diberi peranan sebagai gadis nakal dan gedik dalam kebanyakan drama yang dibintanginya, ramai yang beranggapan diri Ika di luar set penggambaran adalah sama.

“Ika tak mahu nak demand sangat kerana masih baru. Apa yang ditawarkan Ika terima. Mungkin sikap Ika yang lincah membuatkan pengarah rasa Ika sesuai pegang watak sebegitu.

“Tetapi diri Ika di luar set tidaklah sama seperti dalam drama. Ika memang ada bersosial dengan kawan-lawan tapi ada batasnya. Ika hanya keluar minum, tengok wayang atau membeli belah sahaja dan kadang-kadang pergi berkelah,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: