Sunday, November 8, 2009

Saya bukan penipu!


GEMPAR apabila komposer yang juga bekas anggota kumpulan V.E, Damian Mikail Seet, 31, dikatakan memalsukan pernikahannya sehingga jadi perhatian ramai, khususnya peminat yang mengetahui jejaka kacukan Cina - India ini sepatutnya menamatkan zaman bujangnya 1 Syawal lalu.

Ditambah lagi dengan kenyataan jejaka yang memeluk agama Islam, 19 Mac lalu menerusi status di laman sosial Facebook, menunjukkannya seolah-olah sudah berkahwin dengan gadis pilihannya, Nadia Dayana.

Namun, desas-desus mengatakan yang Damian sebenarnya belum bernikah sememangnya benar apabila bapa Nadia tampil dalam Melodi TV3 menafikan mengetahui hubungan anaknya dengan Damian.

Pelbagai tuduhan dilempar terhadap Damian dan keluarga, menyebabkan jejaka itu dan bapanya yang juga mualaf, Nur Firdaus Seet tampil minggu berikutnya dalam Melodi menepis dakwaan bapa gadis itu.

Bukan itu saja, Damian terpaksa berhadapan dengan cacian masyarakat yang menganggapnya menipu orang ramai dan ‘penakut’ kerana membabitkan bapa sendiri dalam pergolakan itu.

Selebriti sempat menyelami hati Damian yang masih berduka apatah lagi pelbagai persediaan perkahwinan siap dilaksanakan namun permata hati gagal dimilikinya.

SELEBRITI (S): Apa status sebenar Damian, suami orang atau masih bujang?

Damian (D):
Saya masih belum bernikah disebabkan perkara tertentu yang membabitkan keluarga perempuan.

S: Apa yang menyebabkan majlis pernikahan itu dibatalkan?

D:
Sebenarnya Nadia ada masalah dengan keluarganya, tetapi dia tidak beritahu saya. Dia balik ke rumah untuk menyelesaikan masalah itu, tetapi saya tidak menyangka lain pula yang terjadi dan pernikahan terpaksa dibatalkan. Malah, Nadia menyatakan yang ayahnya sakit ketika itu.
S: Bapa Nadia mendakwa tidak tahu menahu hubungan antara Damian dengan anaknya. Bagaimana boleh timbul soal pernikahan jika tidak dimaklumkan kepada wali (bapa Nadia)?

D: Yang saya tahu ketika itu, saya mahu berkahwin. Saya ini mualaf dan tidak berapa pasti adat resam Melayu. Saya buat segala persediaan atas dasar cinta dan percaya kepadanya. Oleh kerana saya nak berkahwin, saya ikut saja dan buat apa yang disuruh seperti menyediakan hantaran dan sebagainya. Saya bukan Melayu, jadi saya kurang faham adat Melayu.


S: Mengapa Damian tidak berjumpa terus dengan keluarganya dan masuk meminang?

D:
Kami sekeluarga difahamkan yang keluarganya moden. Atas dasar percaya, kami ikut apa saja kata Nadia. Kalau tak percaya, saya ada bukti.

S: Jadi kenapa Damian banyak mendiamkan diri dan tidak tampil memberi kenyataan sebaliknya meminta ayah untuk bersuara?

D:
Ada banyak beza antara berdiam diri dengan melarikan diri. Saya tak lari, tapi saya diam kerana saya yakin berada di pihak yang benar. Kami mengambil keputusan untuk tampil di Melodi untuk menjawab kenyataan yang mengatakan saya penipu dan terbabit dalam perbuatan sihir. Saya tak percaya perkara syirik, kalau saya percaya ilmu hitam kenapa saya peluk agama Islam. Lagipun buat apa saya nak lari, saya berniat baik dan nak dirikan masjid. Lagipun, sebelum itu ayahnya yang beri kenyataan jadi saya rasa lebih baik ayah saya pula memberi kenyataan balas.

S: Kalau Damian belum bernikah, kenapa buat kenyataan di Facebook seolah-olah Damian sudah bernikah?

D:
Saya sebenarnya nak tengok apa tindakan orang yang dengkikan hubungan kami lakukan. Saya percaya kejadian ini berpunca daripada orang yang bencikan saya dan tidak suka perhubungan saya dengan Nadia. Keluarga saya berpendapat, ada pihak ketiga yang tak puas hati dengan saya dan menghasut bapa Nadia agar tidak sukakan saya. Apabila bapa Nadia kata tidak tahu fasal perkahwinan, saya terkejut kerana kami sekeluarga difahamkan oleh Nadia yang keluarga sudah tahu.

S: Kenapa Damian begitu pasti ada orang ketiga yang mengeruhkan keadaan?

D:
Saya ada kenal orang yang dahulunya kawan saya tetapi sekarang tidak puas hati kerana dia pernah sukakan Nadia. Dia bukan beragama Islam, jadi dia ambil kesempatan dalam keadaan ini untuk malukan saya dan Nadia. Dia mula korek cerita sana sini untuk tunjukkan yang saya jahat. Malah, semakin ramai yang cuba menangguk di air keruh untuk memburuk-burukkan saya apabila perkara ini terjadi. Saya tidak hairan kalau mereka menjadi dalang di sebalik kejadian ini.

S: Apakah Damian yakin yang masalah ini langsung tidak berpunca daripada diri Damian sendiri?

D:
Saya faham kalau ada yang nilai sifat lama saya sebelum memeluk Islam. Saya akui dulu saya nakal, tetapi berilah peluang kepada saya kerana sekarang saya Damian yang baru. Saya tidak pernah sentuh arak sejak memeluk Islam, dan saya sudah lima bulan berhenti merokok. Saya benar-benar berubah, jadi jangan nilai saya yang dulu. Saya tak boleh paksa ayah Nadia untuk membenarkan kami berkahwin, tetapi saya nak berkahwin kerana perkahwinan digalakkan dalam Islam. Lainlah kalau saya ada rekod jenayah, berkelakuan jahat dan tidak beragama Islam. Tak ada sebab kenapa tidak benarkan kami berkahwin kerana kami menyayangi antara satu sama lain. Lagipun kalau saya jahat sangat, lebih saya bawa lari Nadia ke Thailand dan berkahwin. Tetapi saya bukan jenis macam itu. Saya juga ada adik, saya faham perasaan keluarga.

S: Benarkah dakwaan yang menyatakan Damian dan Nadia tinggal serumah selama lebih setahun, malah membela anjing di rumah walaupun selepas memeluk agama Islam?

D:
Dakwaan itu tidak betul sama sekali, Nadia tinggal dengan rakannya kerana ingin belajar berdikari. Dia mahu bekerja sambil belajar dan tidak mahu bergantung kepada keluarga semata-mata sejak setahun lalu. Isu membela anjing saya rasa bukan soal besar kerana saya tahu bagaimana cara membelanya sebagai seorang Islam. Saya bela anjing itu sejak saya belum beragama Islam, takkan selepas memeluk Islam saya mesti tinggalkan di tepi jalan? Saya tidak bawa masuk ke rumah, sebaliknya diletakkan dalam kandang di belakang rumah. Kalau saya pegangnya sekalipun, bukannya saya tidak boleh samak kembali.

S: Banyakkah persediaan perkahwinan yang Damian sediakan? Adakah Damian rela menanggung kerugian yang banyak lantaran pembatalan pernikahan itu?

D:
Kalau diikutkan memang banyak, tetapi saya tak kisah semua itu. Saya akui menangis pada hari kejadian apabila melihat ibu saya menitiskan air mata kerana terlalu sedih. Keluarga saya datang dari Australia semata-mata nak tengok hari bahagia saya, namun perkara sebegitu pula terjadi. Segala-galanya sudah siap ditempah, termasuk tempahan hotel, pakaian oleh pereka Bon Zainal dan hantaran oleh Wan Huzairil. Malah saya sudah sediakan sebuah rumah untuk saya dan bakal isteri tinggal bersama.

S: Takkan tidak ada jalan penyelesaian, seperti berbincang dan sebagainya?

D:
Saya cuba hubungi bapa Nadia berulang kali, tetapi tidak berjawab. Apabila saya hantar SMS untuk berjumpanya, saya dikatakan mengugut sebaliknya terus ke Melodi memberi kenyataan. Sebenarnya saya dan bapa tidak marah kerana faham situasinya, cuma kami takut orang salah faham. Bagi saya jika ada jodoh takkan ke mana. Kami berniat baik dan tak mahu memalukan mana-mana pihak. Dalam Islam tak boleh simpan dendam. Cuma saya terfikir, kalau anaknya nak kahwin, dia kena fikir apa yang anak dia betul-betul mahukan. Ini bukan zaman 50-an yang mana jodoh ditentukan orang tua. Lagipun saya fikir anaknya cukup matang untuk buat keputusan. Nadia gadis baik, saya sangat sayangkannya. Tetapi saya reda dengan ketentuan Allah, saya hanya buat yang terbaik.

S: Selepas kejadian ini, adakah Damian akan berubah hati dan mengalihkan rasa terhadap gadis lain?

D:
Ketika usia saya menginjak 31 tahun, saya sudah berjanji untuk tamatkan zaman bujang. Nadia banyak memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi lelaki yang baik. Sebetulnya saya sudah lama berniat untuk memeluk Islam, tetapi dek sifat nakal saya dulu saya rasa tak mampu memikul beban yang bakal saya hadapi. Apabila bertemu dengan Nadia, saya tahu apa saya mahukan dan membuatkan saya lebih bersedia. Jika seseorang itu terima saya dengan rela hati, dialah calon yang betul. Sebagai lelaki, saya takkan tarik balik kata-kata saya. Walaupun sedih, saya tetap sayang dia dan saya berjanji untuk menerima baik dan buruknya. Pada saya, semua orang buat kesilapan. Lagipun selama ini Nadia banyak memberi tunjuk ajar dan mengirimkan doa untuk saya amalkan setiap hari. Ketika saya mengucap dua kalimah syahadah pun, Nadia ada bersama saya. Ustaz yang mengislamkan saya turut memberitahu Nadia yang dia buat banyak pahala kerana berjaya ‘menyelamatkan’ saya.

S: Ada berhubung dengan Nadia selepas peristiwa itu?

D:
Nadia tak dibenarkan sama sekali berhubung dengan saya, cuma dia ada beritahu kepada rakan-rakannya agar menyampaikan pesan supaya saya banyak bersabar dan berdoa agar semuanya selesai secepat mungkin. Dia suruh saya solat dan menyatakan rasa rindunya terhadap saya.

S: Apakah Damian berasa serik apabila mengalami kejadian seperti ini?

D:
Saya anggap ini cabaran sebagai saudara baru. Ini menunjukkan Allah membantu saya untuk memilih siapa kawan dan siapa bukan. Saya minta maaf kepada semua orang yang tersinggung dengan perbuatan saya. Apa yang pasti, kebenaran akan terpampang dan harap benar dapat memperisterikan gadis pilihan saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: