
KUALA LUMPUR - Pusat Matrade yang akan dibangunkan dengan kos RM628 juta di Jalan Duta di sini oleh Naza TTDI Sdn. Bhd. (Naza TTDI) akan menjadi ikon terbaru Kuala Lumpur selain bakal muncul sebagai pusat pameran dan konvensyen terbesar di negara ini.
Menurut Pengerusi Naza TTDI, SM Nasarudin SM Nasimuddin, terletak di tanah seluas 5.3 hektar dengan keluasan lantai 92,903 meter persegi, Pusat Matrade akan meningkatkan profil bandar raya ini dengan menawarkan sebuah lokasi pameran lengkap yang bertaraf dunia.
"Pusat Matrade, selain mempunyai tiga tingkat ruang pameran dengan 12 dewan pameran akan turut menempatkan sebuah dewan serbaguna, dewan pleno, bilik mesyuarat dan kawasan pameran.
"Pusat ini akan mempunyai ruang tanpa tiang yang besar dan mampu memenuhi keperluan pelbagai bentuk pameran bersaiz besar," kata SM Nasarudin pada majlis menandatangani persetujuan penswastaan pusat pameran tersebut antara kerajaan Malaysia dan Naza TTDI di sini semalam.
Persetujuan itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Abdul Rahman Mamat dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri MITI, Datuk Mustapa Mohamed dan dua Timbalan Menteri MITI, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Jacob Dungau Sagan serta Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Tan Sri Halim Mohammad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: