
KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan melancar perkhidmatan perbankan Internet, myBSN.com.my pada suku pertama tahun depan.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan menerusi laman itu ialah pembayaran bil dalam talian; pembelian tambah nilai telefon mudah alih; pemindahan dana; pembelian Sijil Simpanan Premium; pembelian pin serta aplikasi dalam talian bagi aktiviti deposit dan kad kredit.
Pengurus Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning berkata, perkhidmatan itu sebahagian daripada usaha bagi memberikan perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggan.
"Sebagai bank komuniti yang memberikan keutamaan kepada kepuasan pelanggan, kami mahu semua pelanggan terutama mereka di kawasan luar bandar dapat menikmati saluran alternatif ini.
"Pengenalan myBSN.com.my ini sejajar dengan harapan kami memberikan perkhidmatan lebih baik kepada 7.5 juta pelanggan BSN di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan perbankan Internet bersama Pengarah Urusan E-Perniagaan Cyber Village Sdn. Bhd. (Cyber Village), Sua Shii Huey di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: