Friday, November 6, 2009

Proses tukar kelambu Kaabah dalam Khabar Haji


TIDAK ramai masyarakat Islam sedunia berpeluang menyaksikan detik berharga proses penukaran kelambu Kaabah yang dilakukan ketika berjuta jemaah haji sedang menunaikan rukun haji di Mina.

Detik berharga ini bakal menjadi sejarah buat saluran Astro Oasis apabila tahun ini penghargaan diberikan kerajaan Arab Saudi kepada produksi Khabar Haji untuk merakam saat indah itu.

Bermula dari proses awal hingga akhir, ia bakal disiarkan menerusi program berita semasa Khabar Haji yang akan memulakan siarannya pada 7 November ini dan lebih menarik ia boleh ditontoni lebih 300 juta penduduk Islam sedunia di dalam bahasa Melayu.


Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, penghargaan yang diberikan kerajaan Arab Saudi adalah satu kejayaan besar buat saluran itu sepanjang dua tahun dilancarkan.

“Kita sangat bertuah kerana mendapat kebenaran untuk merakam detik berharga itu. Seperti kita sedia maklum, kelambu Kaabah akan digantikan setiap tahun ketika musim haji apabila semua jemaah tiada di Kota Makkah kerana menunaikan rukun haji di Mina.

“Kesempatan inilah yang diambil kerajaan Arab Saudi untuk menggantikan kelambu Kaabah. Kita akan menepatkan dua orang kru produksi untuk merakam detik itu dan akan disiarkan seluruh dunia sehari sebelum Aidiladha.

“Apa yang kita bakal tunjukkan adalah penggunaan teknologi yang digunakan ketika proses menukar kelambu Kaabah itu. Saya juga percaya memang tidak ramai masyarakat Islam dunia pernah melihat proses ini,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program Khabar Haji baru-baru ini.

Selain itu juga, Oasis turut bekerjasama dengan Iqraa TV milik kerajaan Arab Saudi untuk menyiarkan segala berita terkini mengenai jemaah haji sepanjang musim haji ini.

“Segala berita terkini mengenai 26,000 jemaah haji dari Malaysia mahupun jemaah seluruh dunia akan disiarkan menerusi Oasis setiap hari bermula jam 9 malam bermula 7 hingga 30 November ini. Berita sama akan diulang siar dua kali pada jam 8 pagi dan 2 petang dalam tempoh 24 jam.

“Menariknya kita akan menyiarkan berita ini di dalam bahasa Melayu yang boleh ditonton 300 juta umat Islam seluruh dunia. Bersama dua penyampai kita iaitu Nazri Kahar dan Kamarul Ariffin Munajat akan bertugas di sana melaporkan berita dari perspektif yang lebih mendalam,” katanya yang menghantar 10 kru untuk bertugas sepanjang musim haji ini.

Sementara itu, sempena sambutan ulang tahun Oasis yang kedua 15 Oktober lalu, mereka turut mengadakan peraduan kempen haji Selangkah Pengabadian.

Peraduan yang menyediakan hadiah paling istimewa iaitu peluang seumur hidup berupa empat pakej menunaikan haji pada 2010 bernilai RM30,000 setiap seorang.

Pelanggan hanya perlu menonton dan memberi tiga nama program berkaitan ibadah haji yang disiarkan menerusi saluran Oasis bermula 5 Oktober lalu berserta slogan, “Saya berhajat menunaikan haji bersama Astro Life dan Astro Oasis kerana...(tidak melebihi 150 patah perkataan).

Semua penyertaan boleh dihantar ke Peraduan Astro Life & Astro Oasis, Bahagian Pemasaran, Tingkat 3, Pusat Penyiaran Asia, Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, 57000 Kuala Lumpur.

Penyertaan juga harus disertakan butir peribadi seperti nama penuh dan nombor akaun Astro. Penyertaan harus sampai pada atau sebelum 30 November ini. Untuk keterangan lanjut boleh melayari laman web, www.astro.com.my/khabarhaji.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: