
LIMA lagi peserta tersingkir pada minggu keempat program realiti Penyampai Ikon yang mencari bakat-bakat baru dalam dunia penyiaran.
Mereka yang tersingkir ialah Siti Fazurita Mohd. Famir, 25; Cassandra Manja, 23; Athikah Mohd. Naim, 23; Nur 'Izzati Abul 'As, 22 dan Enzyfrido Abu Hasan, 24.
Mereka disingkir selepas gagal menunjukkan prestasi yang memuaskan dalam penyampaian berita, disiplin penyampaian, keyakinan diri, etika di hadapan kamera, penampilan dan juga keterampilan diri.
Selain itu laporan di lokasi yang merangkumi gaya penulisan dan kandungan laporan serta gaya lapor berdiri (stand upper) turut dinilai juri profesional.
Meskipun sudah masuk minggu keempat program Penyampai Ikon namun, prestasi hampir keseluruhan peserta agak mengecewakan apabila kurang serius terhadap tugasan yang perlu dilaksanakan.
Mengambil contoh tugasan di lokasi, yang dijalankan di Melaka, ramai peserta mengambil jalan mudah melaporkan berita dalam durasi yang agak panjang mengenai sejarah negeri Melaka.
Bahkan, ramai peserta gagal mengesan elemen-elemen baru tentang keunikan Melaka yang harus diketengahkan selain nilai sejarah serta sebagai pusat pelancongan.
Walaupun ada antara mereka yang mampu mencari bahan berita terkini dan isu kemanusiaan, malangnya, ia tidak diperkukuhkan dengan gaya bahasa yang indah, teratur serta visual menarik.
Memburukkan keadaan walaupun sudah berkali-kali ditegur dan diajar di dalam kelas, kebanyakan mereka masih terlalu bergantung harap kepada buku nota semasa melakukan gaya lapor berdiri.
Dilihat melanggar etika, ada kalangan peserta yang bertindak membaca dan merujuk nota berkali-kali ketika melaporkan berita di hadapan kamera. Malah, ramai peserta gagal melantunkan emosi mengikut nilai berita yang dilaporkan.

Melahirkan rasa kecewa terhadap prestasi anak didik yang bernaung di bawahnya, Pengetua Kolej Penyampai Ikon, Yusanani Yushak berkata, beliau agak kecewa kerana peserta sudah berada di dalam kolej selama dua bulan.
"Bukan tempoh masa yang singkat tetapi ada di kalangan mereka yang masih tidak serius. Paling memalukan adalah apabila ada yang membaca buku nota ketika stand upper.
"Kita sudah panggil orang yang hebat-hebat untuk mengajar mereka. Apa yang diajar dan dibincangkan di dalam kelas, tidak ramai yang praktikkan dan hilang fokus sewaktu di hadapan kamera," katanya ketika ditemui pada malam minggu keempat Penyampai Ikon di Auditorium Perdana, Angkasapuri baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Yusanani berkata, walaupun ada kelemahan, ada juga peserta yang dilihat pantas dalam mengaplikasikan apa yang dipelajari sewaktu diberikan tugasan.
"Bukan itu sahaja kebolehan menghidu sesuatu berita dan gaya laporan berita yang baik diambil kira tetapi disiplin juga termasuk dalam jumlah markah peserta.
"Ada juga yang ponteng kelas dan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Semuanya itu akan memberi kesan terhadap penilaian lain," katanya.
Sementara itu, pada minggu keempat tiga peserta yang diumumkan berada di tiga tempat tangga teratas telah memenangi wang tunai RM300 berserta empat buku ilmiah berkaitan kenegaraan tulisan Datuk Chamil Wariya.
Memperlihatkan prestasi yang konsisten, peserta yang layak menerima hadiah tersebut ialah Aina Suzaily, Khairul Faizi dan Mohamed Shahril.
Lima peserta tersingkir pada minggu keempat menyaksikan tinggal sembilan lagi peserta akan berentap pada minggu seterusnya.
Peserta tersebut adalah Hazel Anak Desmond, 26; Beatrice Krishnan, 23; Al Firdaus Shahrul Naing, 21; Khirjaa a/p Palanisamy, 27 dan Khairul Faizi Dalaiil, 23.

Selain itu, Kamal Firmanshah Kamaluddin, 25; Siti Aisyah Baslie, 24; Aina Suzaily M. Zailanny, 20; serta Mohamed Shahril Sarapudin, 21 turut meneruskan persaingan.
Bagaimanapun hanya lima peserta yang bakal beraksi di pentas akhir pada Malam Anugerah Penyampai Ikon yang akan diadakan 14 November ini.
Tidak seperti program realiti lain, program Penyampai Ikon yang bersiaran setiap Sabtu di TV2 pada pukul 9 malam itu menggunakan 100 peratus kuasa pihak juri profesional bagi menentukan peserta yang tersingkir.
Pihak juri terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya; Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: