
TRIPOLI - Seorang lelaki Libya, Abdelbaset Al Megrahi yang didakwa mengebom pesawat di Scotland pada 1998, masih lagi hidup walaupun sekumpulan doktor mengesahkan dia hanya mampu hidup tiga bulan.
Sebuah akhbar semalam melaporkan, bekas perisik Libya berusia 57 tahun itu dibebaskan pada Ogos lalu atas faktor kesihatan selepas pakar perubatan mendapati barah prostat yang dialaminya sudah memasuki peringkat akhir.
Namun, setelah genap tiga bulan pada minggu lalu, keluarga Abdelbaset melaporkan lelaki itu masih belum meninggal dunia malah dia kini sibuk membersihkan rumahnya.
Abdelbaset ujar mereka, terus hidup hasil 'keajaiban' daripada Tuhan. Pendedahan itu mengejutkan keluarga 270 mangsa pengeboman pesawat Pan Am.
Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 31 Januari 2001 kerana dipercayai merancang serangan terburuk terhadap penerbangan 103 milik Amerika Syarikat di Lockerbie, Scotland pada 21 Disember 1998.
Pembebasan Abdelbaset mendapat kritikan keluarga mangsa yang percaya ia dibuat atas sebab politik dan perjanjian minyak Britain-Libya serta tiada kena mengena dengan faktor kesihatan.
"Keputusan membebaskan Abdelbaset menunjukkan kerajaan mempersendakan keadilan," kata seorang wanita, Susan Cohen yang kehilangan seorang anak perempuan dalam tragedi itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: