Monday, November 16, 2009

Parti eksklusif tepian pantai


BUNKFACE tampil santai di atas pentas hanya berkaki ayam mendendangkan lagu-lagu popular mereka.


EKSKLUSIF dan lebih mesra peminat. Itulah yang dapat disimpulkan pada Parti Xklusif One Drop Perfumes bersama XFM yang berlangsung di Impiana Cherating Resort, minggu lalu.

Hanya 200 peminat bertuah yang memenangi jemputan khas sahaja mengikuti parti eksklusif bersama enam band indie terkenal seperti Pop Shuvit, Hujan, Altimet, Pesawat, Bunkface dan Stonebay serta penyanyi solo wanita yang sedang meningkat naik, Ana Raffali.

Uniknya parti itu berlangsung dengan penuh santai dan meriah di tepian pantai dalam semilir angin Laut Cina Selatan.

Sebelum persembahan bermula peminat dan barisan artis terlebih dahulu dihidangkan dengan barbeku juga di tepi pantai dan persembahan daripada penyanyi Monoloque.

Selepas jarum jam menunjukkan tepat pukul 8.30 malam, persembahan dimulakan dengan band Pop Shuvit yang mendendangkan tiga buah lagu popular mereka iaitu Marabahaya, Oh! Sizuka dan Freakshow.

Menurut vokalisnya Moots, meskipun peminat yang hadir tidaklah ramai, mereka tidak kisah sebaliknya tetap memberikan persembahan yang cukup bertenaga.

"Ini sebuah parti eksklusif, jumlah peminat sedikit memudahkan kami beramah mesra dengan peminat yang hadir.

"Sebenarnya, kami tidak kisah berapa jumlah penonton yang berada di hadapan kami kerana sebelum dikenali kami pernah buat persembahan dalam jumlah penonton yang lebih kecil," ujarnya.


ANA satu-satunya puteri indie yang beraksi di Parti Xklusif One Drop Perfumes di Impiana Cherating Resort baru-baru ini.


Sejurus selepas itu, pentas dihangatkan dengan persembahan daripada band Pesawat yang memberikan persembahan cukup bertenaga dengan empat buah lagu mereka Mirage, Terbang, Rasional Emosional dan Excuse Me, meskipun pada pukul 6 petang sebelum itu mereka mempunyai persembahan pentas di Kuala Lumpur.

Kemudian, band Bunkface dengan berkaki ayam menghiburkan peminat dengan empat buah lagu iaitu lagu Silly Lily, Situasi, Revolusi dan Prom Queen.

Mungkin kerana lagu-lagu mereka popular di corong-corong radio, ramai penonton yang turut bertindak sebagai penyanyi latar tanpa dipinta.

Sejurus selepas itu, band yang menamakan diri mereka Stonebay pula mengambil alih pentas persembahan. Walaupun nama mereka agak kurang dikenali berbanding band yang lain namun, persembahan mereka tetap hebat.

Stonebay yang ditubuhkan pada tahun 2006 itu membawakan empat buahh lagu iaitu, Drama di Petang Hari, Si Murai Penipu, Paku Hiba dan Sangsi.

"Kami berbesar hati dapat membuat persembahan bersama band-band yang lain. Sebenarnya buat persembahan dengan jumlah penonton yang kecil dan pentas diletakkan di tepi pantai suasananya agak berbeza.

"Ia bukan sebuah konsert yang besar tetapi kami ditugaskan untuk menghiburkan setiap penonton yang hadir. Rasanya ia sebuah persembahan yang cukup santai dan setiap penonton bebas untuk melihat artis yang diminati secara dekat," ujar vokalisnya Ojie.

Sebaik sahaja Stonebay turun dari pentas, suasana tiba-tiba berubah apabila Altimet memanaskan suasana dengan barisan lagu cukup rancak.

Persembahan Altimet yang sarat dengan elemen ska, regge dan hip hop cukup memukau penonton ditambah kebijaksanaan Altimet berkomunikasi membuatkan persembahannya dirasakan cukup pantas.


TETAMU menjamu selera di tepi pantai.


Malam itu, Altimet membawakan lagu Dooit, Syukur, Chantek dan Yok Goyang dengan semua penonton dilihat menggoyangkan badan mereka mengikut irama yang dialunkan.

Suasana sedikit hiruk-pikuk selepas itu bukan kerana masalah sistem bunyi atau pun gangguan yang lain tetapi kerana band terakhir iaitu Hujan membuat persembahan.

Penonton yang sebelum itu berada dalam keadaan santai dan ada yang duduk agak jauh ddi belakang mula merapat ke pentas dan mengeluar kamera masing-masing untuk merakamkan aksi Hujan.

Ternyata Noh dan kawan-kawannya mempunyai pengaruh yang cukup besar. Meskipun mereka tidak menyanyikan semua lagu popular tetapi cukup dengan barisan lagu seperti Mencari Konklusi, Obsesi, Kau Harus Ada dan Sangkar Besi sudah membuatkan penonton hanyut bersama lahu-lagu dendangan vokalisnya Noh.

Sambutan luar biasa penonton ternyata bukan hanya kerana mereka band yang terakhir membuat persembahan tetapi juga dek sikap 'gila-gila' yang dimiliki vokalisnya yang mencuit hati penonton.

Selain persembahan daripada enam band dan penyanyi baru Ana Raffali, parti itu juga digunakan untuk melancarkan dua set terbaru One Drop Perfumes Youth Pack khas untuk remaja iaitu Chic set dan Dude set.


HUJAN antara band yang paling hangat malam itu.


Pengarah Urusan Kumpulan One Drop, Josafri Johari berkata, parti itu diadakan bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada pengguna One Drop Perfumes dan pendengar XFM tetapi juga sebagai lokasi yang cukup strategik untuk melancarkan dua set terbaru keluaran syarikatnya.

"Bila kami lancarkan produk baru, kami harus melihat sasaran pembeli dan mereka yang akan membeli dua set baru ini adalah remaja. Jadi dengan adanya parti seperti ini ia tidak secara langsung mendekatkan kumpulan sasaran dengan produk selain berhibur," ujarnya.

Dua set terbaru itu didatangkan dengan empat wangian yang berbeza dalam setiap kotak dan dijual pada harga RM25 dan RM27 (Sabah dan Sarawak).

Apa pun malam itu, semuanya berlangsung dengan aman, tiada pergaduhan ataupun istilah parti liar yang sering dilemparkan kepada parti yang diadakan di tepi pantai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: