Tuesday, November 10, 2009

Panduan untuk wakil rakyat - Penubuhan pasukan khas SPRM pantau penyelewengan


NAJIB menandatangani plak perasmian Mac3 selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ahli Majlis Pelaksanaan MSC di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya.


PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan pasukan khas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bagi memberi garis panduan yang jelas kepada semua Ahli Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) tentang apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan.

Perdana Menteri berkata, penubuhan pasukan itu juga bagi membolehkan SPRM mengetahui bentuk keperluan mereka sebagai wakil rakyat.

"Sebab sebagai Ahli Parlimen, mereka dituntut untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan tuntutan rakyat seperti bayaran sekolah, bayaran kesihatan, kenduri-kendara, masalah kesihatan dan pelbagai lagi.

"Tuntutan seperti ini menjadikan mereka terpaksa kadang-kadang melihat bagaimana peruntukan kerajaan boleh digunakan atau tidak boleh digunakan. Ini adalah sesuatu yang perlu diperjelaskan oleh SPRM kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan pasukan khas SPRM itu bagi memantau dan mengatasi kegiatan penyelewengan peruntukan Ahli Parlimen dan ADUN daripada terus berlaku.

Pasukan khas itu yang dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM akan menjalankan kajian menyeluruh berhubung peraturan, sistem, prosedur serta kawalan dalaman dalam perbelanjaan peruntukan wakil rakyat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: