
SHANGHAI - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memuji penguasaan bahasa Inggeris sekumpulan pelajar tempatan yang bertutur menggunakan bahasa itu dengan baik semasa mengemukakan soalan kepadanya dalam satu dialog di Muzium Sains dan Teknologi di sini semalam.
Kebanyakan pelajar bertanya soalan dalam bahasa Inggeris berhubung pandangan Obama mengenai penapisan di Internet, kepimpinan global dan isu di Taiwan.
Obama memberi jawapan dalam bahasa Inggeris yang kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Cina oleh seorang jurubahasa.
Presiden AS itu memulakan ucapan dengan menggunakan bahasa Cina.
"Saya meminta maaf kerana bahasa Cina saya tidak sebaik bahasa Inggeris anda.
"Namun, saya mengambil peluang ini untuk berdialog dengan anda," katanya.
Obama kemudian berkata, dia tidak menghalang kebangkitan China.
"Sebaliknya, kami mengalu-alukan China sebagai sebuah anggota komuniti dan negara yang kuat, makmur dan berjaya," tambahnya.
Presiden AS itu turut menyentuh mengenai kebebasan maklumat dan penyertaan politik untuk setiap etnik dan penganut agama minoriti.
"Saya merupakan penyokong kuat supaya Internet tidak disekat," tambahnya.
Obama turut membuat kejutan dengan menyatakan dia tidak pernah menggunakan laman sosial Twitter yang amat popular di kalangan golongan muda dan selebriti AS.
"Saya tidak pernah menggunakan Twitter. Saya perasan ramai remaja sibuk menggunakan semua peralatan elektronik, mereka asyik bercakap dengan jari," kata Obama sambil bergurau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: