GARA-GARA terikat dengan raptai separuh akhir Muzik-Muzik bahagian 1 baru-baru ini, penyanyi veteran Noraniza Idris gagal menepati masa untuk menjayakan persembahan di program Gadis Melayu musim kedua peringkat akhir pada sebelah malamnya.
Disebabkan terlambat menyudahkan sesi latihan itu, Noraniza atau mesra dengan panggilan Kak Ani tersekat dalam kesesakan lalu lintas sehingga tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur sejurus selepas persembahan ‘Dikir Puteri’ yang sepatutnya dinyanyikan olehnya selesai dipersembahkan untuk pembuka malam itu.
Perkara pun telah berlaku, Noraniza yang mengakui kesalahannya itu telah pun memohon maaf dengan pihak TV9 termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Datuk Seri Farid Ridzuan, yang turut hadir menyaksikan majlis itu.
“Dalam 24 tahun saya bekerja sebagai artis, inilah pertama kali saya tak sempat buat persembahan.
“Saya dah minta maaf dengan pihak TV9 dan krew produksi Gadis Melayu.
“Pada mulanya memang kami dah rancang untuk membuat latihan dengan teratur tetapi tiba-tiba saya ‘clash’ pula dengan latihan separuh akhir Muzik-Muzik ini.
“Waktu berlaku memang singkat, giliran saya untuk Muzik-Muzik di Plaza Alam Sentral, Shah Alam selepas pukul 6.30 petang sedangkan pada sebelah malamnya saya perlu buat persembahan pembuka pada pukul 9 malam itu di DBP.
“Saya dah dapat rasakan akan ada kekacauan masa untuk bergerak dari Muzik-Muzik ke Gadis Melayu,” ujarnya yang gagal membawa lagu ‘Enjut’ menduduki ‘top 5’, antara lagu yang dijangka akan ke AJL 24 setakat ini.
Bagaimanapun, Noraniza tidak menyalahkan sesiapa dalam hal itu termasuk ahli kumpulannya mahupun pekerjanya sendiri.
“Saya yang terlalu fokus dengan jadual yang diatur tetapi tidak fikirkan apa yang akan berlaku selepas itu.
“Saya sepatutnya sudah berada di pentas ada pukul 8.30 malam itu tetapi sebaliknya saya berada di depan DBP kerana Jalan Loke Yew sesak.
“Saya terus telefon penerbit dan beritahu tak sempat sampai tetapi tidak berjawab mungkin sebab sibuk.
“Apabila sampai, terus saya berjumpa dengan semua krew dan mereka kata masalah selesai setelah ‘cover’ dengan penari,” jawab Noraniza penuh tersusun.
Di riak wajahnya, jelas terpancar perasaan kesal memandangkan dia membuatkan majlis itu ‘kecoh’ dan sedikit ‘cacat’ disebabkan dirinya.
Noraniza berkata dia tetap bertanggungjawab dengan kesilapan yang dilakukan sehingga telah bersemuka dengan Datuk Seri Farid.
“Saya tak sedap hati dan terus tunggu sehingga majlis itu selesai dan berjumpa dengan Datuk Seri Farid.
“Saya sudah mengaku bersalah dan meminta maaf daripadanya. Walaupun dia seorang yang tegas dan profesional dalam menangani masalah ini, saya bersyukur sebab nasib baiklah dia bersedia memaafkan saya.
“Namun, saya akan kemukakan surat rasmi tentang sebab saya tak dapat hadir menjayakan persembahan itu,” janji Noraniza.
Penyanyi yang terkenal dengan irama tradisional ini juga mengaku perkara itu banyak menyedarkan dirinya dan memberikan pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: