|
|
GAYA hidup, tekanan dan cara seseorang itu dibesarkan mempengaruhi diet seharian seseorang individu.
Apa, bila, kenapa, rasa dan berapa banyak makanan yang diambil berbeza daripada seseorang dengan seseorang yang lain. Apa yang kita suka makan atau apa yang kita rasa baik tidak semestinya diperlukan oleh tubuh.
Pemakanan yang betul serta mengikuti bimbingan yang sewajarnya dapat menghalang daripada kekurangan nutrien di dalam tubuh serta mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit kronik seperti kanser, ketidakseimbangan hormon, osteoporosis, penyakit kardiovaskular dan peningkatan usia.
Pemakanan (yang mengikut preskripsi khusus) perlu dibuat berhati-hati dan penuh keberkesanan bagi membantu seseorang mengikut gaya hidup yang sihat dan mempastikan toksik dihalang daripada memasuki semula di dalam tubuh.
Corak pemakanan ini harus memenuhi jumlah enam nutrien yang diperlukan oleh tubuh seseorang, iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin, mineral dan air.
Pemilik Rinah Detox Wellness and Spa, Dr. Rinah Chacko berkata, proses menyahtoksik penting bagi membolehkan seseorang itu mengeluarkan toksik dan bahan-bahan yang tidak diperlukan di dalam tubuh. Toksik ini berada di dalam tujuh jenis komponen biologi di dalam tubuh manusia, iaitu hati, buah pinggang, paru-paru, sistem usus, tisu, kulit dan sistem imun.
"Kaedah pemakanan yang betul dan sihat semasa proses menyahtoksik merangsang bahagian penapisan semula jadi yang terdapat di dalam tubuh untuk bekerja dengan lebih cepat dan berkesan.
"Semasa proses menyahtoksik, seseorang itu perlu mengikuti jadual pemakanan pada waktu yang ditetapkan dan hanya mengambil makanan yang telah ditentukan bersesuaian dengan masalah yang dihadapi.
"Individu ini harus mempelajari apa yang patut dimakan dan minum serta yang patut dielakkan. Ini kerana, makanan yang dimakan menyerap semua nutrien yang bertujuan memperbaiki kesihatan bagi melindungi tubuh daripada penyakit.
"Semasa mengikuti program menyahtoksik ini, seseorang itu mestilah 100 peratus mengambil pemakanan yang tidak mengandungi alkali,'' jelas Dr. Rinah di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rinah Detox Wellness and Spa memberi perkhidmatan merawat golongan yang menghadapi masalah menyahtoksik.
Antara program yang dijalankan di spa termasuklah pemakanan klinikal, terapi perubatan, purifikasi kolon, terapi menyahtoksik bagi meningkatkan imuniti, membantu penyembuhan, membantu mengurangkan tekanan dan melambatkan proses penuaan serta memulihkan kesihatan.
Spa ini merupakan spa kesihatan dan menyahtoksik perubatan yang pertama di negara ini dan dibuka secara eksklusif dengan pelbagai kemudahan bagi penjagaan kesihatan serta merawat masalah dalaman juga luaran yang disebabkan oleh kesihatan dalaman yang tidak bagus.
Selain itu, spa ini juga khusus menyediakan rawatan kecantikan bagi wajah, tubuh, rambut, payudara dan sebagainya.
program pemakanan
Menurut Dr. Rinah, program menyahtoksik yang dicipta untuk seseorang adalah bagi tempoh tujuh hari, 10 hari, 14 hari dan 21 hari bergantung pada tahap kesihatan seseorang.
Tambahnya, menyahtoksik bukanlah program pemakanan yang menjadi ikutan untuk suatu jangka waktu sahaja. Menyahtoksik adalah satu keperluan dan sentiasa ingat bahawa jadual pemakanan yang diikuti bukan bermaksud seseorang itu harus kelaparan.
"Mungkin pada permulaan, seseorang itu akan berasa sukar sedikit mengikut program ini tetapi lama kelamaan ia menjadi biasa apabila berasa perubahan pada tubuh iaitu lebih sihat dan bertenaga,'' ujarnya yang telah melibatkan diri dalam bidang perubatan selama 14 tahun.
Jelas Dr. Rinah, spanya hanya khusus untuk wanita dan kanak-kanak yang berumur di bawah 14 tahun.
"Ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah penghadaman, masalah tulang, pembesaran terjejas dan sebagainya boleh membawa mereka ke sini bagi mendapatkan rawatan,'' katanya yang memiliki ijazah perubatan dari United Kingdom dan India.
Pesakit-pesakit dan pelanggan tetapnya datang dari England, Dubai, Pakistan, Singapura, Hong Kong, Brunei, Australia, Amerika dan Malaysia. Beliau hanya menerima pesakit yang mempunyai temujanji sahaja atau pesakit yang dirujuk oleh pihak hospital.
Melangkah ke dalam spa ini, seseorang itu sudah dapat merasakan kesegaran haruman bunga dan lilin wangi yang memenuhi setiap ruang.
Ruang menunggu dihias cantik dengan jambangan bunga segar, dua buah kerusi empuk dan lampu chandelier yang membuatkan anda seperti berada di sebuah bilik hotel mewah.
Bersebelahan dengan ruang ini disediakan sebuah bilik solat kerana kata Dr. Rinah, pelanggannya datang seawal lima pagi dan bagi yang tidak sempat bersolat di rumah, boleh menunaikannya di situ.
"Lagipun terdapat pelanggan yang suka datang awal pagi kerana selepas selesai rawatan kira-kira pukul 11 pagi, mereka boleh terus pulang ke rumah dan menguruskan rumahtangga dan anak-anak pula.
"Di sini turut terdapat Bilik Ayurvedic bagi merawat pelanggan yang menghadapi masalah insomnia, gejala menopos dan tekanan selepas bersalin,'' katanya yang menyediakan tujuh buah bilik rawatan yang berkonsep menyahtoksik.
"Contohnya, warna cat di tangga menuju ke atas berwarna jingga atau warna karot yang kaya dengan vitamin A.
"Ruang menunggu dicat warna beetroot (membersih darah), bilik rawatan dicat hijau epal granny smith (anti oksidan), brokoli (juga antioksidan), bilik persalinan dicat warna pic (menstabil ketenangan) serta warna strawberi (vitamin C),'' jelas Dr. Rinah yang menganggap setiap pesakit sebagai ahli keluarganya.
Beliau berkata, adalah penting bagi seseorang wanita itu mengubah gaya hidup kepada yang lebih baik dan menyihatkan bagi mengelakkan pelbagai penyakit kronik yang boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja.
"Memiliki wang yang banyak tiada ertinya jika tubuh tidak sihat kerana segala kenikmatan hidup tidak dapat dikecapi lagi,'' katanya ikhlas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: