
KUALA LUMPUR - Selepas setahun lebih menjalankan aktiviti samun, ragut dan mencuri kereta, akhirnya ketua Geng Bahau dan empat daripada sembilan ahlinya ditangkap polis di sebuah unit rumah pangsa di Bandar Sri Permaisuri di sini Jumaat lalu.
Suspek berusia antara 20 dan 24 tahun itu ditahan pada pukul 5.30 petang selepas polis menerima maklumat daripada orang ramai yang curiga mengenai kegiatan mereka di rumah tersebut.
Kumpulan itu aktif di sekitar Cheras dan dinamakan Geng Bahau kerana ketuanya berasal dari Bahau, Negeri Sembilan.
Modus operandi mereka adalah menyamun golongan wanita yang berjalan kaki atau memandu kereta bersendirian pada waktu malam dengan menggunakan parang dan palam pencucuh serta memecahkan cermin kereta mangsa.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, selain tangkapan, pihaknya turut merampas pelbagai barangan berharga milik mangsa termasuk motosikal dan sebuah kereta.
"Dalam serbuan itu, kita dapat merampas semula sebuah kereta Toyota Vios dan sebuah motosikal jenis EX5 berwarna hitam yang dipercayai telah dicuri di Sungai Besi awal bulan ini.
"Selain itu, kita turut merampas pelbagai barangan samun seperti 14 buah telefon bimbit, tiga jam tangan, enam palam pencucuh, 17 beg tangan dan dokumen-dokumen penting milik mangsa,'' katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: