
Selain Datuk Khadijah Ibrahim dan Ramli Sarip, konsert anjuran Persada Johor International Convention Centre dan Puteri Pacific Johor Baru itu turut menampilkan Jay Jay sebagai penyanyi undangan.
Akui teruja menantikan konsert itu, Datuk Khadijah Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Kathy, yang ditemui di restoran miliknya, Khadijah’s Kitchen di Petaling Jaya, memberitahu, beliau sangat gembira bila diberi peluang untuk berkongsi pentas dengan rakan-rakan seangkatannya, terutamanya Ramli Sarip yang sangat dikaguminya malah dianggap sebagai ‘guru’ sejak awal pembabitannya dalam industri seni lagi.
“Mereka (Ramli Sarip dan Jay Jay) adalah ‘geng’ saya ketika zaman muda-muda dulu. Kami sangat rapat dan sentiasa touring bersama. Sehingga kini pun saya masih kagum dengan Ramli Sarip kerana walaupun sudah berusia, tetapi vokalnya masih hebat.
“Saya masih ingat, bagaimana saya mula-mula mengenali dia, ketika itu dia masih bersama band Sweet Charity dan dijemput untuk membuat persembahan pembukaan konsert pertama saya di Stadium Merdeka pada tahun 1979. Dari situlah kami mula kenal dan rapat.
“Perkenalan kami tidak berakhir di situ, kerana selepas beberapa bulan saya dipanggil pula untuk membuat persembahan pembukaan sempena konsert pertama mereka di Singapura. Dan seterusnya, kami sentiasa bekerjasama dalam setiap persembahan, termasuklah di kampung-kampung,” katanya yang popular dengan lagu duet, Doa Buat Kekasih bersama Ramli Sarip.
Menjelaskan tentang konsert yang julung kalinya dianjurkan oleh Persada Johor itu, Kathy memberitahu, konsert tersebut akan berlangsung secara santai dan pastinya akan membuatkan penonton terhibur sama. Malah turut menjanjikan persembahan yang berbeza dari konsert yang pernah diadakan sebelum ini.
“Setiap persembahan pastinya berbeza dan ada kekuatannya yang tersendiri. Apa yang boleh saya katakan, konsert ini ada kelainan, sangat menghiburkan dan akan menjadi konsert yang terhebat sebelum hujung tahun ini. Saya akan cuba berikan persembahan yang terbaik dan saya harap agar peminat tidak akan lepaskan peluang ini,” katanya yang akan menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Ku Pendam Sebuah Duka, Doa Buat Kekasih (duet bersama Ramli Sarip) dan Ku Sangka Siang Kiranya Malam.
Bertanyakan tentang persiapannya, kata Kathy, dia lebih membuat persiapan dari segi mental berbanding fizikal. Mungkin konsert selama satu setengah jam itu bukanlah satu bebanan buat artis yang berpengalaman sepertinya. Bagaimanapun, jelas Kathy, untuk mendapatkan persembahan yang terbaik, dia sudah pun duduk berbincang dengan kedua rakan seangkatannya itu.
“Tak susah untuk kami bekerjasama sebab kami dah biasa berkongsi pentas dan dah 30 tahun pun. Kami tahu apa yang harus dilakukan dan boleh menyokong antara satu sama lain. Sebab itulah saya suka jika digandingkan dengan mereka,” katanya yang mula menempa nama sejak tahun 1978 lagi.
Ramli pertama kali berduet dengan Jay Jay
Sementara itu, Ramli Sarip turut meluahkan rasa teruja kerana dapat bergandingan dengan Kathy pada konsert itu nanti. Tidak menganggap dirinya sebagai penyanyi undangan semata-mata, kata Ramli, yang penting mereka bekerjasama menjayakan konsert tersebut.
“Konsert ini terlalu istimewa pada saya kerana bukan selalu kami dapat berkongsi pentas yang sama. Lagipun ini adalah kombinasi yang bagus kerana bukan senang untuk menggabungkan penghibur. Kalau setakat penyanyi itu memang ramai, tapi penghibur tak ramai.
“Istimewanya malam itu, penonton boleh menyaksikan saya berduet buat kali pertamanya dengan Jay Jay menerusi lagu ‘Senandung Hidup Berbudi’ yang sebelum ini tidak pernah dinyanyikan bersama. Apa pun, saya harap orang ramai akan berpuas hati dengan persembahan itu nanti,” katanya yang akan menyanyikan lebih enam lagu, termasuklah lagu-lagu popularnya bersama Sweet Charity dulu.
Pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimanakah ‘Bapa Rock Malaysia’ ini masih mampu bertahan dalam industri muzik tanah air, malah vokalnya juga masih setanding dulu meskipun usianya sudah menjangkau lebih seabad. Menjawab pertanyaan itu, Ramli memberitahu, tiada rahsia lain melainkan penjagaan kesihatan yang baik.
Bagi yang berminat menyaksikan konsert gandingan ketiga-tiga penyanyi hebat ini, tiket boleh dibeli RM180, RM225 dan RM295 untuk seorang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: